Geng Bas Sekolah

May 25, 2012

Himpunan Jutaan Belia Tidak Melupakan Aspek Kerohanian


Hiburan boleh dijadikan sebagai medium dalam menyebarkan dakwah dan nilai-nilai keagamaan kepada golongan belia masa kini.

Isu tersebut telah dibincangkan pada program Borak- borak Kopi O Biskut Kering malam tadi sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 yang bermula pada 23 hingga 27 Mei, di sini.

Sham Kamikaze yang juga dikenali sebagai pemain gitar kumpulan tersebut dijemput sebagai salah seorang ahli panel bagi program berbentuk bual bicara ini.

“ Saya pernah menyertai bengkel yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa masjid dimana saya perlu mengajar golongan belia bermain gitar. Tetapi, bengkel tersebut bukan sahaja berkaitan dengan bermain gitar tetapi secara tidak langsung, belia yang menyertainya juga akan diajak untuk menunaikan solat berjemaah,” katanya.


Menurut Sham lagi, kita tidak seharusnya mendakwa bahawa bermain gitar itu adalah haram kerana secara tidak langsung terdapat dakwah yang boleh disampaikan kepada golongan belia melalui pendekatan tersebut.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh penyanyi rock terkenal negara, Datuk Hattan bahawa pendekatan tersebut boleh diguna pakai dan harus diteruskan.

“ Saya sokong apa yang diperkatakan oleh Sham dan usaha ini perlu diteruskan kerana ia akan mendatangkan kebaikan kepada masa depan belia,” tambahnya yang dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-81 bulan lepas.

Sementara itu, Pengerusi Gerak Dakwah Gerakan Belia 4B Malaysia Anas Azizu berkata, mereka telah melaksanakan beberapa program seperti Jejak Ulama yang mana sekumpulan belia bermotosikal akan berkonvoi ke masjid- masjid yang terpilih di setiap daerah.

“Mereka yang terlibat dalam aktiviti konvoi ini akan turut solat berjemaah bersama ahli masjid serta diberikan tazkirah dan secara tidak langsung penyebaran dakwah kepada golongan muda dapat disampaikan,” ujarnya.

Anas juga berharap pendekatan ini dapat diteruskan dan pihak beliau akan berusaha untuk menjalinkan kerjasama bersama rakan artis dalam meneruskan penyebaran dakwah ini kepada golongan belia.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

1 comment:

Anonymous said...

YG PENTING NIAT..MENYAMPAI DAKWAH BERMACAM2 CARE ADE. CARA MCM MANE PUN TERPULANG KAT INDIVIDU TU ASALKAN TAU BATASAN >:]