Geng Bas Sekolah

August 1, 2012

Kenanglah Mereka Sempena 31 Ogos


MENJELANG ulang tahun kemerdekaan negara ke-55 pada 31 Ogos ini, selain kita mengenang perajurit yang terkorban, kenanglah juga pencipta lagu yang menyemarakkan cinta rakyat pada tanah air yang satu ini. Lagu patriotik yang baik membuatkan setiap warga sanggup mati demi tanah airnya.

Mereka antaranya ialah Johar Bahar, Ahmad Merican, Ahmad CB, Kassim Masdor, Alfonso Suliano, Saiful Bahri, Ibrahim Bachik dan Jimmy Boyle.

Sebenarnya ramai lagi yang menyumbangkan karya lagu untuk meniup semangat kecintaan pada tanah air ini dan mereka wajar dikenang kerana sumbangan yang besar kepada Malaysia. Lagu-lagu ciptaan pencipta yang disebutkan ini membawa kita menoleh sisi indah dan istimewa tanah air ini.

Tentu ada kalangan kita pernah mendengar lagu Tanah Pusaka, Malaysia Berjaya, Malaysia Tanahairku, Bahtera Merdeka, Selamat Tinggal Bungaku, Melati Di Tapal Batas, Tanggal 31 Ogos, Sungai Pahang atau Banjaran Titiwangsa. Ini hanya sejumlah kecil yang mampu disenaraikan dalam ribuan yang lain.

Menghayati lirik lagu-lagu ini, semuanya dialirkan dari nurani yang jujur demi tanah air dan bukannya naluri politik. Lagu patriotik bukan lagu politik. Sebabnya lagu patriotik dicipta untuk semua warga yang berpayung di langit dan berpijak di bumi Malaysia.

Saya percaya semua lagu yang disenaraikan di atas boleh diterima oleh rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

Kalau tidak percaya, cubalah hayati lagu Malaysia Tanahairku (Johar Bahari, Tanah Pusaka (Alfonso Suliano), Bahtera Merdeka (Kassim Masdor), Selamat Tinggal Bungaku (Johar Bahar), Putera Puteri (Jimmy Boyle) atau Melati Di Tapal Batas (S. Effendy).

Suatu yang jelas daripada lagu-lagu ini adalah tujuan lagu itu diciptakan iaitu untuk menyemarakkan cinta rakyat pada tanah air.

Berbanding ucapan orang politik yang selalunya penuh retorik, eloklah menjelang ulang tahun kemerdekaan kali ini ruang udara disemarakkan dengan lagu-lagu yang mengenang tanah airnya. Karya seni mampu menyusuri alam fikir yang lebih dalam berbanding politik yang hanya menyapu lapisan luar sahaja.

Maka peneraju stesen penyiaran kita perlu ada sedikit pengorbanan untuk memberi laluan kepada lagu patriotik. Itu pun sekiranya mereka patriotik.

Tetapi seperti selalunya, yang ditekankan menjelang kemerdekaan adalah orang yang bergelumang dalam politik. Golongan seniman seperti pencipta lagu atau ulama misalnya yang melancarkan gerak saraf perjuangan kemerdekaan terpadam dari lipatan sejarah.

Agenda kenegaraan perlulah melampaui kepentingan politik dan elok sangatlah kita sama-sama menghayati lagu yang membawa kita menoleh tuah tanah air yang bertuah ini.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

No comments: