Geng Bas Sekolah

November 23, 2012

Pemimpin PAS Bersikap Sombong Dan Angkuh


MENGIKUTI perjuangan Pas sejak awal sehingga kini nampak jelas perubahan ketara dalam hala tuju perjuangan.

Pada zaman Abu Bakar Bakir, Burhanuddin Al-Helmi dan Zulkifli Muhammad perjuangan Pas adalah untuk agama, bangsa dan negara. Moto ini kalau digunakan sekarang Nik Abdul Aziz akan menganggapnya sebagai moto asabiyah, kaumiyah dan rasis.

Ketika zaman revolusi Iran memuncak Pas mengambil pendekatan radikal sehingga ramai pengikutnya ke Iran untuk meniru cara revolusi Iran terjadi. Ramai orang Pas dan pengikutnya termasuk dikatakan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu juga pendukung faham Syiah.

Pada zaman pakatan pembangkang, Pas menjadi lebih berkecamuk kerana antara kuasa politik dan agama, ghairah ke Putrajaya ternyata lebih unggul. Kalau dulu Abdul Hadi Awang pernah mengkafirkan UMNO kini DAP yang jelas kafirnya menjadi rakan sekutu Pas. Ibarat ludah ke langit tertimpa semula ke muka sendiri.

Oleh kerana ghairah ke Putrajaya, Pas sudah tidak peduli lagi isu pokok dalam perjuangan Islam. Tahalluf siasi yang sepatutnya berlaku dalam kalangan sesama Islam tersongsang kepada kelompok yang bukan Islam iaitu DAP.

Lalu justifikasi diberi untuk meyakinkan khalayak bahawa DAP adalah lebih baik kerana UMNO adalah syaitan dan Firaun seperti kata Abdul Hadi.

Keghairahan itu semakin terangsang dengan tampilnya Anwar Ibrahim sebagai tokoh utama. Karpal Singh dalam Parlimen pernah menyatakan Anwar "kaki liwat" dan dia punya cukup bukti. Mat Sabu menyebut Anwar sebagai "al-Juburi" kerana Anwar semasa dalam kerajaan memiliki kaset perbualan Mat Sabu-Normah.

Atas pertimbangan apa Pas boleh menerima DAP sebagai rakan sepasukan sedangkan Karpal Singh secara terang-terangan menolak gagasan Negara Islam dan hudud.

Atas pertimbangan apa pula Pas boleh menerima Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedangkan integriti Anwar tercemar kerana kenyataan Karpal Singh, Mat Sabu dan dakwaan banyak pihak terhadap isu moralnya.

Kerana terlalu bencikan UMNO dan ingin ke Putrajaya menyebabkan Pas membina "nafsul amarah" yang luar biasa sehingga membelakangkan prinsip kebenaran.

Sikap benci dan dendam ini bukanlah ajaran Islam. Ia adalah penyakit "nafsul amarah" yang membuak-buak sehingga rasa taksub yang tinggi terpancar dalam doa untuk menghancurkan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Seperti yang berlaku pada masa lalu, solat hajat digunakan secara tidak adil untuk membela pemimpin terjadi dan bercanggah dengan syariat. Akibatnya semakin banyak rahsia terbongkar. Apakah Allah tidak mendengar permintaan mereka?

Kalaulah doa yang angkuh dan bernafsu besar itu tidak diizinkan Allah, malah UMNO/BN menang besar apakah ia petanda doa mereka tidak makbul? Pas jangan cakap sombong kepada UMNO dan UMNO tidak pernah mendoakan Pas supaya hancur.

Menyatakan UMNO macam firaun, zalim dan syaitan adalah ungkapan yang terlalu ekstrem dan sukar diterima kerana ia bercanggah dengan fakta. Ia adalah dorongan sifat angkuh akibat gila kuasa yang luar biasa.

Pas kena ingat politik bukan segala-gala. Sewaktu membina impian ke Putrajaya dengan DAP dan PKR, musuhnya UMNO dikecam habis dengan gelaran yang tidak berlapik. Dalam politik tidak ada kawan yang kekal.

Keadaan boleh berubah. Apakah Pas akan menjilat balik apa yang dicakapkannya atau kuasa politik umat Melayu bakal hancur.

Pas amat memahami, golongan hardcore atau kelompok yang bakar tak hangus dan direndam tak basah tidaklah ramai. Dalam politik pengundi terdiri daripada simpatisan dan orang atas pagar.

Khalayak ramai, baik simpatisan dan orang atas pagar menilai. Orang Melayu dan UMNO lebih-lebih lagi rasa tersinggung dengan kenyataan UMNO syaitan, firaun dan zalim. Kenyataan ini amat menyinggung banyak pihak dan mendoakan pula supaya UMNO/BN hancur.

Perhimpunan Agung UMNO akan datang diharap jangan jadi medan balas dendam. UMNO harus berjiwa besar. Sultan Kelantan baru-baru ini bertitah dan menyatakan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan. Baginda juga meminta supaya isu air di Kelantan diselesaikan segera.

UMNO/BN harus gagah menyatakan bahawa program pembangunan di Malaysia selari dengan kehendak Islam. Anak-anak pembangkang diberi biasiswa dan biaya untuk belajar dalam negara dan luar negara dengan adil dan banyak lagi. Sampai hati Abdul Hadi dengan angkuh menuduh UMNO firaun, syaitan dan zalim sedang orang luar menganggap Malaysia negara Islam contoh.

No comments: