Geng Bas Sekolah

November 14, 2008

Polis VS JHEAT

Cerita Polis

Ayah Pin atau nama sebenarnya Arifin Muhamad, 65, yang pernah menghilangkan diri kerana didakwa mengasaskan satu ajaran sesat, kini dilaporkan pernah pulang di Terengganu baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata polis bagaimanapun tidak dapat mengambil tindakan terhadapnya setelah Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu memaklumkan kepada polis untuk tidak menahannya.

"Polis mempunyai maklumat bahawa Ayah Pin yang dipercayai berada di Thailand Selatan telah pulang ke tanah air.

"Apabila dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu sama ada untuk menahannya, jabatan berkenaan mengatakan tidak perlu," kata Musa.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan demikian ketika menyampaikan ucap utama pada seminar Memperkasakan Pentadbiran Keadilan Di Mahkamah Syariah di Universiti Islam
Antarabangsa di Gombak dekat sini.

Musa berkata, tindakan tidak dapat diambil Ariffin disebabkan tidak ada penyelarasan penguatkuasaan antara Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu dan polis

Namun, katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Terengganu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Agama Islam Negeri Terengganu mengenai sebab Ariffin tidak perlu ditahan.

Elak kepincangan

Musa berkata penyelarasan Undang-undang Syariah antara Jabatan Agama Islam dan Polis Diraja Malaysia perlu diperbaiki lagi bagi mengelak kepincangan terutama dari segi penguatkuasaan.

"Polis hanya membantu Jabatan Agama Islam terutama dari segi penguatkuasaan kita tidak mahu timbul persoalan di kalangan masyarakat yang menyatakan Jabatan Agama Islam dan polis tidak serius dalam menjalankan tugas mereka," katanya.

Satu lagi isu berhubung penyelarasan antara Jabatan Agama Islam dan PDRM yang turut dibangkitkan oleh Musa ialah tentang pemberian jaminan kepada mereka yang ditahan di bawah Undang-undang Syariah.

Dalam kes khalwat contohnya, ia merupakan kes yang dibenarkan untuk diikatjamin tetapi terdapat pegawai Mahkamah Syariah yang tidak membenarkan ikatjamin dikeluarkan "hingga menimbulkan pergeseran antara polis dan Jabatan Agama Islam", katanya.

"Jamin hanya tidak dibenarkan sekiraya alamat dan tempat tinggal mereka yang ditahan diragui oleh pihak kita (polis dan Jabatan Agama Islam). Kalau tahu di mana tempat tinggal mereka, tahu mereka tidak akan larikan diri, jamin harus diterima.

"Masalah ini yang kadangkala menyebabkan timbul pergeseran dan kita perlu berbincang agar pergeseran tersebut tidak timbul lagi," katanya.

Soal tuntut jenazah

Musa berkata isu murtad juga perlu ditangani sebaik mungkin agar tiada keraguan dan ketidakfahamanan timbul terutama dalam kalangan bukan Islam terhadap undang-undang Islam.

"Kena periksa betul-betul sama ada sudah masuk Islam atau tidak. Saya pernah mencadangkan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) agar memanggil keluarga yang hendak memeluk agama Islam agar mereka tahu kedudukan sebenar bagi mengelakkan timbul rasa tidak puas hati terutama dari soal tuntutan jenazah dan pengkebumian," katanya

Musa berkata jalinan kerjasama erat antara PDRM dan Mahkamah Syariah yang telah lama terjalin terutama dalam proses penyampaian waran tangkap akan terus dipertingkatkan lagi.

Katanya beliau akan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah jawatan bagi meletakkan pegawai-pegawai polis di Mahkamah Syariah untuk melancarkan lagi perjalanan di mahkamah itu.

Cerita JHEAT

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada pihak polis supaya jangan menahan Ayah Pin yang dikesan pulang ke negara ini, dari Selatan Thai, baru-baru ini.

Sehubungan itu, JHEAT berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai laporan yang mengatakan jabatan tersebut tidak membenarkan polis menahan Ayah Pin.

Malah, kata Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JHEAT, Mohamad Nor Mohamad, pihaknya tidak pernah berbincang berhubung larangan tangkapan ke atas Ayah Pin.

Mohamad diminta mengulas laporan hari ini yang memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai berkata, polis Terengganu sudah diarah menyiasat mengapa JHEAT tidak benarkan polis menahan Ayah Pin yang dikesan pulang ke negara ini dari Selatan Thai, baru-baru ini.

Ayah Pin yang mengakui mengetuai 'Kerajaan Langit' menghilangkan diri tiga tahun yang lalu.

Ini ekoran beliau didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005.

Tertuduh dikatakan mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah.

Menurut laporan, Musa dipetik sebagai berkata, polis mendapat maklumat ketua ajaran sesat itu pulang ke Terengganu tetapi tidak menahannya selepas Jabatan Agama Islam negeri itu menyatakannya tidak perlu.

"Apabila polis tanya sama ada nak menahannya, jabatan agama Islam negeri itu kata tidak perlu," kata Musa dalam ucaptama di seminar memperkasakan pentadbiran keadilan di mahkamah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak hari ini.

Sehubungan itu, Musa berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Terengganu mendapat maklumat lanjut daripada jabatan berkenaan serta maklumat lanjut kes itu.

Sementara itu, menurut Mohamad lagi, status siasatan jabatannya terhadap Ayah Pin kini masih di peringkat mencari bukti.

Pada masa ini, katanya, ajaran Ayah Pin itu tidak dapat dibuktikan bila ia berlaku dan apakah ajaran-ajaran tersebut.

Ditanya mengenai cakera padat mengenai Ayah Pin yang tersebar luas sebelum ini, Mohamad berkata, ia tidak dapat dibuktikan bila ia berlaku.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara tersebut.



No comments: