Geng Bas Sekolah

July 27, 2012

Ulama Sudahpun Wujud Dalam UMNO

CADANGAN agar UMNO menubuhkan satu Dewan Ulama sebagai sayap parti atau sebuah Majlis Ulama yang bukan bersifat sayap parti sedang hebat diperkatakan. Ada pemimpin dalam parti yang menyokong, ada pula yang tidak dan ada juga yang mahu agar kerajaan mendahulukan penubuhan Majlis Ulama Negara agar ulama yang terdiri daripada kedua belah parti politik iaitu UMNO dan Pas dapat duduk bersama mencapai kata sepakat.

Bagi membuat keputusan yang tepat kita harus melihat semula keperluan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti dan kerajaan untuk mewujudkan badan tersebut baik di peringkat parti atau negara.

Apa yang menyebabkan cadangan ini timbul bukannya kerana kurangnya penglibatan ulama dalam UMNO atau pentadbiran negara. Buktinya, kita dapat lihat bahawa ramai ulama dalam UMNO diberikan peluang menyerlah dalam parti dan kerajaan malah pandangan mereka didengari.

Begitu juga dalam kerajaan apabila ulama yang tidak berparti juga diberikan ruang untuk memainkan peranan. Buktinya, kita punya Majlis Fatwa Kebangsaan, agensi-agensi yang diketuai oleh ulama dan lain-lain organisasi yang memainkan peranan dalam membuat polisi negara agar bertepatan dengan kehendak Islam.

Jadi apakah isu sebenar yang mahu ditangani dengan terlaksananya cadangan ini. Isu sebenar adalah masalah persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang melihat UMNO tidak memberikan ruang kepada golongan ulama untuk memberikan pandangan atau bergiat dalam politik.

UMNO juga menghadapi masalah persepsi bahawa ia bukan sebuah parti Islam kerana pelbagai sebab seperti tidak memperjuangkan hudud, tidak menutup kedai arak, judi dan sebagainya. Ini berlaku kerana berkesannya kempen parti pembangkang terutamanya Pas dalam membentuk imej bahawa kononnya merekalah yang mengamalkan Islam sebenar.

Sedangkan hakikatnya UMNOlah yang mengangkat martabat ulama dan memberikan ruang kepada mereka memberikan pandangan dalam pembentukan dasar-dasar negara. Jika tidak bagaimanakah wujudnya institusi-institusi Islam seperti Tabung Haji, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain lagi.

Lojiknya, jika UMNO itu menolak Islam, maka institusi-institusi ini tidak akan wujud malah UMNO sendiri tidak akan menjadi parti yang mempertahankan Islam dan mempunyai golongan ulama sebagai ahlinya.

Jika persepsi yang menjadi masalah sebenar, kita harus bertanya, adakah penubuhan Majlis Ulama ini merupakan jalan terbaik untuk menangani perkara ini dalam jangka masa panjang. Atau adakah ini merupakan jalan mudah untuk menangani masalah persepsi dalam kalangan rakyat walaupun ini bukannya cara yang terbaik.

Sebenarnya, masalah utama UMNO adalah jentera penerangan yang tidak tersusun dan berkesan dalam memastikan kefahaman bahawa parti keramat inilah yang memperjuangkan Islam dalam ertikata yang sebenar dan bukannya bersifat kosmetik seperti Pas.

Kita tidak perlu terperangkap dengan dakyah Pas bahawa mereka memperjuangkan Islam, hakikatnya merekalah parti yang tidak mampu mempertahankan Islam walaupun punya Dewan Ulama, Mursyidul Am dan dipimpin oleh golongan agama di hampir setiap peringkat parti.

Kita harus sentiasa mengingatkan orang Melayu beragama Islam di negara ini bahawa Pas tidak pernah bersuara apabila sekutu rapatnya, DAP mempersoalkan tentang peruntukan yang diterima oleh orang Islam dari kerajaan. Kita juga harus mengingatkan rakyat bahawa UMNOlah parti yang mengamalkan Islam sebenar walaupun tidak berserban dan berjubah sepanjang masa.

Kita juga harus mengingatkan rakyat negara ini bahawa negara-negara Islam lain di dunia melihat Malaysia sebagai contoh serta tidak ada negara Islam lain yang semaju dan seaman negara kita dan semua ini berlaku kerana usaha UMNO.

Semua ini boleh dilakukan jika kita melihat semula strategi jentera penerangan UMNO dan mengubah kandungan yang diajar dalam subjek Agama Islam di sekolah supaya para pelajar mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian kritikal dan memahami bahawa menjadi Islam bukan hanya setakat memakai pakaian Arab dan membaca al-Quran semata-mata tetapi juga merangkumi perkara-perkara lain yang juga merupakan fardhu kifayah.

Ini akan menjadikan Malaysia lebih progresif dalam jangka masa panjang dan memberikan pencerahan kepada rakyat menerusi pendidikan kerana mereka mampu berfikir secara kritis dan diharap secara tidak langsung mereka sedar bahawa selama ini UMNOlah yang mengangkat martabat Islam di Malaysia. Bukankah ini lebih baik daripada UMNO menari mengikut rentak gendang yang dipalu oleh Pas?

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

1 comment:

Anonymous said...

ULAMA DLM UMNO MMG DAH LAMA WUJUD SEJAK MERDEKA BROO..ULAMA PAS DAN UMNO PUN PENAH BERSATU DI BWH 1 BUMBUNG. UMNO CUMA PERLU LUASKAN LAGI PERANAN ULAMA2 YG BKN PARTISAN UTK GEMBELENG TENAGA MENGHALANG PENGARUH AJARAN SESAT DAN CUBAAN MEMURTADKAN UMAT OLEH2 PIHAK TERTENTU JEK. ITU LG BAIK