Geng Bas Sekolah

May 8, 2011

Siapa musuh perpaduan umat Islam?

Buat seketika Awang terasa syahdu dalam penuh kesyukuran. Cukup terkesan di hati apabila menatap gambar muka depan Utusan Malaysia terbitan 5 Mei lalu yang memaparkan keriangan rakyat Palestin ekoran perdamaian kesemua puak termasuk Fatah dan Hamas. Sudah lama rakyat Palestin tidak seceria itu.


Selama ini banyak pihak skeptikal bahawa puak-puak yang berbalah terutama antara Fatah dan Hamas akan berdamai. Semua orang tahu, permusuhan mereka kerap menyaksikan pertumpahan darah sesama saudara Islam. Tetapi usaha yang berterusan biarpun dalam permasalahan yang dilihat kompleks, membuahkan hasil akhirnya.

Sudah tentu pihak yang paling tidak senang dan mengecam perjanjian damai itu ialah Israel. Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang mencari apa sahaja cara untuk melihat puak-puak itu kembali bermusuhan. Lalu fikiran Awang kembali kepada senario di tanah air. Apakah dua parti politik utama umat Islam iaitu UMNO dan Pas, yang sudah lama berseteru akan kembali bersatu atau setidak-tidaknya bermuafakat dalam isu-isu kepentingan agama dan bangsa?


Persoalan tersebut paling menarik perhatian kerana majoriti umat Islam semakin mengharapkan kedua-dua parti itu menemui titik damai baru. Setakat ini usaha ke arah itu menemui kegagalan kerana banyak faktor. Ini termasuk sikap beberapa kerat pemimpin Pas yang menolak seruan perpaduan ummah hanya kerana terikat percaturan politik pakatan pembangkang.

Pas kini bukan sahaja tidak dominan dalam pakatan pembangkang malah terus diperkudakan oleh DAP dan PKR. Pemimpin Pas seperti Nik Aziz Nik Mat asyik tunduk dan mengikut rentak DAP walaupun parti itu terang-terangan menolak penubuhan negara Islam.

Kerjasama Pas dan DAP sama sekali tidak menjadikan Pas lebih kuat sebaliknya semakin ditolak oleh ramai orang Islam berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Yang untung dan terus untung ialah DAP. Itulah yang membolehkan pemimpin utamanya, Lim Kit Siang terus menguntum senyum lebar termasuk dalam tidurnya.


Ketua Pembangkang itu pula telah terbukti tunduk kepada kehendak DAP demi mengejar impian untuk berkuasa. Belum pernah juga dalam sejarah, pembangkang dipimpin oleh tokoh paling dahsyat isu moralnya tetapi dihalal bukan sahaja oleh DAP, malah Nik Aziz. Awang hairan, sebagai ulama beliau tidak berpegang kepada prinsip moral.

Dalam isu perpaduan antara dua parti terbesar umat Islam, Nik Aziz menolak dan memperlekehkan usaha ke arah itu dengan pelbagai alasan dan hujah dangkal. Bahkan, beliau asyik menghina UMNO yang juga pendokong Islam- perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama. Sikap angkuh, riak dan kecelaruan Nik Aziz sudah menjadi liabiliti kepada Pas. Tok guru itu perlu dipertanggungjawabkan jika umat Islam terjajah oleh muslihat DAP dan PKR. Awang setuju dengan pandangan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya bahawa pihak yang menentang penyatuan UMNO dan Pas sebagai pengkhianat Islam.


Tetapi Nik Aziz tidak peduli semua itu. Beliau rela bersubahat dengan musuh Islam daripada berbaik dengan UMNO, parti paling banyak berjasa kepada pembangunan umat Islam. Sedangkan DAP mempunyai gagasan Malaysian Malaysia, yang agenda tersirat mahu menulis semula perlembagaan atas konsep kesamarataan bagi menjadikan Malaysia negara republik. Konsep tersebut akan diolah hanya untuk menjulang kepentingan satu kaum kerana DAP sememangnya parti paling rasis bertopengkan istilah demokratik. Awang tidak nampak jasa DAP kepada kaum India apatah lagi Melayu.

'Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Engkaulah yang memberikan kuasa kepada siapa jua yang Engkau kehendaki. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui apa yang kami sedang alami.

''Angkatlah orang yang beriman untuk memimpin kami dan negara kami, dan jauhkanlah kami daripada dipimpin oleh orang munafik dan fasik. Sesungguhnya tiada daya upaya kami, ya Allah, melainkan dengan ketentuanMu. Tentukanlah yang terbaik bagi kami. Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sumber: Utusan Malaysia

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

1 comment:

Anonymous said...

SELAGI DEEAYPIG, GENG ERDOGEN ADE DLM PASBODOW SELAGI TU LA TAK KAN WUJUD PERPADUAN BROO