Geng Bas Sekolah

December 6, 2008

Sejarah Terus Berulang

Negara telah melakar sejarah pertama dengan runtuhnya sebuah kondominium mewah Highland Tower sekitar tahun 1993. Dan semenjak itu kejadian tanah runtuh dan menimpa rumah terus dilaporkan. Walaupun kerajaan telah menetapkan bahawa tiada lagi pembangunan dilereng bukit namun masih ada pemaju yang berdegil.

Kini kejadian baru telah berlaku sekali lagi di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang. Seorang saksi berkata beliau mendengar bunyi seakan-akan ribut dan diikuti dengan bunyi letupan sebelum kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini.

Hassan Saad, 48, berkata semasa sedang menonton televisyen di ruang tamunya pada pukul 4 pagi tadi, beliau tiba-tiba terdengar bunyi bagaikan ribut lalu menjenguk ke luar rumahnya dan melihat keadaan tenang dan pokok-pokok di situ tidak bergoyang.

Ahli perniagaan itu kembali menonton televisyen sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seperti bom meletup dan terus bergegas ke luar rumahnya, dan melihat runtuhan tanah dari bukit menghempap rumah jirannya yang terletak di depan rumahnya.

Hassan berkata beliau terus menjerit membangunkan keluarganya yang seramai 10 orang termasuk ibu mentua dan dua sepupunya serta jiran-jirannya supaya menyelamatkan diri.

Setakat pukul 10.30 pagi ini, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan tiga maut dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di kawasan perumahan mewah itu. Khalid berkata polis telah menasihati antara 3,000 hingga 5,000 penduduk di situ agar meninggalkan rumah mereka, yang kebanyakannya berupa apartmen.

Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa. Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

Sehingga kini Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

No comments: