Geng Bas Sekolah

January 9, 2013

Bahaya Gerakan Sekularkan Malaysia


PADA Sabtu lalu berlangsung Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (Semaian) anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Seminar sehari yang diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur cukup penting kerana ia membincangkan ancaman terbesar yang sedang dihadapi umat Islam di Malaysia iaitu gerakan untuk mensekularkan negara ini.

Dalam erti kata lain, Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan 'Islam agama bagi Persekutuan' cuba dinafikan apabila kumpulan berkenaan membuat tafsiran sendiri dengan menyatakan Malaysia hanyalah negara demokrasi sekular dengan Islam sekadar agama rasmi.

Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamad Naser Disa berkata, selaras dengan tafsiran Islam sekadar agama rasmi, kumpulan berkenaan berpandangan ajaran dan adab-adab yang digariskan dalam Islam hanyalah terpakai dalam situasi tertentu, misalnya bacaan doa pada pembukaan majlis rasmi.

"Lebih membimbangkan termasuk dalam kumpulan yang menganggap bahawa negara ini merupakan negara sekular adalah majoriti peguam bukan Islam dan sebahagian peguam Islam.

"Kefahaman dan tanggapan kumpulan ini mempunyai pengaruh yang meluas serta mendalam dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan sebahagian umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ancaman-Ancaman Terhadap Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara'.

Menurut Mahamad Naser, keberanian kumpulan berkenaan terserlah apabila seorang peguam yang mewakili seorang wanita Melayu yang telah murtad pernah berhujah di Mahkamah Persekutuan dengan menyatakan:

"Sudah tiba masanya orang Melayu difahamkan bahawa kedudukan Islam adalah lebih rendah daripada Perlembagaan kita dan mesej ini hendaklah dijelaskan kepada mereka oleh mahkamah yang mulia ini."

Tambah beliau, kumpulan lain yang termasuk dalam gerakan untuk mensekularkan Malaysia adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia tanpa had dan batasan Perlembagaan serta undang-undang yang berkuat kuasa sekarang.

"NGO ini memperjuangkan hak umat Islam untuk murtad selaras dengan prinsip kebebasan beragama dan hak umat Islam untuk bebas daripada kawalan undang-undang moral berasaskan syariah," katanya.

Mahamad Naser berkata, turut terlibat dalam gerakan itu adalah golongan liberalisme yang memperjuangkan demokrasi dan fahaman persamaan semua agama.

"Golongan ini juga memperjuangkan hak kebebasan seks seperti lesbian dan homoseksual, hak untuk berpakaian dan bersosial serta hak untuk menggugurkan anak.

"Mereka turut menentang undang-undang kekeluargaan Islam yang diperuntukkan di bawah undang-undang syariah seperti poligami, pembahagian harta pusaka dan kuasa talak.

"Bagi merealisasikan keinginan mereka, golongan ini mentafsirkan hukum agama mengikut rasional akal dan realiti semasa. Mereka yang berpegang teguh pada agama dikatakan golongan fundamentalis yang kolot dan jumud kerana tidak mengikut peredaran masa," ujarnya.

Dalam pada itu, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, antara langkah yang boleh dibuat bagi menangani gerakan untuk mensekularkan Malaysia adalah dengan memastikan semua pihak faham bahawa kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama bukan bersifat istiadat semata-mata.

"Hak, kuasa dan tanggungjawab raja-raja Melayu untuk memastikan agama Islam sentiasa terpelihara dan dihormati mempunyai nafas dan hidup.

"Peranan raja-raja Melayu bukan sahaja sebagai penaung terhadap Islam sebagai agama negara, malah mereka juga berperanan sebagai perancang, penyusun, penggerak dan seterusnya pelaksana kepada Islam serta hukum-hakamnya," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara: Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksikan Perlembagaan'.

Menyentuh isu sama, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba mensekularkan Malaysia bahawa usaha mereka itu adalah sia-sia.

Beliau yang menyampaikan ucaptama bertajuk 'Memartabatkan Islam Sebagai Agama Negara' berkata, langkah itu tidak boleh dibuat walaupun ketika negara ini berada dalam situasi darurat.

"Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai proklamasi darurat dengan jelas menyatakan Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara ketika situasi itu kecuali yang menyentuh mengenai hukum syarak.

"Perlembagaan Persekutuan menjaminkan pengecualian undang-undang Islam daripada tertakluk kepada undang-undang darurat sesuai sekali dengan martabat Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

Tambah beliau, tidak keterlaluan dikatakan kedudukan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

"Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sewajarnya jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam hendaklah dipakai," ujarnya.

Sementara itu, walaupun kehadiran orang ramai ke seminar berkenaan cukup menggalakkan, tidak kelihatan pula kelibat pemimpin-pemimpin Pas yang sebelum ini mendakwa mereka memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.

Beginikah sifat pejuang Islam sebenar sekiranya mereka hanya bersikap mendiamkan diri ketika Malaysia diancam dengan gerakan untuk menjadikannya sebuah negara sekular?

1 comment:

Jeffry said...

ANUWAR PANDIKUTTI PUN DAH MAKIN KURANG AJAR KAT RAJA2 MELAYU BROO..TITAH SULTAN DAH BUANG BUANG KE LONGKANG..DIA NAK TUNJUK HEBAT KONON2 DIA LER ORANG ISLAM A.K.A PEJUANG AGAMA KAFIR UTK DAPATKAN HAK KALIMAH ALLAH BLEH DI GUNAPAKAI AGAMA LAIN...HARKKK PTUIHHHH