Geng Bas Sekolah

October 16, 2009

Wabak 3 L Mengancam UMNO

KUALA LUMPUR: Wabak tiga ‘L’ iaitu lagak, laga dan lagha yang menyelubungi parti Umno perlu segera dibanteras bagi memastikan parti tidak rebah.

Peringatan itu diberikan wakil Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, ketika membahas ucapan dasar Presiden yang menyifatkan wabak itu menyumbang kepada kelemahan parti.

Katanya, perbuatan ‘lagak’ dengan tidak menyelami hati nurani rakyat apatah lagi untuk memahami perasaan mereka dan ‘laga’ pula hanya memberi ruang dan peluang kepada musuh mengucar-kacirkan parti kerana terdapat ahli akar umbi yang suka melaga-lagakan antara satu sama lain.

Sementara itu, katanya, ‘lagha’ pula didefinasikannya sebagai perbuatan leka, khayal, lupa dan alpa sehingga membuatkan akar umbi berasa selesa seperti tidak ada apa-apa berlaku.

“Jika wabak H1NI mencetus kebimbangan dunia, kita dalam parti bimbang terdapat wabak lebih bahaya. Penyakit ini boleh menghancur dan meranapkan iaitu wabak tiga ‘L’.

“Datuk Seri Presiden mengingatkan kita supaya dekat dengan hati rakyat dan semua ini tidak dapat direalisasikan jika kita terperangkap dengan sikap berlagak,” katanya.

Yahya turut mengambil iktibar zaman Khalifah Umar al-Khattab mengenai kisah ibu dan anaknya yang merebus beberapa ketul batu untuk memberi gambaran kepada anaknya bahawa dia sedang memasak makanan.

Menurutnya, tindakan ibu berbohong agar anaknya lama menunggu sehingga tertidur dan lupa terhadap makanan seperti rakyat menunggu janji pemimpin yang tidak kunjung tiba.

“Kisah itu mengingatkan kita mengenai tanggungjawab. Kita jangan memilih untuk menjadi seperti ibu itu. Apakah kita harus memberi harapan kepada rakyat tanpa melakukan sesuatu sehingga kita dihukum semula oleh rakyat?

“Contohilah Presiden yang memahami rakyat. Turun ke padang dan memberi peruntukan besar kepada mereka sama ada di bandar atau di luar bandar seperti menyediakan bantuan perumahan dan elaun beras,” katanya.

No comments: