Geng Bas Sekolah

November 14, 2012

Fitnah Pembangkang Semakin Ganas


PERHIMPUNAN Agung UMNO 2012 hujung bulan ini bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) tidak sekadar platform untuk mendengar ucapan dasar atau amanat Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tetapi jauh lebih itu untuk menggarap prinsip perjuangan parti yang seharusnya wajib dipatuhi dalam keadaan getir sekarang untuk menyuarakan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Dikatakan masih ada kelompok UMNO yang seolah-olah berlagak masih berkuasa di semua negeri. Sedangkan keadaannya tidak begitu.

"Di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, kuasa politiknya sudah bertukar tangan sejak 2008. Dengan pandangan dan prinsip jelas itu, UMNO mesti bersiap-siaga dengan Pusat Daerah Mengundi (PDM)-nya yang berjumlah 222 seharusnya diefisienkan dan diproses kendalian kerjanya," katanya.

Rais mengingatkan bahawa sekiranya PDM tidak dikendalikan mengikut prinsip dan prosedur, BN akan menemui jalan bahaya - akan kecundang.

"Oleh itu, isian komputer moden yang mengutamakan komunikasi dan sebarluas data dan hubungan canggih perlu diutamakan oleh PDM parti. Hari ini kita bergantung kepada sejauh mana kita bertukar maklumat dengan sesiapa dan praktiskan amalannya. Dulu, ada paparan taklimat tetapi sekarang terkandung dalam cakera padat (CD) dan penggunaan alat-alat pandang dengar yang mesti dimanfaatkan.

"PDM induk penting sepanjang PRU nanti dan sikap hadapi pilihan raya perlu bertukar 100 peratus, yakni sikap terhadap sikap dan cara tentukan calon yang mudah menang," kata beliau.

Beliau menarik perhatian bagaimana isu sebilangan besar kaum Tionghua masih belum dapat menerima BN mesti diperhalusi.

Kata beliau: "Keadaan sokongan Cina kepada BN tidaklah seperti 2008, malah ketika ini saya percaya masih jauh lebih rendah seperti 2008. Ini disebabkan godaan dan temberang pembangkang jauh lebih dahsyat berbanding dulu,' kata beliau kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Atas sebab itulah, kata Rais, perhimpunan agung parti kali ini harus dijadikan perhimpunan membulatkan tekad dan memperkasakan pendekatan serta olahan besar di peringkat bahagian.

"Maka, seharusnya Perdana Menteri yang juga Presiden parti diberi mandat berterus -terang dan bulat (pendiriannya dihormati) bagi mengendalikan PRU ini," kata beliau.

Perkara-perkara yang remeh harus diketepikan demi kepentingan parti manakala setiap bahagian mesti memberatkan kesiapsiagaan yang masih perlu diberi perhatian, kata beliau.

Dalam hal ini, Rais memberitahu, kecenderungan masyarakat kepada sesuatu isu masih perlu diterokai.

"UMNO harus faham keadaan di Pulau Pinang menjadi contoh kepada orang Cina daripada entiti bersifat kecinaan untuk menjadi pelopor baharu zaman baru masyarakat Cina.

"Walaupun isu ini perit tetapi DAP Pulau Pinang telah dapat mengukir sejarah yang tidak pernah berlaku dengan selera nak berkuasa di tanah air merebak dalam kalangan kaum Cina.

"Jadi, UMNO harus faham dan terjemahkannya dengan setimpal kerana kerja-kerja pilihan raya masih di tahap rendah. Kita tidak mahu berbohong-bohong. Penonjolan dan penjuaraan diri harus diketepikan sebaliknya sikap dan amalan kesukarelaan harus diperbanyakkan," katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai tradisi perwakilan UMNO semasa perhimpunan dengan seper empat daripada ucapan pembahas merupakan hiburan gelak ketawa dan gurau senda.

"Sementara kita tidak boleh hapuskan, kita perlukan barisan perucap yang berani mengemukakan cadangan konkrit untuk orang Melayu lebih kuat lagi.

"Mesejnya mengapa orang Melayu Pas lebih tertarik dengan DAP daripada (bersahabat dengan) UMNO. Ikut mana pun Pas adalah Melayu Islam sama dengan UMNO Melayu Islam. Perbezaan kepemimpinan bukan amalan kita nak menganjurkan pertelingkahan... saya tidak mahu anjur tesis begitu.

"Melunakkan sesama Islam adalah tanggungjawab parti. Kalau ini berlaku, Melayu akan berkuasa selamanya. Inilah kuncinya," katanya.

Rais menegaskan, cara-cara mengetepikan amalan negatif lawan mesti disingkap. Cara-cara kita nak menang mesti disingkap sementelahan kelemahan di peringkat bahagian masih ada lagi.

"Tinggal berani atau tidak berani kita melibaskannya dengan rotan," katanya.

Dalam soal ini, kata beliau, Jawatankuasa Disiplin yang diwujudkan mesti bertegas untuk membanteras penganiayaan terhadap parti.

"Orang UMNO mesti memperbanyakkan kerja-kerja ziarah dan sentuhan kasih sayang antara wakil rakyat. Inilah yang harus dititikberatkan," kata Rais.

1 comment:

Jeffry said...

MSHLHNYE MASIH ADE ORG UMNO YG X SEDAR DIRI LAGI BROO..RAKYAT PERLUKAN WAKIL RAKYAT UTK MEMBERI PERKHIDMATAN. SBB TU RAKYAT PANGKAH DIORANG. TP KLU WAKIL RAKYAT SYOK SENDIRI X BUAT KEJE LEN KALI PENGUNDI "PANGKAH" X NAK DIA PLAK!...JD KPD WAKIL RAKYAT YG PEMALAS TU KENE LER BUKAK MATA BESA2 SBLUM TERLAMBAT! HUHUHU