Geng Bas Sekolah

November 29, 2012

Punca Peniaga Melayu Gagal


Kelemahan dalam pengurusan tunai merupakan penghalang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang perniagaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, usahawan bumiputera harus lebih mahir dalam pengurusan kewangan termasuk menggunakan sumber yang ada secara bijak untuk memajukan perniagaan masing-masing.

''Jika usahawan bumiputera mendapat pinjaman RM1 juta untuk tujuan perniagaan, mereka akan belanja separuh daripadanya untuk membeli kereta mewah atau barangan lain. Pinjaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam perniagaan tetapi mereka juga perlu membayar faedah atas dana yang diperoleh," katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera juga didapati gagal menguasai beberapa perniagaan francais di negara ini kerana tidak menguruskan aliran tunai dengan berkesan.

''Peniaga Melayu berkenaan gagal kerana selepas mereka mendapat keuntungan, hasil itu tidak dilabur untuk beli stok atau memajukan perniagaan tetapi digunakan untuk tujuan lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan bumiputera melakukan usahasama dengan syarikat lain bagi menimba pengalaman dan ilmu yang diperlukan untuk memajukan diri.

''Selain perlu bekerja dengan rajin, usahawan bumiputera juga harus bekerja secara bijak dan untuk tujuan itu, kita perlu menimba ilmu melalui pelbagai kaedah termasuk membaca buku.

''Seterusnya kita mesti mengenal pasti apa yang kita mahu. Kita boleh mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selepas itu baru fikirkan cara untuk memajukannya," katanya.

Dr. Mahathir turut menggesa usahawan bumiputera supaya meneroka peluang dalam bidang yang berlainan bagi memastikan kejayaan dalam perniagaan.

''Jangan nampak orang lain berjaya dengan jual nasi lemak, semua orang pun pergi jual makanan yang sama dan akhirnya gagal," katanya.

No comments: