Geng Bas Sekolah

December 25, 2009

Media, rasis dan republik Malaysia

RASIS oleh media bukan berbahasa Melayu serta usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik adalah antara yang dikupas oleh para penulis blog beberapa hari ini.

Raja Petra Kamarudin dalam Go Malaysian (gomalaysian.blogspot.com) menulis, negara memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua generasi lagi sebelum orang Melayu berasa selesa untuk berbincang tentang penghapusan sistem beraja dan mengubah Malaysia menjadi sebuah republik. Katanya, ini pasti akan berlaku kerana sistem beraja termasuk raja berperlembagaan adalah sistem yang sudah ketinggalan zaman.

“Jadi, menjelang 2100, kemungkinannya adalah besar bahawa kerajaan yang berasaskan monarki tidak lagi wujud. Kita kini berbicara tentang raja-raja Melayu. Maka kita perlu memberikan waktu bagi orang Melayu bersiap sedia untuk menyingkirkan raja-raja mereka,” tulisnya.

Dr. Siddiq dalam Written By Him (writtenbyhim.wordpress.com) yang mengulas tulisan Raja Petra itu berkata, beliau terkejut dengan gesaan Malaysia Today yang mahukan rakyat menghapuskan sistem beraja dan membentuk republik.

Katanya, Raja Petra perlu bertanggungjawab dan bukannya melempar batu kemudian bersembunyi di sebalik tembok apartmen di London.

“Inilah lelaki yang menyokong liberalisasi dalam pakatan pembangkang. Lelaki ini yang tidak habis-habis dengan propagandanya. Saya tertanya-tanya apakah reaksi Melayu dalam pakatan pembangkang tentang tulisan ini. Mahukah mereka menjilat punggung RPK?” tulisnya.

Blog Maharaja Blogger (maharajablogger.blogspot.com) menyentuh sikap kecinaan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang masih memperjuangkan kebudayaan dan identiti ibunda mereka.

Tulisnya, hal ini berbeza dengan Singapura yang menutup semua institusi kebudayaan Cina termasuk sekolah dan universiti sejurus mencapai kemerdekaan.

“Memang benar orang Cina di Barat seperti Amerika dan Kanada mendapat layanan yang baik. Sebab utamanya ialah kerana mereka tidak membuat tuntutan berbentuk perkauman seperti menuntut bahasa Cina diberikan pengiktirafan dalam pelajaran dan persekolahan seperti di Malaysia,” katanya.

Tulisnya, bagaimanapun kaum Cina di Singapura tidak dapat menikmati kehidupan mewah dengan berumah banglo, berkereta mewah melainkan benar-benar berjaya dalam perniagaan berbanding di Malaysia walaupun mereka hanya penjual sayur atau penjaja.

“Malaysia ketika ini didatangi orang Cina dari China yang mahu mencari pekerjaan dan cuba menetap di sini. Mereka sanggup menghadapi risiko masuk secara haram.Percayalah jika dibuka pintu untuk orang Singapura menjadi rakyat Malaysia, maka ramai yang akan meninggalkan negara itu,” tulis beliau.

Cucu Tok Wan dalam Depa Kata (depa-kata.blogspot,com) menulis, ramai yang terlepas pandang terhadap akhbar berbahasa Cina yang menghasut dan rasis.

Tulisnya, pemimpin pembangkang sering menguar-uarkan Utusan Malaysia sebagai rasis sedangkan mereka tidak pernah menyebut sekali pun tentang akhbar-akhbar Cina.

Tertanya-tanya kita tentang fungsi sebenar Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama yang membabitkan unit penerbitan, akhbar dan majalah.

“Kalau yang berbahasa Melayu, bukan main pantas lagi bertindak. Tak cukup permit penerbitan digantung, pemiliknya dipanggil menghadap bahkan dikenakan ancaman penjara dan denda kerana melanggar peraturan permit.

“Namun apabila membabitkan Cina atau Tamil, KDN seolah-olah buta mata dan hilang keberanian. Boleh jadi, tak ada penterjemah atau mereka yang boleh membaca tulisan Cina dan Tamil di KDN,” katanya.

sumber utusan malaysia

No comments: