SETIAP orang pasti mengalami pengalaman menghadapi kegagalan. Tidak kiralah gagal dalam peperiksaan, gagal dalam bercinta atau gagal dalam pertandingan. Selalunya apabila gagal, kita pasti akan mencari pelbagai alasan. Jika gagal dalam peperiksaan, kita mungkin mengatakan guru tidak pandai mengajar, cikgu tidak mahir subjek berkenaan, sekolah tidak bagus, ayah ibu tidak ambil peduli, peralatan belajar kurang dan pelbagai alasan lagi. Jarang kita mengatakan pada diri, 'memang aku malas belajar', atau 'memang aku tidak berusaha dari awal lagi', atau 'aku malas berusaha'.
Memang sudah menjadi sifat semula jadi manusia, gemar mencari dan memberi alasan dalam setiap perkara. Kelemahan sendiri jarang pula dilihat, apatah lagi hendak mengakui punca kegagalan kerana kelemahan diri sendiri. Namun, mencari alasan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah, memberi alasan bererti kita berusaha melindungi sebab sebenar sesuatu masalah itu.
Kita lebih selamat dengan menyalahkan pihak lain tetapi sebenarnya itu tidak membantu untuk memperbaiki diri sendiri.
Jangan pula menjadi seperti bangau dalam lagu 'Bangau Oh Bangau', meletakkan kesalahan pada si ikan yang tidak timbul apabila dirinya kurus, begitu juga si ikan yang meletakkan kesalahan pada pihak lain pula dan begitulah seterusnya, seolah-olah masing-masing tidak pernah buat salah, yang tahu hanya menyalahkan orang lain. Jelas, apabila seseorang itu sedar dirinya bermasalah atau masalah itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahannya.
Jika dia masih berbangga dengan keupayaannya mencari alasan, masalah tidak akan selesai. Allah juga ada mengingatkan hambanya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan berubah sekiranya manusia itu sendiri tidak mahu berusaha mengubah dirinya. (Maksud surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusahalah mengatasi kelemahan diri dengan cara positif. Jangan salahkan orang lain sebelum mencari kelemahan sendiri.
Orang lain mungkin bersalah tapi itu bukan alasan untuk kita terus gagal. Jika kita terjatuh di jalanan kerana tersepak batu, wajarkah kita menyalahkan batu kerana ada di situ, cuba renungkan mengapa orang lain yang melalui jalan itu tidak jatuh? Mengapa hanya kita? Mungkin kerana kita kurang berhati-hati atau terlebih cuai.
Jadi, sewajarnya kita tidak mencari alasan untuk gagal atau mencari alasan apabila sudah gagal kerana setiap usaha keras dan keyakinan yang mantap terhadap diri sendiri akan membuahkan hasil setimpal. Masih belum terlambat untuk kita bermuhasabah diri atas setiap masalah dihadapi, mencari kelemahan dan kekurangan kita, agar dapat mencari titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah kehidupan positif dan cemerlang.
No comments:
Post a Comment