Geng Bas Sekolah

October 6, 2008

Hindraf Adalah Pengganas

MEREKA pernah mencetuskan huru-hara di ibu negara apabila mengadakan demonstrasi jalanan, mereka pernah menyambut hari jadi di bangunan Parlimen dan terbaru mereka melakukan tindakan biadap pada Majlis Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan MenteriMenteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Itu adalah antara perkara yang pernah dilakukan oleh pertubuhan Hindu Rights Action Force (Hindraf), tetapi entah apa istimewanya mereka sehingga kini pertubuhan haram itu masih bergerak aktif biarpun beberapa pemimpin mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bayangkan kalaulah orang Islam yang bertindak seperti mana Hindraf sudah pasti mereka akan dilabelkan sebagai ekstremis atau pelampau sehingga semua orang takut dengan perbuatan mereka.

Pandangan seumpama ini seharusnya dipandang serius oleh kerajaan dan tidak lagi berlembut dalam berhadapan dengan Hindraf yang ternyata dari semasa ke semasa terus menggunakan pendekatan ekstrem bagi memastikan tuntutan mereka dipenuhi.

Tindakan di PWTC adalah amaran awal bahawa Hindraf adalah satu kumpulan yang tidak tahu menghormati orang lain. Mereka akan bertindak apa saja bagi menunjukkan kononnya merekalah perjuang kaum yang sebenar.

Walaupun mereka tahu bahawa tindakan seperti itu boleh mencetuskan ketegangan tetapi mereka tidak peduli lantaran tahu ramai ahli politik yang kemaruk kuasa akan menyokong tindakan tersebut.

Hindraf adalah pertubuhan haram yang mampu bertindak lebih agresif jika dibiarkan. Apa istimewanya Hindraf sehingga ia seolah-olah akan dibiarkan bertindak lebih agresif lagi baru tindakan akan diambil? Dalam mengambil tindakan terhadap Hindraf, perhitungan politik tidak harus diambil kira. Hindraf hanyalah satu pertubuhan yang diwujudkan oleh sekelompok kecil manusia yang datang daripada kaum India. Terdapat jutaan lagi kaum India di negara ini yang tidak menyokong mereka.

Oleh itu kerajaan tidak harus bimbang untuk mengambil tindakan kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan negara dan perpaduan kaum harus dipertahankan. Sebelum terlambat bertindak tegaslah kerana kerajaan perlu mengambil iktibar daripada kegagalannya memusnahkan 'benih-benih' kelahiran Hindraf pada pertengahan tahun lalu yang akhirnya mewujudkan suasana sekarang.

Justeru seperti mana kata seorang rakan yang juga seorang peguam, kelompok minoriti yang mahu menganggu gugat keharmonian antara kaum yang sedia terjalin di negara ini adalah 'ancaman' kepada keamanan. Justeru tindakan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengekalkan perpaduan nasional.

No comments: