PLURALISME agama adalah satu konsep yang mempunyai pengertian luas dan lazimnya ia dikaitkan dengan penerimaan seseorang terhadap agama-agama yang berbeza.
Dalam maksud yang lebih jelas, agama seseorang bukanlah satu-satunya sumber eksklusif bagi mencari kebenaran kerana ia boleh ditemui atau setidak-tidaknya 'ajarannya yang hampir sama' diperoleh daripada agama-agama lain.
Bagi umat Islam, persepsi sedemikian seharusnya ditolak kerana ia amat berbahaya dan seolah-olah menyamakan agama-agama lain dengan kesucian agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia sejagat melalui Nabi Muhammad SAW.
Isu pluralisme agama kembali mencetuskan polemik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa tokoh agama melahirkan kebimbangan mengenai ancaman fahaman tersebut, apalagi konsep itu dikatakan cuba dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara ini.
Sebagai pemimpin pembangkang berpengaruh dan pernah pula menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), tindak-tanduk Anwar itu jika dibiarkan boleh menjadi satu persepsi yang berkembang luas dalam masyarakat Islam negara ini.
Apa yang lebih dibimbangi lagi, menyamakan Islam dengan agama lain akan lambat-laun mendorong pihak agama lain untuk menggugat dan mempertikai kedudukan istimewa Islam sebagai agama rasmi negara ini termasuk hak untuk mendapat layanan dan peruntukan di bawah Perlembagaan.
Perkara seperti ini tidak mustahil berlaku kerana di sesetengah negara, pluralisme agama telah berkembang termasuk dalam soal perkahwinan sehingga berlaku dalam keluarga Islam, ada ahli keluarganya beragama Hindu, Kristian dan sebagainya.
Walaupun Islam menggalakkan sikap bertoleransi serta menghargai masyarakat beragama lain, namun toleransi itu tidak bererti semua agama di dunia ini perlu dianggap sama.
Persepsi sedemikian apalagi jika cuba dibawa oleh mana-mana pihak atas nama perjuangan politik sekalipun perlu dihalang dan diperbetulkan segera. Menjadi tanggungjawab ulama dan guru agama tanpa mengira fahaman politik untuk tampil menjelaskan kepada umat Islam.
Walaupun ada golongan agama tidak sehaluan dengan kerajaan Barisan Nasional sekalipun, mereka tidak boleh 'memilih bulu' dan wajar mencontohi sikap Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang berani menegur pihak terbabit.
Sikap liberal sesetengah pemimpin Melayu pembangkang, sebenarnya telah membuka ruang kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mewujudkan portfolio khas untuk menjaga hal-ehwal bukan Islam di Pulau Pinang.
Kita amat bimbang, lebih banyak perkara yang bakal tercetus di negara ini jika orang Melayu dan umat Islam tidak bijak menilai bahaya yang bakal mendatang. Jika mereka tersilap percaturan, bukan soal bangsa saja menjadi pertaruhan tetapi kedudukan dan kesucian Islam itu sendiri.
No comments:
Post a Comment