Jangan lupa kebangkitan bangsa Arab dalam abad-abad ketujuh hingga ketiga-belas, di bawah inspirasi dan ransangan ajaran Quranlah, yang telah memperkenalkan sains kepada dunia Eropah dan Barat dalam abad-abad ketiga-belas hingga keenam belas. Kemudian Eropah mengambil-alih pimpinan tamadun dari tangan orang Islam, yang mulai saat itu telah jatuh, kerana telah mengabaikan tanggungjawab mereka memimpin dunia.
Jangan takut dengan perkataan ‘saintifik’. Ia hanya bermakna ilmu yang sahih. Setelah tidur berabad-abad lamanya dan dijajah oleh bangsa-bangsa Eropah, umat Islam telah bangkit semula dan menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan bermakna bebas dari kaum penjajah untuk menentukan nasib kita sendiri dalam semua bidang: politik, ekonomi dan lain-lain. Tetapi, pada akhirnya, kebebasan itu suatu sifat minda. Jika minda kita tidak bebas dari segala bentuk kongkongan, maka kita tidak akan dapat membentuk sebuah kehidupan yang bebas baik dari segi apa pun. Inilah makna tauhid: bebas dari segala bentuk perhambaan, kecuali kepada Yang Maha Berkuasa.
Baru-baru ini, seorang putera Malaysia telah menyertai dua orang angkasawan lain untuk naik ke angkasa lepas dan membuat kajiana saintifik di sana. Idea Malaysia menerokai angkasa lepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahathir. Kita bernasib baik, kerana pimpinan negara kita dari awal telah mendukung dasar budaya saintifik. Ini tidak semestinya telah berlaku, kerana banyak negara Islam menganut sikap menolak budaya saintifik Barat, kononya, sikap demikian tidak selaras dengan ajaran Islam. Untungnya, kita sudah pun memperukunkan dasar ini dalam Rukunegara. Ini boleh kita anggap satu kejayaan yang besar.
Namun demikian, kita mestilah menerapkan budaya saintifik ini ke dalam semua sektor kehidupan kita supaya kita mencapai kejayaan yang sepenuhnya. Ramai yang masih menganggap sains dan agama tidak serasi. Ini tidak benar. Alam Semesta, termasuk manusia, yang diciptakan oleh Tuhan, bersifat jasmaniah dan rohaniah. Aspek jasmaniah dikaji oleh sains, sedangkan aspek rohaniah ditangani oleh agama. Lambat-laun, kedua-duanya akan bertemu. Iman dan akal dan akal dan iman tidak harus dan tidak boleh dipertentangkan. (Lihat Quran, 10: 100) Kedua-duanya, pada asanya, satu. Oleh yang demikian, kita harus kaji adakah kehidupan rohaniah kita bercanggah dengan sains, dan adakah kehidupan jasmaniah kita bercanggah dengan tuntutan agama.
Ambil contoh, kehidupan politik. Adakah sistem politik kita sesuai dengan tuntutan atau ajaran agama? Empat nilai agama yang utama ialah kebenaran, keadilan, kasih-sayang atau kerahiman dan kesabaran dan ketekunan. Nyatalah penyelewengan, penipuan, rasuah, pembaziaran, kezaliman dan kegopohan dan ingin mengambil jalan mudah, yang kerap berlaku dalam sistem politik kita, bertentangan dengan ajaran agama kita. Kita perlulah membetulkan penyelewengan-penyelewengan ini.
Alihkan pandangan kita kepada aspek kehidupan rohaniah kita pula. Kaji perkara yang terpenting dalam sistem kehidupan itu, iaitu pandangan hidup tauhid. Apakah makna tauhid? Pembebasan dari segala perhambaan, kecuali perhambaan kepada Tuan Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah s.w.t. Pembebasan ini perlu supaya kita boleh memainkan peranan kita sebagai khalifah sepenuhnya, yakni menentukan nasib kita sendiri tanpa diganggu oleh kuasa-kuasa lain (yang palsu) dan mengubah dunia ini menjadi tempat penghunian yang bahagia bagi manusia. Firman Tuhan, “Tuhan telah membeli daripada orang mukmin jiwa dan harta mereka dengan Syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikianlah janji-Nya di dalam Taurat, Injil dan Quran – dan siapakah yang menunaikan janjinya lebih baik daripada Tuhan? Ini kemenangan yang paling besar.” (Quran, 9: 111)
Kita jangan silap sangka bahawa bangsa-bangsa besar, seperti Amerika Syarikat dan Eropah, akan terlepas dari hukuman Tuhan. Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua merupakan hukuman-hukuman yang dahsyat kepada bangsa-bangsa Barat. Amerika Syarikat , Britain dan beberapa sekutu mereka sedang dibakar di Afghanistan dan di Iraq. Apa yang menanti kita, seluruh manusia, mungkin kehancuran yang lebih besar. Oleh itu, demi kelangsungan kehidupan kita di dunia ini, kita mesti membetulkan kesilapan-kesilapan kita dan mencari jalan yang lurus balik kepada Tuhan, supaya kita berjaya.
No comments:
Post a Comment