Geng Bas Sekolah

November 28, 2008

Kesedaran Pas Terhadap Pakatan Rakyat

Pengakuan terbuka Pemuda Pas negeri ini bahawa parti itu dipinggirkan dalam keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana hakikat tersebut telah lama berlaku sejurus Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya umum lalu.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Datuk Abdul Salim Bari berkata kekecewaan Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin terhadap Ketua Menteri., Lim Guan Eng membuktikan pakatan antara DAP, PKR dan Pas sekadar indah khabar dari rupa.

Justeru beliau percaya akan timbul banyak lagi luahan kekecewaan seumpama itu daripada pemimpin parti berkenaan bukan sahaja daripada negeri terbabit, malah daripada negeri-negeri lain yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

"Kita difahamkan dalam barisan kepimpinan Pas hari ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Pas Tulen dan Pas PKR. Pertembungan kedua-dua kumpulan ini ternyata memberi keuntungan kepada sekutu mereka yang lain di dalam Pakatan Rakyat dan menyebabkan Pas disisihkan daripada sebarang keputusan dalam pentadbiran kerajaan mereka.

"Justeru bukanlah sesuatu yang menghairankan luahan kekecewaan itu datangnya daripada pemimpin muda mereka kerana kepimpinan atasan parti itu terpecah mengikut kumpulan masing-masing", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai kenyataan Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang menganggap Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menghormati Islam kerana meluluskan penganjuran konsert Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya Ketua Menteri mendengar dan menerima pandangan serta bantahan daripada parti-parti komponen lain.

Malah beliau beranggapan kerajaan negeri membelakangi pandangan parti komponen lain di dalam Pakatan Rakyat.

Salim yang juga Timbalan Ketua UMNO Bukit Bendera melahirkan rasa syukur kerana akhirnya pemimpin Pas telah membuka mata bahawa peranan mereka seolah-olah tidak diiktiraf di dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita tidak mahu mencampuri urusan pentadbiran mereka, tetapi sedih melihat Pas diperkotak-katikkan yang seolah-olah hanya pelengap kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri dan hanya menumpang di dalam struktur pentadbiran", ujarnya.

Difahamkan kumpulan Pas Tulen masih lagi berpegang kepada ideologi penubuhan negara Islam dan pegangan asas perjuangan mereka yang lain, manakala kumpulan Pas PKR pula terdiri daripada mereka yang liberal yang sentiasa mengikut telunjuk rakan pakatannya.

Dipetik dari PEMUDA

No comments: