Geng Bas Sekolah

November 26, 2010

PAS Bukan Perjuangkan Islam

Dakwah Islamiyah sering diselewengkan oleh umat Islam kerana kebanyakan daripada penceramah agama lebih menumpukan perhatian kepada perjuangan politik melebihi kepentingan agama dan umat.

Apabila suasana begini wujud maka usaha untuk mendidik masyarakat menjadi orang Islam beriman akan gagal kerana intisari dalam ceramah lebih mirip kepada kutukan dan ejekan. Sikap mengutuk dan mempersendakan individu-individu dan golongan tertentu menjadi lumrah kepada kebanyakan penceramah agama di dunia Islam masa kini.

"Seseorang meminta Rasulullah SAW supaya baginda mendoakan orang musyrik mendapat bala bencana. Baginda menjawab, "Aku bukan diutus menjadi tukang laknat tetapi untuk menjadi rahmat." Sabda baginda ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pendakwah Islam. (Isu Doa Pecah Perut)

Pergerakan Jamaah Islamiyah di Mesir yang dikenali oleh media sebagai Tanzim al-Jihad menggunakan Syeikh Omar Abdul Rahman, seorang ulama buta mengeluarkan fatwa yang mengejutkan masyarakat Mesir.

Ahli-ahli pergerakan tersebut menggambarkan kepada beliau betapa jahilnya masyarakat Islam Mesir sehingga beliau mengeluarkan fatwa bahawa masyarakat Mesir adalah 'beruk' atau 'monyet'. Fatwa Umar Abdul Rahman ini bukan sahaja diamalkan oleh Pergerakan Tanzim al-Jihad malah ia juga menjadi fatwa kepada penceramah radikal di Malaysia.

Pendakwah sepatutnya memahami realiti kehidupan masyarakat di sekeliling mereka dan menggunakan akal yang rasional dalam merancang program dan pendekatan dakwah kepada masyarakat. Jika masyarakat jahil tentang agama Islam pendakwah sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar serta menggalakkan mereka mengamalkan perkara-perkara berkaitan dengan fardu ain terlebih dahulu daripada membicarakan perkara-perkara yang menyukarkan akal fikiran masyarakat dan menyebabkan mereka merasai betapa sukarnya menjadi umat Islam.

Sikap gemar mengejek dan merendahkan keperibadian orang lain bukan merupakan ciri-ciri pendakwah yang berwibawa.

Rasulullah SAW menyeru pendakwah Islam supaya memahami kecapaian akal fikiran manusia ketika berdakwah. Sikap radikal dan 'ujub (merasai diri terlalu warak dan beriman) bukan merupakan sifat pendakwah Islam. Kuliah subuh sepatutnya digunakan untuk menerapkan ilmu wahyu dalam hati nurani masyarakat bukan menghemburkan cacian dan cercaan kepada orang yang tidak bersefahaman dengan ideologi politik.

Pendakwah Islam sepatutnya menjadi orang yang paling sabar menghadapi kerenah masyarakat kerana peranan mereka ialah mendorong masyarakat ke arah syurga. Jika hati nurani pendakwah dilatih menjadi orang yang sabar dan mempunyai azam yang kuat untuk mendorong masyarakat ke arah kebahagiaan hakiki iaitu memasuki syurga, mereka tidak akan menghina dan mempersendakan orang yang jahil agama.

Sikap gemar mengejek dan merendahkan keperibadian orang lain bukan merupakan ciri-ciri pendakwah yang berwibawa.

Realiti yang wujud masa kini ialah terdapat pendakwah Islam kurang perihatin terhadap akhlak Islam dalam penyampaian ilmu wahyu. Sentimen politik lebih mempengaruhi pemikiran mereka ketika menyampaikan ilmu wahyu. Sepatutnya penceramah memahami bahawa orang yang hadir dalam majlis ilmu wahyu ialah orang yang mengharapkan panduan dan didikan agama bukan kutukan dan cercaan. Sedangkan mencerca orang musyrik pun dilarang oleh Rasulullah SAW.

Perkara ini dijelaskan oleh Abu Hurairah r.a. dengan katanya, "Seseorang meminta Rasulullah SAW supaya baginda mendoakan orang musyrik mendapat bala bencana. Baginda menjawab, "Aku bukan diutus menjadi tukang laknat tetapi untuk menjadi rahmat." Sabda baginda ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pendakwah Islam.

Sumber: Utusan malaysia

No comments: