Geng Bas Sekolah

Korang Kena baca ini

March 4, 2009

Sejarah Perjuangan Tok Janggut

INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.

Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.

Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.


Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.



Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

5 comments:

Anonymous said...

Ulasan yang informatif. Bravo....Kau tengok le peranan pembesar negeri dan sultan. Apa depa buat?Melayu bunuh Melayu, atas nasihat orang putih...melayu termasuk sultan kena tipu, kena kontrol Camna kata ada daulat ni? dengan benggali putih pun tak berani tampar?

Navy pencen

Sedingin Salju said...

Wah, hebat tu encik.

raz said...

sultan dulu tidak berkuasa sangat. tidak berpendidikan seperti sultan sekarang.

kehidupan kita seperti roda. era kesultanan melaka, sultan adalah orang nom 1. setiap titah akan dijalankan tanpa bantahan. sultan zaman itu adalah berani.

zaman british, sultan menjadi seperti lembu dicucuk hidung. namun rakyat masih hormat dan takut kepada sultan. lagipun ketika itu, teknologi orang melayu kemanalah sangat berbanding teknologi penjajah.

zaman sekarang sultan sudah berpelajaran. teknologi orang melayu semakin maju. kalau sultan hendak berkuasa, malaysia kena pecah. setiap negeri menjadi feudal, barulah orang orang politik akan buru disetiap pelusuk tanahair.

Anak Bapak said...

Memorundum Untuk YB Datuk Mukhriz

Tidak tahu bagaimana mahu saya luahkan perasaan yang bermain di dalam jiwa saya ketika ini dan tidak dapat saya terjemahan betapa maruah diri sebagai Pemuda Melayu UMNO yang sememangnya menyokong YB Datuk sebelum ini merasa kecewa , saban hari sokongan saya terhadap YB Datuk terhakis sedikit demi sedikit , walaupun saya mencuba untuk memujuk hati saya yang sering berkata apakah benar ini cara kepimpinan YB Datuk . Saya sukar mempercayai apabila kelemahan YB Datuk kian ketara dan kali ini saya tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan saya dan maafkan saya YB Datuk kerana saya terpaksa berterus terang membantah dan menyifatkan YB Datuk adalah lemah dan tidak langsung patriotik.Komen YB Datuk baru-baru ini meletupkan segala yang terbuku di dalam hati dan saya tidak lagi mempu untuk menjadi hipokrit dan terpaksa saya luahkan kepada YB Datuk.

YB Datuk

YB Datuk mahu BN berkomompromi dengan kerajaan PR, Apakah giilanya cadangan ini. Kita bukan bacul dan kita bukan penakut. BN berkompromi dengan kerajaan PR adalah sesuatu yang terakhir dan yang tidak mungkin terlintas di mana-mana pemikiran manusia yang mengakui diri mereka sebagai Pemuda UMNO yang bermaruah. ,Tahu kah YB Datuk , Inilah sebenarnya yang mereka tunggu kenyataan dari seorang pemimpin UMNO yang memberikan mereka ruang dalam melebarkan kemelut yang sepatutnya sudah berakhir . Bagaikan orang batuk di sorong bantal , Datuk telah memberikan mereka nafas , Datuk telah menghalalkan perbuatan mereka melanggar titah Sultan Perak. Datuk seolah-olah membenarkan dan merestui perbuatan salah mereka.

Sebenarnya YB Datuk, Tiada kompromi kepada titah Sultan. Tiada kompromi dalam perlembagaan. Ini hak sultan . Tiada siapa yang berhak mempersoalkan . Titah Sultan patut dipatuhi dan tiada alasan lain melainkan akur kepada titah Sultan. Kerajaan BN juga terpaksa akur dengan hak yang ada pada Sultan apabila 3 Menteri Besar negeri adalah pilihan Sultan , Negeri Johor , Terengganu dan Perlis, Jika BN sebagai kerajaan akur dengan titah Sultan , tiada kata dua bagi mana-mana negeri untuk mencari alternatif lain seperti enggan akur kepada titah Sultan. Tiada istilah kompromi dalam menentukan undang-undang dan perlembagaan .


Cadangan Datuk ini membayangkan kelemahan kita, sebenarnya adalah cadangan yang tidak masuk akal dan seolah-olah YB Datuk juga menghalalkan mereka dan menghina Sultan.. Sebagai Calon Ketua Pemuda cadangan YB Datuk ini terlalu dengkel dan tidak langsung mencerminkan suara Pemuda UMNO. Pemuda UMNO tidak lemah dan dengkel.

Apa yang dilakukan oleh Nizar dan kerajaan PAS adalah sesuatu yang salah dan BN sememangnya hak BN menjadi kerajaan apabila mempunyai majoriti lebih dari PR. Kenapa perlu kerajaan BN berkompromi dengan PR? Apa yang sebenarnya di katakan oleh YB Datuk bahawa tidak adil kepada rakyat? Majoriti berpihak kepada BN , ini adalah terjemahan rakyat dan majoriti berhak menjadi kerajaan , apa yang tidak adil kepada rakyat, apakah dengan parti yang tidak mempunyai majoriti menjadi kerajaan dikatakan adil… Ketika PR menjadi kerajaan dengan majoriti yg tipis , mengapa YB Datuk langsung tidak mempersoalkan hal-hal ini. Alasan ini terlalu lemah , terlalu lemah untuk menjadi pemimpin yang berkaliber.

Kami tidak mahu menjadi Pemuda yang lemah, kami tidak mahu di katakan bacul, hak dan hakiki telah nyata dan terang bahawa BN layak menjadi kerajaan. Sultan telah perkenankan dan itu sebenarnya noktah kepada semua, YB Datuk jangan pertikaikan dan jangan bawa Pemuda menentang Raja Melayu pula , Cukup dengan bangsa Melayu dalam PR menentang Raja , Kami enggan menjadi Melayu bacul. Saya berharap YB Datuk menarik balik komen YB, Kami menjunjung perentah ke bawah Raja-Raja Melayu, Daulat Tuanku...... Daulat Tuanku ... Daulat Tuanku.....

Inilah Komen yang saya maksudkan.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Exco Pemuda Umno berpendapat kerajaan dan pembangkang berkompromi dan bekerjasama bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak yang dilihatnya “tidak adil” kepada rakyat negeri itu.Sambil mengakui krisis di Perak semakin membingungkan, beliau berkata keadaan itu hanya akan merugikan semua pihak jika dibiarkan berterusan.
“Buat masa ini seolah olah perkara yang penting kita ketepikan kerana kemelut politik ini. Itu saya fikir tidak wajar dan tidak adil untuk rakyat,” katanya ketika di temubual dalam program “Kerusi Panas” di Radio 24 petang ini.Mukhriz, calon Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti akhir bulan ini, mengulas soalan SMS yang diutarakan pengendali program itu, Datuk Seri Azman Ujang, mengenai tindakan sesetengah calon menggunakan isu Perak untuk menjadi popular.

Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya Barisan Nasional dan pakatan DAP, PAS dan PKR bekerjasama untuk mentadbir negeri itu selain menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat seperti pengangguran.Mukhriz berkata, tinjauan mendapati 70 peratus daripada rakyat “sudah bosan dengan isu politik dan mahu semua pihak kembali ke pangkal jalan” untuk mentadbir negara dengan berkesan.

“Selagi tiada pihak yang mengalah selagi itu kemelut politik ini akan berpanjangan. Selagi kita melengahkan penyelesaian atau ruang masa untuk selesaikan masalah rakyat, itu akan merugikan semua pihak,” katanya.Mukhriz berkata memandangkan kedua dua pihak telah membawa perkara itu kepada perhatian undang undang, keputusan mengenai siapa yang berhak memerintah di Perak perlu diputuskan oleh mahkamah

Daripada Pemuda kecewa

rafinamarsha said...

Nampaknya anda telah mendapat gambar ini dari buku Tok Janggut :pejuang atau penderhaka tulisan Allahyarham Prof Emeritus Dato Dr Nik Anuar.Harap dapat buat citation untuk rujukan orang ramai.