BARU-baru ini sebuah akhbar melaporkan rumah peninggalan pahlawan Melayu yang menentang British, Datuk Maharajalela di Perak terbiar dan menjadi sarang penagih dadah.
Datuk Maharajalela ialah tokoh dalam sejarah moden Melayu hingga mencatatkan peristiwa besar pembunuhan Residen British, J.W.W Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875. Pahlawan ini akhirnya ditangkap British dan dihukum mati.
Kalau benar seperti yang dilaporkan, kita semua ini bangsa jenis apakah namanya? Adakah kita ini bangsa yang melupakan perjuangan orang terdahulu, lama sebelum timbul gerakan menuntut kemerdekaan oleh golongan politik Melayu?
Perjuangan menuntut kemerdekaan bermula jauh lebih awal daripada laungan “merdeka” Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Antara yang menyumbang kepada laungan itu adalah Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Putum dan banyak lagi.
Apabila rumah tradisional peninggalan Datuk Maharajalela terbiar, ini adalah sikap bangsa kita yang sebenar terhadap orang yang berjasa. Kita menjadi bangsa yang tidak tahu mengenang jasa.
Buktinya, perdebatan siapakah memperjuang merdeka hanya berlegar tahun 1940-an hingga 1950-an sahaja. Tokoh sebesar Datuk Maharajalela pun kita boleh lupakan, apa lagi tokoh yang lebih kecil atau berhaluan kiri kepada British.
Adakah ini kerana kita tidak menganggap British itu menjajah kita sebaliknya menaungi kita? Lalu menentang British sama dengan menentang raja-raja Melayu ketika itu yang menerima “nasihat” British?
Kalau sejarah Datuk Maharajalela itu sangat lama, bangsa kita juga telah melupakan pejuang-pejuang yang bergadai nyawa di Bukit Kepong tahun 1952.
Buktinya selepas tercetus kontroversi barulah Bukit Kepong dijejaki semula. Ramai pula yang menziarah pusara pejuang itu yang sebelum ini tidak pernah dikunjungi dengan begitu meriah.
Mujur juga ada kontroversi, setidak-tidaknya bangsa kita boleh mengingati kembali satu episod dalam siri perjuangan silam.
Ketika rumah peninggalan Datuk Maharajalela terbiar walaupun senibinanya sangat unik, bangsa kita lebih berbangga memulihara peninggalan penjajah seperti di Melaka dan Pulau Pinang. Lebih berbanggalah bangsa kita apabila badan antarabangsa seperti UNESCO mengumumkan sebagai tapak warisan dunia.
Mujurlah ada penjajah yang merompak sekian banyak hasil bumi, dapatlah kita “berbangga” dengan pengiktirafan yang diberikan oleh UNESCO. Kita tidak sedikit pun mempersoalkan kenapa tapak warisan dunia mempunyai kaitan dengan penjajah?
Barangkali kerana Datuk Maharajalela itu penentang British maka ini bukan sejarah besar bangsa Melayu yang mesti diingati dan dibanggakan.
Demikianlah nilai perjuangan seorang pahlawan Melayu di mata bangsanya yang lebih British dari British.
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
2 comments:
APE BARANG NAK KENANG JASA KOMUNIS BROO..KASI LUDAH 1000 KALI SAMPAI TERHAKIS MUKA KOMUNIS TINGGAL TULANG LAGI BESHH! KEHKEHKEH
jeff: maksud entry aku tu orang melayu sebenarnya tak kenang langsung jasa pejuang melayu terdahulu.
aku saja letak nama lim guan eng kat tajuk.
nampak sangat ko tak baca ye.
Post a Comment