Geng Bas Sekolah

November 18, 2009

Antara kebuluran dunia dan obesiti di Malaysia

SIDANG Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini dipenuhi dengan isu permasalahan kronik di negara-negara miskin iaitu kebuluran.

Mengikut statistik, seorang penduduk dunia mati akibat kebuluran dalam setiap enam saat. Ini bermakna, berjuta-juta penduduk kehilangan nyawa setiap tahun akibat kebuluran.

Melihat angka-angka ini, hati berasa begitu tersentuh. Jika di negara miskin rakyatnya mati kerana tidak makan, di sini ramai yang maut kerana terlebih makan. Rakyat kita makan secara tidak seimbang, menyalahgunakan makanan dan pembaziran makanan. Kita berdepan dengan masalah obesiti.

Contohnya, penyakit jantung yang dikaitkan secara langsung dengan obesiti serta penyakit diabetes yang dicetuskan oleh pengambilan makanan dengan kaedah yang tidak berdisiplin.

Obesiti merupakan faktor boleh diubah yang menjadi risiko mendapat serangan jantung. Amalan pengambilan makanan yang berkolestrol tinggi menggalakkan lagi proses penyempitan salur darah yang menjerumuskan kepada gejala sakit jantung. Pemahaman yang silap bahawa makanan manis seperti gula pasir sahaja yang akan menyebabkan diabetes juga harus diperbetulkan. Makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi dan roti dalam jumlah terlalu banyak, walaupun rasanya tawar boleh menyebabkan risiko diabetes.



Apa yang lebih menakutkan ialah faktor-faktor risiko ini saling berkaitan. Contohnya seseorang yang mengalami obesiti, selain berdepan dengan risiko penyakit jantung, mereka turut dilingkari dengan permasalahan diabetes. Statistik di Malaysia sahaja menunjukkan hampir 15 peratus penduduk melebihi 30 tahun disahkan menghidap diabetes.

Tekanan darah tinggi yang boleh mengundang serangan angin ahmar atau strok juga adalah sebahagian daripada rencah dalam penyakit-penyakit berangkai ini. Ia turut sama disumbang oleh amalan pemakanan selain faktor-faktor lain.

Apa yang membimbangkan, ia adalah penyakit lazim di sini. Namun ia sering tidak diberi perhatian. Lebih daripada 60 peratus mereka yang mempunyai tekanan darah melebihi paras normal tidak tahu bahawa faktor risiko bagi komplikasi seterusnya itu sedang berada dalam diri mereka. Ia ibarat bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa obesiti dan diabetes mempunyai faktor penyebab yang lain seperti umur, jantina, keturunan dan sebagainya. Namun salah satu penyumbang utama yang kita tidak dapat nafikan ialah tabiat makan berlebihan.

Persepsi yang menganggap kanak-kanak yang gemuk itu bagus kerana "sihat" wajar diperbetulkan. Kita seharusnya merancang pemakanan dan bukannya makanan merancang kesihatan kita.

Sewajarnya kita menginsafi dan mensyukuri setiap suap makanan yang dikurniakan kepada kita. Ini kerana pada masa yang sama ada orang yang tidak dapat merasai nikmat makanan. Malah hendak menelan air liur pun ada ketikanya tidak boleh kerana turut diancam kekeringan akibat dehidrasi.

Satu cara untuk kita menunjukkan kesyukuran ialah dengan mengambil secara sederhana baik dari segi kuantiti, pembahagian mengikut kelas makanan, aspek kebersihan dan mengelakkan pembaziran.

Marilah sama-sama kita "makan untuk hidup" dan bukannya "hidup untuk makan" kerana makan secara berlebihan boleh mengundang konotasi "makan untuk mati".

No comments: