Geng Bas Sekolah

August 19, 2010

BETULKAH KITA HARGAI GENERASI MUDA?

Biar saya tanya soalan ini : Adakah Barisan Nasional benar-benar ingin mendekati dan memenangi hati anak-anak muda?

Biar saya berikan jawapan kepada soalan tersebut : Saya tidak fikir begitu. Maaf, itu pendapat ikhlas saya.

Biar saya berikan hujah kepada pendapat itu.

Hari ini (18 Ogos) ialah hari terakhir persidangan Global Model United Nations (GMUN) yang diadakan di Kuala Lumpur; atau lebih tepat lagi diadakan di PWTC yang juga menempatkan Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

GMUN bermula pada Ahad 14 Ogos dan disertai oleh lebih 500 orang anak-anak muda berusia 18 hingga 24 tahun dari lebih 60 buah negara di seluruh dunia. Seramai 70 orang daripada mereka adalah pemimpin pelajar dan pemimpin belia Malaysia yang dipilih melalui beberapa kali saringan.

Anak-anak muda ini bukan dipungut di tepi jalan. Mereka melalui dua saringan dan latihan; termasuklah yang dijalankan oleh Institute of Diplomacy and Foreign Relations Malaysia (IFDR).

Dalam bahasa yang mudah, mereka ialah anak-anak muda Generasi Y yang berpotensi menjadi pemimpin negara dan kerajaan menghabiskan sejumlah wang yang banyak menganjurkan persidangan ini.

Saya difahamkan Kerajaan Malaysia membelanjakan sekitar RM3 juta bagi menganjurkan GMUN yang kedua ini. Kali pertama ia dianjurkan pada tahun lepas di Geneva, Switzerland. Malaysia dipilih sebagai tuan rumah tahun ini kerana ia merupakan antara model terbaik pengurusan negara di mana rakyatnya berbilang kaum dan agama; sesuai dengan tema GMUN tahun ini, “Towards an Alliance of Civilizations: Bridging Cultures to Achieve Peace and Development.”

GMUN dianjurkan bersama oleh UN Department of Public Information, Alliance of Civilization dan Commonwealth Secretariat, London; bersama Kerajaan Malaysia.

Dalam bahasa yang lebih mudah, GMUN ialah projek pelbagai agensi antarabangsa. Sepatutnya, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang menjadi kerajaan menggunakan GMUN sebagai satu platform untuk menampilkan imej mesra belia; memposisikan diri sebagai rapat dan memahami aspirasi Generasi Y dan kepimpinan mahasiswa dan belia.

GMUN juga boleh diposisikan sebagai pengiktirafan UN dan Commonwealth kepada gagasan 1Malaysia sejajar dengan tema persidangan ini. Potensi GMUN dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan untuk membina imej yang positif untuk kerajaan dan Barisan Nasional adalah cukup besar.

Dengan berakhirnya GMUN pada hari ini, mereka ketinggalan keretapi. Timbalan Perdana Menteri yang dijadualkan merasmikan GMUN pada Isnin lalu mewakilkan kepada Menteri Belia dan Sukan saja; manakala penutupnya hanya dilakukan oleh Timbalan Menteri Belia. Penganjur juga tidak mampu meyakinkan Perdana Menteri untuk bertemu pemimpin mahasiswa dan belia dari seluruh dunia yang hadir persidangan tersebut.

Selain itu, tidak ada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang melapangkan masa bertemu dengan anak-anak muda ini sepanjang tempoh persidangan. Bukan itu, Ketua Pemuda Barisan Nasional yang juga Ketua Pemuda UMNO juga tidak berusaha mendekati anak-anak muda ini; walaupun mereka bersidang di tingkat bawah pejabatnya di PWTC.

Kalau Ahli-ahli Parlimen dan Ketua Pemuda UMNO menanti karpet merah untuk menghadiri program yang dianjurkan oleh kerajaan sendiri, maka saya fikir mereka tidak belajar apa-apa dari keputusan PRU12 lalu. Lebih dari itu, biar saya katakan bahawa mereka masih belum berubah!

Apa yang berlaku jelas menunjukkan kepada saya bahawa pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional tidak serious untuk mendekati dan memenangi hati anak-anak muda. Melihat apa yang berlaku, saya tak akan salahkan anak-anak muda sekiranya mereka berpendapat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kerajaan terlalu jauh dan susah didekati oleh Generasi Y.

Inilah masa untuk pemimpin politik mendekati dan memenangi hati Generasi Y yang berpotensi menjadi pemimpin masa depan negara; sekaligus menyampaikan mesej yang jelas kepada golongan belia di luar sana bahawa “kami bersama-sama anda dan idealisme anda.”

Nah, kalau sokongan Generasi Y tidak memihak kepada BN, saya nak tanya: Nak salahkan siapa; kalau bukan diri sendiri?

Sumber: Nobisha

Tamat Hikayat Malaysia Heaven. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.

No comments: