Teori itu berjalan sekarang. Tanpa disedari di negara ini, orang Melayu berpecah kepada tiga - UMNO, Pas dan PKR. Tanpa disedari juga, Pas dan PKR menjadi kuda tunggangan kepada DAP.
Nama Hurgronje dibangkitkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu pertemuan dengan kami berdua di Kementerian Pertahanan Khamis lalu. Ini ketika Menteri Pertahanan itu menegaskan bahawa pakatan pembangkang hari ini tidaklah sekuat mana seperti mana diuar-uarkan.
Bagi Ahmad Zahid, sejak pilihan raya pertama 1959 dan setiap kali pilihan raya, tetap ada isu tertentu dibangkitkan. Tetapi perpaduan dalam kalangan ahli pada waktu itu dihadapi parti dengan mudah. UMNO tidak menyerang tetapi cuma mempertahankan diri.
"Dalam teori perang saraf, yang penting adalah menyerang, tetapi dalam hal ini kita mempunyai kebolehan menjawab isu, tetapi tidak untuk membangkitkan isu.
"Ini telah dilakukan oleh MCA di Selangor dan UMNO di Pulau Pinang. Isu-isu itu tidak berlanjutan tetapi ia mati dalam tempoh tertentu. Sebaliknya pembangkang, terus menerus menyerang dan dibangkitkan setiap ceramah pembangkang anjuran ketiga-tiga parti pembangkang.
"Selain itu, kita hanya menerima laporan tetapi tidak membalasnya," kata beliau.
Atas sebab inilah Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau tidak khuatir akan kekuatan parti pembangkang, tetapi resah dengan permasalahan intra dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Ini terutamanya menjelang pilihan raya umum yang mana peringkat bahagian mula membentuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kerja-kerja telah dijalankan.
"Dalam pada itu, mereka yang menggelarkan winnable candidate telah mula menyatakan mereka yang layak menjadi calon, dan orang lain tidak. Saya amat khuatir mereka tidak dipilih sebagai calon, ia akan mengulangi tahun 2008 iaitu mereka tidak menyokong calon terpilih.
"Kalau individu tidak menyokong tidak mengapa, tetapi dirisaukan apabila mereka membawa pengikut yang membawa padah kepada parti dan kedudukan kerajaan," kata Ahmad Zahid.
Jadi, bagaimana cara hendak menyelesaikan masalah ini? Menurut beliau: "Ia dapat diselesaikan jika semua ahli komited. Sindrom yang berlaku adalah mereka, bukannya parti.
"Walaupun berbuih (mulut) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turun padang, tetapi pendirian ahli UMNO tidak berubah. Minda itu harus ditukar. Kepentingan jemaah harus dilebihkan daripada kepentingan diri."
Apa yang diperkatakan Ahmad Zahid, kemungkinan sekali benar. Sikap ini berlaku pada parti-parti lain seluruh negara apabila masing-masing berada dalam keadaan selesa. Di Indonesia, populariti Golkar telah menurun akibat berada dalam keselesaan selama ini. Baru-baru ini timbul kesedaran baru untuk bangkit semula.
"Saya fikir UMNO tidak harus alami pengalaman seperti Golkar. Malah, PAP Singapura tersedar dari zon selesa apabila sebahagian rakyat menolak parti itu dalam beberapa kawasan dalam pilihan raya baru-baru ini," katanya.
Dalam asyik menilai ungkapan-ungkapan politik, beliau menjelaskan satu persatu apa yang ditanyakan kami.
Dalam agresifnya pakatan pembangkang menghentam kerajaan dan UMNO, masih banyak perwakilan asing mahu membuat kunjungan hormat kepada menteri itu.
Di Kementerian Pertahanan sahaja, lebih 50 peratus perwakilan asing yang datang bertemu menteri telah turut membincangkan isu-isu dua hala atau serantau.
"Mereka (perwakilan asing) juga mahu penjelasan daripada saya selaku Naib Presiden UMNO tentang beberapa isu yang mereka ketahui melalui media-media sosial.
"Perkara itu saya jawab berdasarkan fakta-fakta sebenar dan bukannya bersifat menangkis semata-mata dengan pandangan peribadi," kata Ahmad Zahid.
Menurut beliau, terdapat 17 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia mempunyai laman sosial. Dan 80 peratus daripadanya adalah anti-establisment. Pengaruh mereka besar walaupun kredibiliti dipertikaikan.
Oleh sebab itu, analisis politik yang dilihat, telah dihantar oleh para duta kepada negara masing-masing. Cuma, apabila penjelasan dibuat, mereka mendapatkan pandangan seimbang dan tidak menerima daripada satu pihak sahaja.
Ditanya isu yang sering ditanyakan perwakilan asing kepada beliau, Ahmad Zahid memberitahu: "Yang muktahir adalah isu kapal selam Scorpene. Apa yang saya nyatakan ialah kita memperoleh dua kapal menerusi proses rundingan terus. Apa yang dilakukan di Perancis berbeza dengan apa yang diuar-uarkan oleh Suaram dan pembangkang.
"Mereka (perwakilan asing) mengetahui hal itu tetapi ingin maklumat sebenar daripada mulut pihak kerajaan sendiri. Tetapi apa yang dilakukan (dalam pembelian Scorpene) mengikut peraturan dan mereka yang kebanyakan dari Eropah dan sebelah Timur berpuas hati dengan penjelasan diberikan," katanya.
Bagi Ahmad Zahid, rakyat negara ini patut bersyukur kerana situasi negara ini berbeza daripada negara luar. Operasi tentera yang dilakukan di negara ini adalah untuk membantu polis dan agensi lain berbanding negara luar yang mementingkan kepada latihan ketenteraan. Umpamanya, Program Jiwa Murni kementerian iaitu program membantu penduduk luar bandar dengan turun padang dengan sikap siap-siaga dan semangat tinggi.
"Kita di negara ini tidak campur operasi keselamatan kerana kita percaya kepada keupayaan dan kewibawaan polis. Contohnya apabila berlaku demonstrasi di negara luar, pihak kerajaannya menyerahkan kepada tentera berbanding kita kepada polis. Sebaliknya di negara ini juga, tentera bertindak apabila berlaku darurat. Ia memberikan kelegaan kepada rakyat," katanya.
Dalam konteks ini juga, Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa konsep Malaysian Malaysia yang dibawa DAP adalah kesinambungan yang dibawa PAP. Walaupun mereka mendakwa DAP parti pelbagai kaum namun parti itu tetap bersikap perkauman.
"Tetapi yang membimbangkan ialah Pas dan PKR mereka ini tidak mengetahui bahawa mereka ditunggangi oleh DAP. Contohnya di Pulau Pinang, semasa saya menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan sehinggalah ke hari ini, kawasan-kawasan daif orang Melayu tidak dibangunkan. Gerai-gerai dan pusat perniagaan semasa orang Melayu tidak diizinkan.
"Sebaliknya, mereka pula mendabik dada dengan mengatakan kesamaratan perlu ada di Pulau Pinang sedangkan realitinya tidak berlaku," katanya.
Beliau percaya, acap kali UMNO 'dikambing hitamkan' oleh DAP dan ini bagaimanapun tidak ketara terhadap parti-parti komponen BN yang lain - hanya disebabkan UMNO merupakan nadi dan tulang belakang BN.
"Apabila UMNO lemah, BN pun lemah. Pembangkang ini fokus kepada isu yang membawa sentimen kemarahan. Sejak dahulu mereka berbuat demikian, lebih-lebih lagi sekarang mereka mempunyai ruang media yang begitu luas.
"Kita lihat kerana liputan luar negara menyebabkan DAP ghairah mengejar kuasa. Dalam hal ini, mereka telah berjaya apabila kebebasan yang sepatutnya melontarkan fakta tetapi kebencian yang ditanam pula diberikan keutamaan," katanya.
Yang penting sekarang ialah ahli UMNO dan BN mesti terus menggerakkan jentera dan memeriahkan aktiviti Pusat Daerah Mengundi.
Meskipun sekarang rakyat dikatakan lebih memilih calon berbanding parti, namun harus dijelaskan bahawa calon adalah 'kenderaan' parti untuk menubuhkan kerajaan.
Tanpa berniat menidakkan kaji selidik yang dilakukan oleh sebuah universiti tempatan yang menyebut bahawa faktor calon menyumbang faktor kemenangan sesebuah parti sebanyak 33 peratus, di satu sudut lain ialah Rakyat mahu melihat UMNO dan BN bangkit semula - kerana agenda transformasi kerajaan sedang diterjemahkan oleh Perdana Menteri.
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment