“Hargailah dan jangan mempersiakan kemerdekaan yang dinikmati sekarang kerana perjuangan untuk memperolehnya bukan mudah memandangkan ia memerlukan pengorbanan yang besar,” demikian kata seorang veteran perang tempatan ketika Perang Dunia Kedua, Philip Mairon, 85, dari Penampang, Sabah.
Philip terlibat dalam perjuangan membebaskan negara daripada tentera Jepun pada 1942 dengan menyertai pasukan gerila yang dikendalikan oleh Tentera Bersekutu Australia dan Britain.
Katanya, perjuangan untuk membebaskan negara daripada tentera Jepun ketika itu menjadi matlamat penting kerana tiadanya erti kebebasan ketika itu dan hidup pula dalam ketakutan.
Ketika menceritakan pengalamannya kepada Bernama, Philip berkata ia bermula apabila dia bersama 29 rakannya ditangkap oleh tentera Jepun di Kota Kinabalu yang ketika itu dikenali sebagai Jesselton. Kemudian mereka dibawa ke kawasan Buli Sim-Sim sebagai buruh untuk membuat kerja mengimpal kapal dan membina kapal tentera Jepun.
Katanya, beliau dan tahanan lain menjalani hidup yang penuh derita dan diugut hukuman pancung jika silap atau lambat membuat kerja.
“Hidup di kem tahanan itu membuatkan saya nekad untuk berjuang membebaskan diri dan membebaskan negara daripada penjajahan tentera Jepun ketika itu,” katanya yang ditemui ketika menghadiri Hari Peringatan Sandakan baru-baru ini.
Hari Peringatan Sandakan itu diadakan bagi memperingati tentera Australia dan Britain yang terkorban di Kem Tahanan Jepun dan Perjalanan Maut dari Sandakan ke Ranau.
Mengimbas semula pengalaman itu, Philip berkata pada suatu hari, dia bersama beberapa rakannya berjaya melarikan diri ke dalam hutan selepas tujuh hari bekerja di bawah tentera Jepun dengan matlamat mahu lari balik ke Jesselton untuk bertemu keluarga.
Setibanya di Kampung Muanad di Beluran, mereka bertemu seorang pemimpin di kampung itu dikenali sebagai OKK Khulang yang meminta mereka tidak meneruskan perjalanan ke Jesselton kerana setiap laluan telah dikuasai oleh tentera Jepun.
Philip bersama rakan-rakannya bersetuju dan menetap di kampung itu selama setahun sebelum menyertai pasukan gerila yang dikendalikan oleh Tentera Bersekutu Australia dan Britian.
Katanya penyertaan mereka dalam pasukan gerila bermatlamat mahu membebaskan negara daripada tentera Jepun ketika itu dan dia berjaya membunuh empat tentera Jepun dalam beberapa pertempuran.
Beliau tidak akan melupakan pengalaman itu dan bangga dapat memainkan peranan membantu mendapatkan kebebasan negara daripada tentera Jepun.
Setelah Jepun berundur dari negara ini, Philip diserapkan ke dalam pasukan polis sebelum bersara pada tahun 1974 dengan pangkat Ketua Inspektor.
Ketika negara dalam keadaan aman dan membangun dengan pesat pada masa sekarang, Philip meminta semua rakyat sama-sama menjaga keamanan dan menghargai erti kemerdekaan yang dikecapi itu.
“Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bukannya satu kerja mudah dan ia memerlukan pengorbanan yang besar termasuk mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkannya,” katanya.
Biarpun telah berusia, beliau berkata semangat berkorban untuk negara masih ada pada dirinya dan sejarah perjuangannya menentang tentera Jepun turut dikongsi bersama cucu serta cicit supaya mereka dapat menghargai erti kemerdekaan.
Philip berkata kemerdekaan yang dinikmati negara pada masa sekarang membolehkan rakyat menikmati hidup yang aman dan selesa hasil daripada perjuangan generasi sepertinya.
Katanya bagi pejuang sepertinya, mereka tidak memerlukan jasa dan pengorbanan mereka dihargai tetapi cukuplah rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sama-sama menjaga kemerdekaan negara.
“Jangan biarkan anasir jahat merosakkan keamanan yang dinikmati sekarang kerana perjuangan mempertahankan negara sekarang berbeza berbanding zaman dahulu yang memerlukan kami memegang senjata dan bertempur dengan musuh di lapangan,” kata PhilipTamat Hikayat Malaysia Heaven. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.
2 comments:
SALAM KEMERDEKAAN BROO!!..AGI IDOP AGI NGELABAN
selamat menyambut kemerdekaan
Post a Comment