Geng Bas Sekolah

May 18, 2012

Bahasa Melayu Semakin Ditekan


Sejak awal kemerdekaan, isu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara sering dipolitikkan. Bukan setakat itu, ianya juga tidak dihargai malah dihina oleh sesetengah pihak. Suatu ketika dahulu, waktu diajar disekolah sekolah ianya dipanggil sebagai bahasa Melayu.

Tetapi diatas desakan pihak pihak tertentu, nama tersebut diganti kepada Bahasa Malaysia. Kononnya nama bahasa MELAYU itu tidak dapat diterima oleh segelintir bangsa asing maka ianya ditukar kepada bahasa Malaysia.

Walaupun begitu, kedudukan bahasa melayu atau Malaysia masih lagi terumbang ambing dinegara sendiri. Semuanya berpunca daripada kelemahan agensi tertentu dan juga keengganan segelintir bangsa asing menggunakannya dengan betul.

Malah sejak akhir akhir ini, ianya menjadi bertambah buruk apabila pihak tertentu didalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris.

Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide.

Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.

Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’ untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta. Jika pegawai Kerajaan sendiri tidak mahu atau malu memartabatkannya, janganlah harap orang lain terutama bangsa asing mahu menghormatinya.

Inilah salah satu penyakit orang melayu. Mereka malu dan juga mudah lupa kepada asal usul bangsa sendiri. Tidak seperti orang cina atau india yang beriya iya mempertahankan bahasa dan tulisan ibunda, orang melayu amat mudah menyerah sehinggakan tulisan jawi yang menjadi identiti bangsa melayu hilang ditelan zaman.

Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.

Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kerana merasakan bahasa inggeris itu lebih baik, moden dan mulia daripada bahasa sendiri maka ada orang melayu yang segan dan enggan menggunakannya.

Bertambah malang apabila warganegara Malaysia yang sudahpun bermastautin berpuluh tahun lamanya masih lagi gagal mengusainya dengan baik. Bukan sahaja mereka ini tidak tahu menulis, malah masih lagi bercakap pelat seolah olah baru tiba daripada negara asal nenek moyang mereka.


Lihatlah video ini dimana seorang wanita cina yang bertutur didalam bahasa inggeris menghina wartawan diwaktu rusuhan kuning tidak lama dahulu. Akhirnya dia dimalukan oleh wartawan berkenaan yang fasih bertutur bahasa melayu.

Sebagai peringatan kepada orang melayu, ingatlah bahasa melayu adalah bahasa orang melayu. Bahasa melayu adalah sebahagian daripada bangsa melayu. Jika orang melayu sendiri enggan dan malu menggunakannya, maka jangan haraplah bangsa asing mahu menghormatinya. Nasib warisan dan identiti orang melayu terletak ditangan orang melayu sendiri.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

No comments: