Geng Bas Sekolah

June 19, 2009

Buruk Sangatkah UMNO

DAP dan PKR nampaknya seperti "cacing kepanasan" apabila mendengar cadangan Pas untuk berbaik-baik dengan UMNO dalam sebuah kerajaan perpaduan.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, Pas pastinya mempunyai alasan tersendiri dan perlu dihormati. Apatah lagi perjuangannya menjurus pada tuntutan dan aspirasi agama. Islam tidak pernah menolak kebaikan. Atas alasan itulah, Pas menghulur tangan dan membuka ruang perbincangan.

UMNO tidak boleh dianggap musuh sebab parti itu juga parti orang Islam, walaupun mungkin perjuangannya sedikit berbeza.

Jika Pas boleh berbincang dengan bukan Islam, kenapa tidak dengan orang Islam? Apakah UMNO itu lebih buruk daripada orang bukan Islam? Rasanya sudah tentu tidak. 'Seburuk-buruk' UMNO, ahli-ahlinya tetap saudara seislam dengan Pas. Jadi kita wajib membantu dan menolong saudara seagama jika mereka dalam kesusahan, tanpa mengira siapa dan apa latar belakangnya.

Bagaimanapun, setelah polemik ini berlanjutan, penulis agak terkejut dengan pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin. Nik Abdul Aziz sama sekali menolak rundingan untuk kerajaan perpaduan. Hatta sehingga meminta Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok.

Selama ini, semua sedia maklum ada kelembutan dan betapa berhemah Nik Abdul Aziz. Lontaran ideanya sentiasa mendapat perhatian dan dihormati. Tetapi tidak kali ini. Isu kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah dan begitu menguji kesabaran 'ketokguruannya'. Kenapa dan mengapa?

Mungkin Nik Abdul Aziz sahaja yang tahu. Mungkin Tuan Guru itu telah banyak menunaikan solat sunat meminta petunjuk daripada Allah SWT. Kerajaan perpaduan bukan suatu yang mustahil kerana ia pernah berlaku di negara lain. Ia pernah ditubuhkan di Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, Britain dan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh di Britain, kerajaan perpaduan ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George pada Perang Dunia Pertama mampu bertahan sehingga 1922.

Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression), sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan di Britain pada 1931 antara Parti Buruh, Konservatif dan Liberal. Ia bertahan sehingga 1945. Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Misalnya di Afrika Selatan.

Kerajaan seperti ini diwujudkan antara 27 April 1994 hingga 3 Februari 1997 menerusi sebuah Perlembagaan sementara. Fasal 88 Perlembagaan itu mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional boleh menuntut satu atau lebih portfolio Kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan.

Maka kerajaan perpaduan boleh menjadi realiti dan tidak mustahil. Ia boleh dilakukan kerana manusia adalah makhluk yang rasional dan ada akal.

Persoalannya, dari manakah hendak bermula? Sudah tentu, ia perlu melalui proses pertama iaitu melalui rundingan, kerana inilah tuntutan Islam. Dalam surah Al-Imran ayat 159, Allah berfirman bermaksud: Bermesyuaratlah engkau dengan mereka dalam sesuatu urusan, maka apabila engkau telah mempunyai pendirian (yang tetap), bertawakallah kepada Allah SWT.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Petikan Utusan Malaysia

1 comment:

PAPA GOMO said...

KALAU DIFIKIRKAN MEMANG TAK JELAS APA YANG DI NYATAKAN. TAPI MUDAH BAGI KITA SEMUA MENGAGAK AKAN HAL INI.

NATIJAHNYA PAS TIDAK PERLU KELUAR DARI PAKATAN PEMBANGKANG PADA MASA SEKARANG INI. PAKATAN PEMBANGKANG MASIH LAGI KUKUH DARI SEGI FIZIKAL NYA. NAMUN KENAPA PAS INGIN MEMBENTUK KERAJAAN PERPADUAN???

IANYA BERPUNCA DARI KES LIWAT ANWAR INI. PAS TIDAK MAHU TERBABIT SAMA DENGAN KES LIWAT INI. KELAK PAS AKAN MENDAPAT TEMPIASNYA NANTI.

1 JULAI INI HARI KEBENARAN, DAN SAKSIKANLAH KEBENARANNYA!!!