Geng Bas Sekolah

June 13, 2010

Nilai estetika bangunan Parlimen

BAGI menunjukkan sesebuah negara sebagai berdaulat, berintegriti dan meletakkan nilai yang tinggi kepada perjuangan untuk rakyat maka sebuah sebuah bangunan Parlimen perlu didirikan sebagai asas negara yang percaya kepada keluhuran demokrasi.

Kewujudan sebuah bangunan Parlimen bukan sahaja kerana ia melakar peristiwa dan sejarah penting untuk sesuatu bangsa dan negara malah ia memberi kesan secara terus kepada perkembangan dan masa depan rakyat itu sendiri. Setiap polisi dan undang-undang yang digubal bakal menentukan masa depan dan kedudukan masyarakat dan negara dan semua ini berlaku di sebuah bangunan Parlimen yang menghimpunkan wakil-wakil rakyat yang dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat.

Melihat kepada contoh yang berlaku di negara ini bangunan Parlimen telah memberi kesan yang sangat penting dalam interaksi, formulasi dan perkembangan politik tanah air. Ini kerana Parlimen telah memainkan peranan membentuk mekanisme yang lebih demokratik melalui "check and balance".

Namun berita mengenai cadangan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya baru-baru ini dilihat oleh banyak pihak sebagai agak mengejutkan. Cadangan tersebut yang dikatakan sebagai memenuhi keperluan pada masa depan sudahpun dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut. Bangunan yang dikatakan bernilai RM800 juta itu bakal menggantikan bangunan sedia ada yang akan dibaik pulih dan dicadangkan untuk kekal sebagai bangunan warisan.

Bangunan Parlimen Malaysia yang tersergam indah di ibu negara merupakan simbol demokrasi berparlimen. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman telah bersetuju dengan cadangan pembinaan bangunan Parlimen pada Disember 1959. Kerja-kerja pembinaan disiapkan pada September 1962, dan perasmian bangunan Parlimen yang baru dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong yang ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, pada 21 November 1963.

Kos perbelanjaan pembinaan bangunan ini berjumlah RM18 juta. Kompleks bangunan Parlimen ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebuah bangunan utama 3 tingkat dan sebuah menara setinggi 17 tingkat. Bangunan utama 3 tingkat ini menempatkan dua buah dewan utama iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara manakala sebuah menara setinggi 17 tingkat pula menempatkan pejabat pentadbiran, pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Jika diperhatikan bangunan Parlimen di kebanyakan negara di dunia masih lagi berdiri kukuh sebagai bangunan yang masih terus memperjuangkan matlamat asalnya tanpa perlu ditukar ganti.

Lihat sahaja bangunan Parlimen di Britain yang turut dikenali sebagai Palace of Westminster yang menjadi tempat pertemuan kepada ahli House of Lords dan House of Commons. Bangunan tersebut yang terletak di tebing sungai Thames merupakan kediaman rasmi Raja England sebelum kebakaran yang berlaku pada 1512 memusnahkan hampir keseluruhan kompleks berkenaan.

Bangunan berkenaan yang dibina pada kurun ke 11, telah menempatkan Ahli Parlimen mereka untuk bersidang sejak kurun ke 13 selain turut menempatkan Mahkamah Agung di sekitar kompleks berkenaan. Selepas kebakaran pada tahun 1512, bangunan berkenaan telah dijadikan Rumah Parlimen sepenuhnya sebelum sekali lagi kebakaran lebih besar berlaku pada Oktober 1834. Struktur bangunan yang terselamat dalam kejadian itu adalah Westminster Hall, Cloisters and Chapter House of St Stephen's, Chapel of St Mary Undercroft dan Jewel Tower.

Kesenian

Bangunan Parlimen Kanada atau turut dikenali sebagai Parliament Hill yang memaparkan kesenian gothik dan senibina yang tinggi bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyatnya malah turut menjadi tumpuan pelancong dengan tiga juta pelawat berkunjung ke situ berikutan seni binanya yang unik. Parliament Hill yang terletak di pinggir sungai Ottawa dalam wilayah Ontario telah dibangunkan bersama dengan bangunan-bangunan kerajaan yang lain pada awal kurun ke-18. Namun akibat dari beberapa pengubahsuaian serta kebakaran yang berlaku pada 1916 yang memusnahkan blok tengah, ia akhirnya siap sepenuhnya pada 1927.

Majlis pecah tanah pembinaan bangunan berkenaan telah berlangsung pada 20 Disember 1859, oleh Prince Albert Edward, Prince of Wales yang kemudian menjadi Raja England dikenali sebagai King Edward VII. Projek tersebut merupakan projek paling besar di Amerika Utara. Namun akibat dari masalah kedudukan tanah yang tidak sesuai, projek itu ditangguhkan dan hanya diteruskan pada 1861. Dianggarkan lebih AS$1.6 juta (RM5.1 juta) dibelanjakan untuk menyiapkan bangunan tersebut.

Blok tengah Parliament Hill menempatkan Dewan Senat dan Dewan Rakyat dan di hadapannya pula terletak Peace Tower serta Perpustakaan Parlimen. Manakala di blok timur dan barat pula menempatkan pejabat menteri dan Senator selain bilik mesyuarat dan pentadbiran.

Rumah Parlimen India atau dikenali sebagai Sansad Bhavan merupakan sebuah bangunan berbentuk bulat yang direka bentuk oleh arkitek dari Britain Sir Edwin Lutyens dan Sir Herbert Baker pada 1912-1913. Pembinaan bermula pada 1921 dan pada 1927 bangunan berkenaan dibuka sebagai dewan untuk menempatkan Ahli Majlis Negara, Dewan Perundangan Pusat dan Dewan Diraja. Majlis pembukaan dilakukan oleh Gabenor Jeneral ke India ketika itu Lord Irwin dengan kos pembinaan sekitar Rs 83 lakhs.

Bangunan ini yang penuh dengan ciri-ciri keunikan tradisional India dibina dengan keluasan enam ekar dan turut menempatkan 12 pagar termasuk pagar utama yang dinamakan Sansad Marg. Kini bangunan ini menjadi bangunan Parlimen India yang menempatkan Ahli Parlimen India yang terdiri dari Dewan Rakyat yang juga dikenali sebagai Lok Sabha dan Dewan Negara atau Rajya Sabha selain pejabat Presiden.

Begitu juga hakikatnya bila kita melihat kepada bangunan yang menjadi pusat pertemuan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Bangunan Capitol yang menjadi mercu tanda kejayaan kuasa besar itu mentadbir dunia. Bangunan ini yang dibina pada September 1793 dengan majlis pecah tanah dilakukan sendiri oleh Presiden ketika itu George Washington.

Bangunan berkenaan mula diduduki untuk sesi mesyuarat Kongres yang pertama pada 17 November 1800 walaupun ia belum siap sepenuhnya. Namun akibat peperangan pada 1812 tentera British bertindak membakar separuh dari bangunan berkenaan.

Bangunan Capitol telah melalui beberapa fasa perubahan dan penambahbaikan iaitu pada 1815, 1826, 1850, 1904,1958 dan 2001. Bangunan ini yang terletak di Washington melibatkan keluasan 274 ekar termasuk beberapa bangunan lain dengan senibina American Neoclassicism. Bangunan ini turut menempatkan perwakilan dari Dewan Senat dan Dewan Perwakilan.

Berdasarkan kepada nilai sejarah bangunan Parlimen dalam menyelenggara pembangunan dan kemajuan yang dikecapi sehingga kini adalah menyedihkan untuk menamatkan tempoh perkhidmatannya hanya berlandaskan kehendak dan keperluan semasa. Sedangkan hakikatnya bangunan tersebut masih mampu berfungsi seperti sedia ada tanpa perlu dipindahkan kemana-mana destinasi yang dirasakan perlu.

Mungkin ada yang beranggapan bangunan tersebut sudah tidak mampu menampung jumlah kehadiran Ahli Parlimen dan pengunjung yang semakin bertambah bersesuaian dengan keadaan semasa. Namun jika kita melihat kepada kos pembinaan yang agak tinggi selain nilai-nilai sejarah yang telah menyaksikan pelbagai kejayaan yang dikecapi hingga kini adalah menyedihkan jika bangunan yang masih indah tersergam sebagai simbol perjuangan demokrasi sejak selepas kemerdekaan akhirnya hanya terkubur sebagai bangunan warisan yang tidak memainkan apa-apa peranan yang nyata.

No comments: