Geng Bas Sekolah
Korang Kena baca ini
October 18, 2012
PAS Terus Diperbodohkan DAP
KENYATAAN Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang parti itu tetap akan bekerjasama dengan DAP sebagai rakan kongsi bagi menjamin kemenangan Pas dalam pilihan raya umum akan datang menerima banyak reaksi.
Penegasan Nik Aziz dibuat kerana cuba memberi respon kepada pandangan supaya Pas keluar daripada pakatan pembangkang, dan kerana DAP tidak bersetuju dengan negara Islam dan hudud. Kritik terhadap Nik Aziz yang sedang dipergunakan oleh golongan parasit Anwar ke arah faham liberalisme dan pluralis sedikit pun tidak mengindahkan beliau.
Ia menyebabkan Datuk Dr. Hasan Ali menyuarakan supaya Nik Aziz berundur dan digantikan oleh Timbalannya Dr. Haron Din sebagai Mursyidul Am Pas. Pengalaman Dr. Hasan dalam Pas dan pengalaman pahitnya di bawah kerajaan pakatan Selangor dulunya, memberikan asas bahawa Pas bukan parti dominan dalam pakatan yang bakal menentukan hala tuju negara sekiranya pakatan memerintah.
Isu negara Islam dan hudud sering dipertikaikan oleh DAP. Anwar Ibrahim sebagai bekas Presiden ABIM merangkap ketua pakatan pembangkang juga mengambil sikap yang longgar terhadap isu ini. Apa lagi harapan Pas untuk menjadikan perjuangan parti ke arah negara Islam bakal menjadi kenyataan, sedangkan Buku Jingga yang menjadi sumber utama pakatan tidak menyatakan apa-apa mengenai negara Islam hatta hukuman hudud. Bagaimana nantinya corak manifesto pakatan menjelang pilihan raya nanti.
Kalau begitu penulis membuat analisis bahawa terbentuknnya pakatan bukan kerana kesepakatan dari segi ideologi dan dasar-dasar utama yang Islami atau paling tidak menerima asas etika yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam.
Lihat apa yang berlaku di Kedah, baru hendak memperkenalkan garis panduan papan iklan oleh Majlis Perbandaran Alor Setar, cadangan itu sudah dibantah oleh Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik. Sikap DAP itu dibantah pula Setiausaha Dewan Ulama Pas Kedah, Syeikh Zainol Asri Ramli.
Perkara yang dilihat kecil ini dibantah oleh rakan sepakatan, apakah perkara lebih besar seperti negara Islam dan hudud boleh mereka terima. Mengapa Nik Aziz tidak faham tentang kenyataan yang sedang terjadi. Pakatan itu tidak lebih suatu perkongsian kuasa untuk memecahbelahkan umat Melayu.
DAP tidak bimbang dominasi ekonomi yang sudah mereka kuasai, dominasi pendidikan begitu juga, yang tinggal dominasi politik. DAP mempunyai senjata ampuh dengan menggunakan Pas, maka dominasi politik akan terjadi.
Lihat bagaimana kerajaan yang ada melaksanakan projek Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bank Islam, takaful, sukuk, wakaf, bisnes halal, membangun undang-undang keluarga Islam tidak dibantah oleh rakan Barisan Nasional kerana tujuannya baik untuk negara. UIAM sudah mula jadi tarikan pelajar-pelajar bukan Islam belajar. Bank Rakyat yang beroperasi atas landasan pematuhan syariah disertai oleh banyak pelabur dan peminjam bukan Islam atas asas kestabilan dan keuntungan yang diperolehi.
Apakah Nik Aziz dan Pas tidak faham ini semua. Pas memperjuangkan negara Islam dan dibantah oleh DAP, sedangkan Barisan Nasional sudah sekian lama melaksanakan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam institusi dan organisasi tanpa dibantah oleh MCA, MIC dan Gerakan.
Pada hemat penulis, Pas bukan sangat hendak memperjuangkan Islam tetapi memperjuangkan kerusi dan kuasa. Soalannya apa makna dapat kerusi dan kuasa tetapi tidak boleh melaksanakan Islam dan memecahbelahkan umat Melayu.
Nik Aziz tentu faham ini. Tetapi kerana dendam kesumat yang melampau, Nik Aziz lebih rela melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik dengan DAP yang menentang Islam dan UMNO serta Barisan yang sudah sekian lama melakukan penerapan nilai-nilai Islam.
Hal inilah yang dibangkitkan oleh Shahnon Ahmad ahli seumur hidup Pas dalam temu ramahnya bahawa "Pas sudah tersasar daripada perjuangan asal" dengan menghasilkan sebuah novel baru bertajuk Mahabbah untuk menjadi renungan semua umat Melayu mengenai perlunya mereka bersatu.
Hal yang sama dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Gaal, Dr. Nik Mazian Mohamad bahawa pemimpin Pas perlu memberi laluan kepada barisan muda meneruskan kepimpinan ulama yang menjadi asas kepimpinan parti itu. Katanya lagi. "Yang kita bimbang Tok Guru sudah tua, ada sakit pula".
Lujnah Penyelidikan Pas harus membantu Nik Aziz dan para ulama Pas bahawa DAP bukan sekadar suatu gerakan politik yang ingin memecah-belahkan kuasa umat Melayu melalui Pas tetapi mempunyai kaitan dengan gerakan Evangelical Kristian.
Helen Ang bekas wartawan Malaysiakini dalam AIDC, 13 Oktober mendedahkan tentang City Harvest Church di Kuala Lumpur yang ada kaitan dengan City Harvest Church di Singapura yang sedang disiasat kerana skandal.
Lujnah Penyelidikan Pas harus memberitahu hal ini kepada Nik Aziz seperti yang disebut oleh bekas Presiden ABIM dan Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI), Dr. Yusri Mohamad; "DAP bijak berpolitik dengan membawa kecenderungan agenda Kristian dalam gerak kerja politik tanpa disedari oleh majoriti masyarakat Islam".
Benarlah seperti kata Dr. Hasan yang amat prihatin mengenai nasib umat Islam di Selangor, dan peristiwa pemurtadan bulan Ogos 2011 di Damansara, kenyataan Ustaz Nasharudin mengenai tekad DAP di Sarawak dan kaitannya dengan proses Kristianisasi, serta tekad kelompok paderi Kristian di Pulau Pinang tempoh hari.
Pandangan Dr. Hasan mengenai pengunduran Nik Aziz tidaklah dibuat secara emosional. Dr. Hasan tahu betapa sensitifnya menyentuh imej Tok Guru. Tetapi Pas tidak harus naif untuk mendengar pandangan pihak lain bagi memahami gerak kerja politik DAP sekadar ingin kuasa dan kerusi, sedangkan DAP terus menghina Islam dan mempunyai agenda lain untuk Malaysia.
Kalau benarlah DAP terkait dengan agenda Kristianisasi yang sifatnya agama, mengapa DAP menentang Islam - juga sebagai suatu agama. Hal inilah yang perlu difahami oleh Nik Aziz dan Pas.
Bukan semua pandangan khalayak membenci Pas dan dengki kepada Pas. Selagi sikap dendam-kesumat menjadi dukungan Nik Aziz, sikap taksub dan jumud menjadi pegangan sebahagian orang Pas, parti ini tidak akan ke mana-mana.
Akhirnya DAP akan mendominasi dengan agendanya tersendiri dan pada waktu itu sudah terlalu lewat untuk Pas berpatah balik dan nasi sudah menjadi bubur. Kalau sekadar mata beliung semata-mata untuk menumbangkan sebatang pokok, hal itu tidak akan berlaku. Tetapi mata beliung yang disendalkan dengan kayu juga boleh menyebabkan pokok itu tumbang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment