Geng Bas Sekolah

December 26, 2009

Emel saluran dakwah Sarah

PADA usia 13 tahun, abang kandungnya telah memeluk Islam. Alasannya mudah, kerana perkahwinan. Pada masa itu, Sarah Joseph, antara penganut kuat fahaman Roman Katolik sangat membenci keputusan abangnya itu, sekali gus menuduhnya sanggup menjual keyakinan hanya kerana seorang wanita.

Tambahan pula, Islam adalah sesuatu yang asing dan sangat menakutkan. Ini kerana pada masa itu beliau sekadar mengetahui sisi negatif Islam menerusi pembacaannya di media massa.



"Hakikatnya, prasangka buruk tentang Islam sukar untuk hilang. Saya tahu perasaan takut itu wujud kerana saya belum tahu Islam yang sebenarnya. Lantas, saya putuskan untuk mencari informasi tentang Islam kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak ketika itu.

"Tak berapa lama selepas itu, saya mengambil keputusan meninggalkan ajaran Katolik. Ia bukan kerana saya tertarik dengan Islam tetapi kecewa dengan aturan paderi besar yang berpusat di Rom.

"Keputusan itu juga tidak bermakna saya memilih Islam. Waktu itu saya "kosong". Saya masih berusaha mencari Tuhan. Dalam pencarian itulah, Islam hadir dalam hati ini. Islam menjawab semua pertanyaan saya, terutama tentang konsep Triniti. Seperkara lagi, al-Quran tidak mengalami perubahan sama sekali, berbeza dengan Injil," akui Sarah yang akhirnya mengucap dua kalimah syahadah pada usia 16 tahun.

Kata Sarah lagi, ibadah solat turut menjadi faktor kepada pengislaman beliau. Acap kali melihat perbuatan duduk antara dua sujud serta menundukkan kepala ke sejadah, saat itulah terserlah dan terbuktinya kepatuhan seorang hamba kepada Penciptanya.

Sarah mengakui pada peringkat awal, agak sukar baginya untuk merealisasikan Islam di dalam diri dan kehidupan. Terutama dalam usaha menjelmakan ajaran Islam ke dalam keluarga dan lingkungan sosial.

"Ibu bapa saya tidak bersetuju dengan rancangan saya untuk masuk Islam. Malah penolakan keras mereka semakin terserlah bila saya membuat pilihan mengenakan jilbab (bertudung kepala).

"Saya faham keluarga menentang keras kerana takut saya menjadi seorang yang lain. Saya tidak salahkan mereka, kerana fahaman mereka yang liberal. Boleh dikatakan proses penerimaan itu mengambil masa bertahun lamanya. Alhamdulillah, kini mereka sangat bahagia dan mereka senang dengan jalan hidup yang saya pilih dan ternyata ia pilihan yang betul dan benar," jelas Sarah sentiasa berdoa agar ibu bapanya juga menerima cahaya Islam.

Wanita kelahiran kota London itu menempuh pintu lain dalam menterjemahkan Islam untuk dunia Barat. Lantas, Sarah, 37 tahun, telah menerbitkan majalah emel, sebuah majalah khas yang mengupas gaya hidup Muslim dengan sasaran bukan Islam.

Majalah ini pertama kali diterbitkan pada 2003 dan hanya dijual di kedai-kedai buku Islam. Namun lama-kelamaan, ia telah berjaya menarik pembaca bukan Islam sehinggalah bermula September 2005, edarannya mula diperluaskan. Kini emel beroperasi di Whitechapel, timur London, memiliki edaran di 30 buah negara. Ia juga boleh diakses di Internet (www.emelmagazine.com)

Dalam sebuah wawancara dengan akhbar harian The Guardian terbitan di London, wartawan produktif ini ada menjangkakan bahawa Islam mempunyai peranan besar dalam menyelesaikan permasalahan dunia pada masa hadapan. Malah, beliau juga banyak menekankan bagaimana seharusnya seorang Muslim yang bermukim di negara Barat berperilaku dan ia tidak mustahil direalisasikan sungguhpun imej Islam sering dicalar dengan pelbagai kecaman dan tohmahan yang negatif.

"Saya rasa Muslim di Barat memiliki tanggungjawab untuk menjelaskan Islam pada kalangan Barat. Saya melihat Islam mempunyai keupayaan memberikan yang terbaik. Syaratnya, mereka harus terlebih dahulu melihat Islam sebagai sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada masalah yang harus dijauhi.

"Islamophobia dan anggapan Islam agama keganasan adalah satu fenomena yang sedang menular di dalam masyarakat Barat, tetapi kita sedang mencari jalan untuk membetulkannya. Menerusi emel yang menampilkan gaya hidup Islam merangkumi fesyen, hiasan dalaman, kewangan, keusahawanan, kesihatan, makanan hingga kisah kemasyarakatan, hobi dan penemuan ilmuwan Islam di masa lampau, diharap Islam lebih difahami.

"Kami ingin tampilkan sesuatu yang lain. Hal-hal normal yang berlaku dalam Islam, yang tak banyak diketengahkan, cuba ditonjolkan. Ia supaya bukan Islam jelas bagaimana agama Islam itu sebagai satu cara hidup. Kami menawarkan jendela masuk ke komuniti Islam, jauh daripada sekadar ungkapan-ungkapan berbau klise," kata Sarah yang pernah mendapat undangan mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Pun begitu, Sarah menyimpan sedikit kerisauan apabila melihat kerakusan beberapa media yang sewenang-wenangnya menokok-tambah berita-berita tentang Islam.

"Jika orang ramai dimomokkan dengan kisah-kisah tidak benar tentang Islam, lambat laun ia akan memburukkan lagi imej Islam yang sudah sedia dilabel negatif, sekali gus menimbulkan ketakutan bukan Islam untuk mengenali Islam. Maka ini tidak sihat bagi masyarakat kami," kata beliau.

Akui Sarah lagi, perilaku segelintir Muslim yang tidak Islamik, juga tidak membantu merubah imej Islam di Barat. Satu keji selidik yang dibuat pada 2002, mendapati 70 peratus masyarakat Britain tidak mengetahui apa-apa, bahkan tidak peduli sama sekali apa itu Islam. Mereka fahami Islam hanya berdasarkan informasi daripada media sahaja. Sayangnya, media pula tidak menunjukkan Islam atau memberi gambaran Islam yang sebenar.

Oleh itu, saran Sarah, adalah terletak di bahu setiap Muslim di Britain untuk bersikap proaktif dalam mempamerkan perkara-perkara positif dalam Islam. Malah beliau berkeyakinan padu bahawa Allah SWT telah menciptakan dunia ini, jadi, di Barat juga adalah sesuai untuk seorang Muslim mempraktikkan kepercayaannya.

No comments: