Geng Bas Sekolah

February 5, 2012

Hayatilah Keamanan Negara


SEINGAT penulis, dasar luar Malaysia sejak azali mengutuk kekejaman rejim zionis Israel merampas tanah rakyat Palestin. Keganasan dan kerakusan Tel Aviv membentuk negara Israel di atas bumi Palestin bukan lagi rahsia malah berlaku secara terang-terangan.

Malangnya, dunia hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Apa yang dapat dilakukan hanyalah mengutuk. Itupun tahap kutukan itu tidaklah sekeras mana sehingga boleh menggelar Israel sebagai terrorist atau pengganas!

Namun penulis percaya, rata-rata rakyat Malaysia mengutuk keras rejim zionis Israel dan bersimpati dengan nasib rakyat Palestin.

Justeru apabila seorang pemimpin tertinggi pembangkang membuat kenyataan menyokong keselamatan `negara’ Israel baru-baru ini, ramai yang kecewa.

Mungkin ada yang berpendapat; “Apa sangatlah kenyataan itu yang disiarkan dalam sebuah majalah antarabangsa. Asalkan pemimpin itu tak mengutuk perjuangan rakyat Palestin, rasanya tak apa.”

Cakap-cakap seperti ini sebenarnya menyerlahkan sikap tidak ambil kisah dan individualistik kita sebagai rakyat Malaysia. Kita menganggap, “Apa sangatlah kenyataan itu...” sedangkan ia menggambarkan dasar atau hala tuju negara yang hendak dipimpinnya. Kita mengatakan, “Asalkan tak mengutuk Palestin... tak apa” sedangkan ia jelas menyokong keselamatan Israel yang secara tidak langsung mengiktiraf `negara haram’ zionis.

Jika kita berhenti sejenak, renungkan dan selami makna kata-kata itu, tentulah kita dapat berfikir betapa kesan kenyataan itu amat menyedihkan. Bukan nasib rakyat Palestin yang teraniaya hendak dibela sebaliknya kedudukan zionis Israel pula yang sibuk hendak dijaga.

Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang memikirkan sejauh itu? Penulis percaya ramai yang tak ambil pot pun mengenainya.

Mungkin ramai yang berfikiran “ia tak ada kena-mengena pun dengan Malaysia”. Kita bersimpati dengan nasib rakyat Palestin tetapi setakat itu sahaja. Kita tidak sanggup berkorban sedikit pun waima memboikot produk syarikat yang terbukti bersekongkol dengan rejim zionis. Kita tidak pernah terfikir malah enggan memikirkan langsung bahawa wang yang kita sumbangkan itu mungkin menjadi peluru yang membunuh satu nyawa kanak-kanak Palestin.

Asalkan bukan aku, anak aku, keluarga aku atau rakan-taulan aku yang kena. Sikap keakuan atau individualistik kalangan rakyat Malaysia kini sebenarnya dapat dilihat di mana-mana. Ramai yang merasakan dirinya sahaja yang penting.

Di jalan raya atau di mana-mana sahaja, orang ini sentiasa hendak cepat seolah-olah mereka orang paling sibuk di dunia. Ketika kenderaan lain merayap di jalan dan lebuh raya yang sesak, akan ada kereta-kereta `orang penting’ ini yang memotong barisan dengan mencelah di lorong kecemasan.

Dalam keadaan tiada kesesakan jalan raya, orang ini akan memandu selaju-lajunya, menyalakan lampu besar dari jarak sebatu untuk memberitahu pemandu di depan akan kehadiran mereka dan mengekori rapat bumper kereta depan jika tidak cepat-cepat ke tepi memberi laluan kepada mereka.

Ketika orang lain berkerumun di hadapan lif, orang ini dengan selamba akan pergi menekan butang (yang sudah pun ditekan) dan berdiri betul-betul di hadapan pintu lif seumpamanya orang lain halimunan.

Janganlah jadi enau dalam belukar yang hanya tahu melepaskan pucuk sendiri.

Boleh dikatakan semua biasa melihat matahari tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar melihat dan menikmatinya? Berapa ramai yang berhenti sejenak melihat keindahan langit yang kemerah-merahan ketika matahari terbenam di ufuk timur – lantas mengagumi kekuasaan-Nya.

Rasanya lebih ramai yang menyumpah apabila sinar terang daripada matahari itu menyilaukan pandangan mata dan mengganggu pemanduan kita.

Penulis percaya masih ramai rakyat Malaysia yang tahu bersyukur. Bersyukurlah pancaran matahari yang menyilaukan mata kita di bumi Malaysia bukannya percikan bom dan mortar seperti di sesetengah negara. - Utusan Malaysia

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

1 comment:

Anonymous said...

TU PSL AL JUBURI NK BEBRBAIK2 DGN ZIONIS. SUPAYA DPT SUPPLY BYK 'BOM SONGSANG' UTK JAHANAMKAN NEGARA KEHKEHKEHKEH