Geng Bas Sekolah

October 25, 2011

Mengejar Kebendaan, Kemanusiaan Dilupakan

Aku tertarik dengan catatan seorang sahabat iaitu Sri Tri Buana disini. Manusia sekarang terlalu mengejar kebendaan sehingga meninggalkan nilai kemanusiaan. Aku faham dengan dunia sekarang, sekiranya kita tidak mempunyai wang, maka kita tidak dapat hidup didalam dunia yang serba mencabar.

Tetapi wang bukanlah segalanya. Walaupun mempunyai wang yang banyak, kita tidak boleh membeli 3 perkara utama dalam hidup iaitu Kesihatan, Nyawa dan Kebahagiaan. Tiga perkara ini sememangnya kita tidak mampu miliki walaupun kita mempunyai wang yang banyak.

Budaya mengejar kebendaan begitu jelas didalam masyarakat sekarang. Baik diperingkat rakyat bawahan sehinggalah kepada golongan korporat dan ahli politik. Didalam politik, budaya ini amat merbahaya sekali. Bukan sahaja boleh menghancurkan parti malah turut memusnahkan negara.

Sekarang banyak negara Arab yang kaya raya mulai terancam apabila nilai kemanusian terhakis akibat mengejar kebendaan. Beberapa negara yang mempunyai pemimpin yang kaya harta tetapi miskin kemanusiaan telahpun mendapat balasan apabila digulingkan oleh rakyatnya sendiri. Sehingga baru baru ini seorang pemimpin yang kaya akhirnya mati dibunuh disaluran pembentungan setelah gagal melarikan diri.

Adakah kekayaan yang dikumpulnya semasa hidup dapat membantunya ketika mati? Adakah kekayaan itu dapat menutup aib jenazahnya yang kini menjadi tontonan orang ramai? Akibat kerakusan dia mengejar kebendaan, dia lupa nilai kemanusiaan. Sanggup membunuh rakyat sewenang wenangnya. Dan sekarang jenazahnya pula diaibkan apabila nilai kemanusiaan hilang dikalangan rakyat akibat perasaan benci dan dendam.




Akhir zaman ini, untuk mengejar wang, manusia sanggup membuat apa saja walaupun membunuh atau meragut orang tua yang tidak berdaya. Nilai kemanusiaan sebenarnya telah mula luntur didalam masyarakat kita. Sekira ianya tidak dibendung sekarang, ianya boleh menghancurkan masa depan negara.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

No comments: