Ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Khamis lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi satu pesanan yang cukup bermakna. Baginda tidak mahu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan.
Tiga perkataan tersebut membawa erti yang cukup besar dalam arena politik negara sejak pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas memperoleh kemenangan yang agak besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. 'Diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan' atau pendekatan 3D menjadi corak berpolitik mereka dalam usaha mencapai cita-cita menguasai negara.
Oleh itu, apa sahaja isu yang mereka lihat ada ruang untuk melaksanakan politik 3D tersebut, mereka akan lakukan. Pembangkang tidak peduli apa kesannya, apatah lagi sama ada tindakan mereka betul atau tidak. Apa sahaja isu yang boleh diperbesarkan, mereka perbesarkan, apa juga yang boleh dipolitikkan mereka politikkan dan apa hal yang boleh disensasikan, mereka sensasikan.
Akibatnya, arena politik negara tidak pernah tenteram dengan kerenah pembangkang. Ada sahaja tindak tanduk mereka yang merimaskan.
Keadaan ini cukup ketara terutama di negeri-negeri yang berada di bawah penguasaan mereka seperti Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Sebut apa sahaja isu, semuanya mahu diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan hatta melibatkan kes jenayah sekali pun.
Perkara yang paling mereka suka adalah perkara melibatkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau tindakan yang menunjukkan ada kepincangan oleh agensi kerajaan atau isu yang boleh dimanipulasikan bagi meraih sokongan kaum tertentu.
Jika ketiga-tiga isu itu berlaku, maka muncul pemimpin-pemimpin pembangkang yang bersedia melancarkan politik 3D tersebut. Mereka ingin memaparkan, merekalah pejuang rakyat, merekalah paling sempurna kalau memerintah dan merekalah pembanteras segala kepincangan dalam agensi kerajaan.
Tetapi jika kita menoleh ke negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang sama ada di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, ia tidaklah sehebat mana.
Apa yang anehnya, kalau berlaku sesuatu isu di negeri-negeri berkenaan yang menampakkan kelemahan pentadbiran mereka, maka 'terpekik terlolonglah' mereka menuduh BN sengaja memperbesarkan, mempolitikkan dan mensensasikan isu tersebut.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Selangor dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, sepatutnya tidak ada permainan politik 3D oleh kerajaan PKR, tetapi ia tetap berlaku.
Semua itu terjadi kerana kerajaan pakatan pembangkang di negeri berkenaan mengamalkan politik melampau. Bagi mereka seolah-olah apa sahaja yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, orang lain tidak boleh campur.
Akibatnya, mereka 'melanggar' segala tata susila pentadbiran selama ini yang sudah tentulah turut melibatkan bidang kuasa kerajaan pusat. Tetapi oleh kerana kerajaan pusat tidak sehaluan dengan mereka dalam politik, maka wujudkan politik 3D.
Begitu juga dalam kes jenayah, ada sesetengah kes yang ditembak mati oleh polis adalah penjenayah tetapi akan muncul kelompok politik yang kononnya menjadi pembela. Ayat yang paling mereka suka, ''kerajaan perlu tubuh suruhanjaya diraja.''
Kalaulah kerajaan mengikut rentak politik 3D pembangkang tersebut, entah berapa banyak suruhanjaya diraja mahu ditubuhkan, hatta kalau bas ekspres terbalik sekali pun mereka akan desak suruhanjaya berkenaan ditubuhkan.
Sebenarnya niat pembangkang bukanlah ikhlas ingin membela rakyat tetapi hanya mahu mengambil kesempatan kerana merasakan kedudukan politik mereka kuat selepas kejayaan dalam PRU 2008.
Sikap pembangkang dalam mengamalkan politik 3D ini cukup ketara melalui pelaksanaan gagasan 1Malaysia. Mereka secara terbuka menyerang gagasan itu dengan menganggapnya ia bermotif politik. Sebab itulah di Selangor, kerajaan PKR cukup alergi dengan logo 1Malaysia, biarpun hakikatnya gagasan tersebut bertujuan menyatupadukan rakyat negara ini.
Gagasan 1Malaysia tidak ada salahnya, ia bukan soal idea pemimpin BN atau tidak, tetapi ia demi kebaikan semua rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik, kaum mahupun agama.
Bagaimanapun, pembangkang takut dengan gagasan yang mungkin mereka anggap sudah menjadi 'keramat' kerana di mana-mana sahaja perkataan 1Malaysia disebut.
Pembangkang memahami 1Malaysia mempunyai kebaikannya demi perpaduan masyarakat majmuk di negara ini, tetapi mereka melupakan itu semua. Ini kerana dalam kepala mereka hanya politik, politik dan politik. Justeru gagasan itu mahu dilemahkan dan dicemari, maka wujudlah andaian songsang oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan gagasan berkenaan dengan Israel.
Walaupun kerajaan BN telah memberikan bukti bahawa dakwaan tersebut adalah palsu tetapi pembangkang termasuklah Anwar peduli apa! yang penting bagi mereka gerakan politik 3D harus dilaksanakan bagi mengabui mata dan fikiran rakyat.
Terbaru, Anwar dengan penuh gah menyatakan akan mendedahkan bukti dan kaitan antara APCO Worldwide dengan gagasan 1Malaysia pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang mulai 22 Januari ini.
Apa yang mengecewakan, walaupun pembangkang mengetahui amalan politik 3D ini tidak akan menguntungkan rakyat malahan ada ketikanya boleh mencemarkan imej negara, namun ia tidak dipedulikan.
Impian menawan Putrajaya dan 'menabalkan' Anwar sebagai Perdana Menteri menjadi matlamat utama. Oleh itu, apa sahaja corak politik yang boleh diamalkan akan mereka lakukan.
Kesudahannya, arena politik negara tidak pernah tenang, malahan sejak Mac 2008, ada sahaja isu yang dimainkan oleh pembangkang semata-mata untuk menunjukkan kewujudan mereka. Akibat keghairahan itu maka berlakulah pembohongan, pendustaan dan fitnah terhadap kerajaan BN dalam sesetengah isu yang dibangkitkan oleh pakatan pembangkang.
Lebih mengecewakan, oleh kerana amalan politik 3D ini, maka ada antara pemimpin mereka mengeluarkan hujah dan 'fatwa' sesuka hati.
Keadaan itu menyebabkan berlaku situasi di mana bagi pembangkang kalau mereka buat tak apa tetapi kalau kerajaan BN lakukan, tidak boleh.
Sememangnya amalan politik 3D ini tidak boleh dibiarkan, rakyat tidak harus terpengaruh dengan cara politik seumpama itu kerana ia tidak akan menguntungkan mereka.
Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat.
Oleh itu, janganlah mudah terpedaya dengan apa yang pembangkang katakan. Janganlah sampai kerana terperangkap dengan politik 3D pembangkang, rakyat akhirnya mengalami satu lagi sindrom 3D iaitu 'Diperdayakan', Dibohongi dan Disengsarakan.''
Sumber: Utusan Malaysia
2 comments:
thx for droppin at my blog..btw,is it all bout politics here??..
izzah: u welcome..yes this blog all about politic
Post a Comment