Geng Bas Sekolah

August 11, 2010

Misi Bantuan Ke Penang - UMNO P.Pinang Wajib Dibubarkan!

BENARKAH NGO kini mula mengambil alih peranan parti politik?

Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan dengannya pernah berkata ''ini ialah masanya untuk NGO." Parti politik, katanya sudah lari daripada peranan mereka. Mereka sudah terlalu terikat kepada soal-soal yang terlalu politiking atau terlalu peribadi. Tapi benarkah?

Sayap parti politik yang satu masa dulu menjadi jurubicara rakyat jelata kini muram. Benarkah? Adalah sesekali mereka menunjukkan belang dengan memperjuangkan nasib wanita yang dilarikan jejaka Lombok. Membuat kenyataan demi kenyataan dengan muka terpampang di akhbar. Berteriak di hadapan Kedutaan Amerika, tapi apa lagi?

Rakyat kini memerlukan perhatian untuk membela nasib mereka. Terlalu banyak rungutan yang perlu diselesaikan. Mereka seharusnya berdiri bersama-sama rakyat.

Siapakah orang politik Melayu yang turut padang membela orang Melayu Pulau Pinang sekarang daripada kerakusan Lim Guan Eng? Mengikut orang saya di Pulau Pinang tak nampak, kecuali NGO.

Satu jolokan (bukan saya yang cipta) dalam blog Pisau.net menggambarkan sebuah parti politik Melayu di Pulau Pinang sedang menganjurkan kempen jom tidoq.

Kita tidak bermaksud memperkecilkan peranan mereka, tapi suara mereka kini terlalu senyap. Mereka harus berdiri, buat bising dan berteriak atas nama rakyat.

Guan Eng kini ketawa terbahak-bahak melihatkan tugasnya cukup mudah. Tiada rintangan langsung. Robohkan lagi gerai-gerai Melayu pun tiada yang bangkit bising. Yang ada hanyalah 200 orang kecil membantah tindakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menghalang 27 peniaga Melayu berniaga di Bazar Ramadan Komtar.

Mana dia gelombang rakyat tunjuk perasaan - ala Tian Chua - yang memenuhi Jalan Masjid India yang mendapat liputan luas CNN, Al-Jazeerah, BBC dan lain-lain?

Saya berani mencabar di sini, kenapa tidak dilancarkan gelombang ala-Tian Chua itu terus-menerus dari Masjid Kapitan Keling ke Pejabat Ketua Menteri di Komtar saban minggu? Saya tidak menghasut kerana pihak pembangkang tidak akan marah kerana, lagi pun, itulah cara mereka yang kerap dilakukan dulu.

Hanya orang yang cukup selesa sahaja yang tidak akan berbuat apa-apa.

Kasihan orang Melayu Pulau Pinang. Mereka cukup menderita sekarang. Nak berniaga di gerai Ramadan yang tiba hari ini pun susah. Saya hanya boleh bersimpati melalui tulisan ini, tapi mana dia pejuang-pejuang kita yang kononnya berdiri atas nama Alif, Ba, Tha; Agama, Bangsa dan Tanah Air?

Saya dapat tahu, pihak yang cukup aktif sekarang membela orang Melayu Pulau Pinang ialah Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia, diterajui oleh seorang wanita bernama Kak Min atau Aminah Abdullah. Selain NGO daripada Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Kelab Warisan Malaysia Pulau Pinang (KERIS) dan beberapa buah yang lain.

Kesemua penerajunya tidak ternama langsung, kecualilah Kak Min, bekas ketua wanita PKR yang dikatakan menongkah arus kerana tidak tertahan dengan sikap cauvinis dan rasis Guan Eng.

Begitu juga di Selangor dan Perak, NGO Melayu tumbuh bagai cendawan.

Dengar kata Pemuda UMNO kini ada tektik baru. Mereka dikatakan mengambil pendekatan berhemah (!?)

Sayap muda yang dahulunya garang dan bengis itu dan pernah diberi jolokan Singa UMNO, kini berhemah?

Rakyat mahukan suara mereka, tapi mereka tidak menyahut. Atas sebab itullah mungkin benar kata-kata Tun Dr. Mahathir itu ''ini ialah masanya untuk NGO."

NGO - Pertubuhan Bukan Kerajaan atau ada yang menyebut No Gaji Organisation mula mengambil alih peranan sayap muda yang lesu itu. Pertumbuhan mereka kini merata. Rata-ratanya atas nama orang Melayu, mereka mula mengambil alih peranan parti politik tertentu. Benarkah?

NGO kini sedang diperhatikan oleh banyak pihak. Orang-orang Melayu pun mula tertarik dengan mereka. Yang tidak suka PKR masuk NGO, yang tidak suka Pas dan DAP pun masuk NGO dan yang keluar dari UMNO dan pemudanya yang berhemah pun khabarnya menyertai NGO.

Mereka ini bukan tidak suka parti pemerintah, tapi tidak sukakan parti pembangkang. Mereka ini mahukan suara yang lebih lantang, dan gerak-geri yang lebih kelihatan.

Dalam zaman aman bolehlah berhemah, ini ialah zaman gawat, oleh itu satu pendekatan yang lebih kelihatan amat-amat diperlukan.

Orang Melayu kini melihat NGO ialah jawapannya. Ia lebih lantang daripada sayap parti yang dulu amat lantang mempertahankan hak-hak mereka.

Parti-parti pembangkang berjaya hari ini kerana kelantangan mereka. Orang tersentak dengan kewujudan mereka. Mereka begitu organised menganjurkan perhimpunan raksasa yang memeningkan kerajaan. Mereka berdemo, disembur air lada dan bersurai. Tiada lain dan tiada bukan untuk menunjukkan kewujudan mereka. Itu sahaja, walau apa orang kata - mereka akhirnya berkuasa di beberapa negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang.

Tapi kini, nampak gayanya, mereka pun lagi teruk. DAP membuat kenyataan yang mengapi-apikan kaum. Sehingga sanggup mempersoalkan apa yang orang Melayu dapat sekarang harus dimansuhkan.

Isu ini harus disuarakan. Sayap muda parti pemerintahan harus bangkit. Apakah senyap lebih baik daripada bersuara? Mungkin saya silap dalam hal ini, tapi rakyat mahu mendengar suara mereka? Sayap parti harus menjadi front runner kepada isu-isu semacam ini.

Orang Melayu Pulau Pinang amat-amat mengharapkan pembelaan datang kepada mereka. Orang Selangor juga mahu melihat perubahan (Gelombang Merah Kuning) berlaku di negeri itu.

Tapi akan berlakukah semua itu?

Tamat Hikayat Malaysia Heaven. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.

2 comments:

Anonymous said...

Saya pernah bertentang muka dgn Sharizat, siap cakap bila nak gempur penang, malah penang semacam terbiar, tp no respon senyum je, tak de semangat dah orang umno ni, rasanya elok Najib tukar je Zahid kepada wakil yang lebih panas sikit darah perjuangan serta mulakan kempen demi kempen merapatkan jurang yang sedia ada. Tak tahu la pulak kalau Umno penang ni ada terlibat dgn bercambahnya ngo di penang yang melawan kezaliman LGE. Mcm LGE ni saya sahkan zalim kejam kerana terang terangan buat perkara yang menyiksakan rakyat penang.

Jeepers Creepers said...

memanglah lge ni zalim..malah sebenarnya dia memang bercita cita nak pisahkan penang dari malaysia.

masalahnya sekarang umno penang semua dah lembik..dah biasa hidup senang..dah tak reti nak berjuang..