Geng Bas Sekolah

November 15, 2010

Tuduhan Kes Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR, 3 Sept. _ Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan hubungan homoseksual, hubungan seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri orang, menurut dakwaan dalam satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dia juga didakwa menerima RM60 juta dari Datuk S. Nallakaruppan atau Nalla pada pilihan raya umum 1995.

Selain itu, Nalla sering mengikutinya ke luar negara dan menjalankan aktiviti-aktiviti sebagai orang tengah yang membolehkan Anwar dipergunakan oleh anasir-anasir jahat bagi mengancam keselamatan negara.

Dakwaan-dakwaan ini terkandung dalam afidavit Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, SAC 1 Musa Haji Hassan, yang juga penyelia pegawai penyiasat kes buku ''50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM''.

SAC 1 Musa, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, Ketua Pengarah Penjara Datuk Haji Omar Mohamed Dan dan ACP V. Ramasamy memfailkan afidavit sebagai jawapan untuk mengetepikan permohonan Nalla supaya dipindah penahanannya dari lokap Bukit Aman ke penjara Sungai Buloh.

Keempat-empat afidavit itu dikepilkan dengan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara hari ini.

Nalla ditahan di Bukit Aman mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri sementara menunggu perbicaraannya terhadap tuduhan memiliki secara haram 125 butir peluru senjata api jenis Fiocchi 6.35 mm.

Polis menjumpai peluru itu di rumah Nalla semasa menjalankan siasatan berhubung buku berkenaan.



SAC 1 Musa dalam afidavitnya menyatakan tujuh orang saksi telah memberi pernyataan bertulis semasa penyiasatannya.

Berikut ialah pernyataan-pernyataan saksi yang terkandung dalam afidavitnya:

+ Seorang saksi lelaki telah menyatakan bahawa dia telah diliwat oleh Anwar sebanyak 15 kali. Kegiatan homoseksual ini telah dilakukan di beberapa tempat termasuk di sebuah apartmen, Tivoli Villa di Bangsar. Apartmen ini dimiliki oleh sebuah syarikat yang mana Nallakaruppan adalah salah seorang pengarahnya yang mempunyai akses ke atas apartmen tersebut.

+ Seorang saksi telah memberi kenyataan bahawa dia mengesyaki kakak iparnya menjalinkan hubungan seks dengan Anwar dan perbuatan tersebut dilakukan di apartmen Tivoli Villa.

+ Bekas pemandu peribadi Nalla dalam kenyataannya menyatakan bahawa dia pernah membawa Anwar bersama Nalla pergi ke tempat tertentu untuk perkhidmatan seks haram. Dia pernah ditugaskan oleh Nalla untuk pergi mengambil perempuan-perempuan berbangsa Cina, Mexican, Eurasian dan bangsa lain untuk kegiatan seks haram. Pernah pada suatu ketika, selepas balik dari apartmen Tivoli Villa, saksi ini memandu kereta yang dinaiki oleh Anwar bersama Nalla dan seorang wanita, yang mana Anwar dilihat memakai rambut palsu.


+ Seorang saksi yang terlibat dalam pembekalan perempuan-perempuan bagi maksud pelacuran menyatakan bahawa Nalla pernah menghubunginya untuk mendapatkan khidmat seks haram. Saksi ini menyatakan dia juga beberapa kali telah membekalkan kepada Nalla perempuan-perempuan tersebut.


+ Seorang saksi wanita menyatakan bahawa Nalla telah memperkenalkannya kepada Anwar semasa di dalam kereta. Kemudiannya mereka bertiga telah pergi ke apartmen Tivoli Villa. Di sebuah bilik di dalam apartmen tersebut saksi ini menyatakan dia telah dicabul kehormatannya dan dia juga menyatakan bahawa Anwar telah merayu-rayu kepadanya untuk mengadakan hubungan seks tetapi dia telah menolaknya. Sewaktu kejadian ini berlaku Nalla berada di apartmen tersebut.


+ Seorang lagi saksi wanita menyatakan bahawa dia pernah dibawa oleh Nalla ke sebuah banglo dan diperkenalkan kepada Anwar. Saksi ini menyatakan dia diminta masuk ke sebuah bilik dan kemudiannya Anwar telah masuk ke bilik tersebut lalu mencium dan menghempapnya sambil memeluknya. Namun dia tidak menyerahkan dirinya untuk hubungan seks. Untuk mengelakkan dirinya daripada keadaan tersebut dia telah membuat helah yang dia di dalam keadaan haid.


+ Seorang lagi saksi wanita yang bekerja di sebuah syarikat yang mana Nalla adalah salah seorang Pengarah syarikat tersebut, menyatakan bahawa dia pernah dibawa oleh Nalla ke apartmen Tivoli Villa dengan kereta yang dipandu sendiri oleh Nalla. Di apartmen tersebut dia telah terperanjat apabila ditemukan dengan Anwar. Mereka telah mengadakan hubungan seks. Setelah selesai mengadakan hubungan seks dengan Anwar saksi ini menyatakan bahawa mereka telah berbincang tentang hal ehwal politik negara. Nalla telah memberi saksi ini RM350.


+ Pihak polis juga mempunyai keterangan bahawa Nalla ada memberi wang tunai berjumlah RM60 juta kepada Datuk Seri Anwar semasa pilihan raya umum tahun 1995.


+ Terdapat juga keterangan yang menunjukkan Nalla telah mengalihkan aktiviti-aktivitinya ke sebuah apartmen di Impiana Court, Ampang, Selangor selepas siasatan pertama yang dijalankan berkaitan surat layang terhadap skandal seks Anwar pada Ogos 1997. Apartmen ini dimiliki oleh sebuah syarikat yang disenaraikan di Papan Pertama Bursa Saham Kuala Lumpur di mana dia merupakan seorang dari Pengarahnya. Kegiatan-kegiatan seks haram ini masih beterusan walaupun siasatan polis telah dimulakan.


Menurut afidavit itu, sewaktu polis menjalankan siasatan, satu lagi laporan polis telah dibuat oleh seorang ahli korporat yang mendakwa bahawa Anwar cuba memikat isterinya.

Perkara itu berlaku ketika beliau dan isterinya mengikuti rombongan Anwar ke Washington.

Dalam siasatan polis, terbukti Nalla telah juga terlibat dalam aduan yang dibuat oleh ahli korporat itu.

Polis juga mempunyai maklumat bahawa Nalla sering mengikuti Anwar ke luar negara dan menjalankan aktiviti-aktiviti sebagai orang tengah yang membolehkan Anwar dipergunakan oleh anasir-anasir jahat luar negara yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara. _ Bernama

Sumber: Arkibcmk

No comments: