Geng Bas Sekolah

October 6, 2008

Suara Akar Umbi

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, 42, hari ini membuat kejutan dengan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau menawarkan diri untuk membawa perubahan di dalam parti.

"Kita selalu fikir apa yang kita boleh buat dalam parti dan kita jarang fikir mengenai apakah sikap dan pandangan pengundi atau orang luar yang bukan ahli UMNO.

"Ini jadi punca kesilapan kita kerana setiap tindakan akan akhirnya mengetepikan kepentingan mereka dan menolak mereka.

"Untuk terus relevan, kita perlu memikir pandangan mereka. Inilah perjuangan yang saya nak bawa sebagai simbol perubahan parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, malam ini.

Pengumuman Nur Jazlan itu menyaksikan beliau menjadi individu ketiga menawarkan jawatan kedua tertinggi tersebut selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Bagi beliau, menjadi hak ahli untuk menawarkan diri bertanding apa jua jawatan selaras dengan peruntukan perlembagaan parti.

"Bukan untuk biadap namun UMNO perlu memberi peluang untuk generasi muda naik," katanya yang juga akauntan bertauliah.

Menurut Jazlan, tindakannya membuat pengumuman lebih awal bagi memastikan mendapat pencalonan yang mencukupi.

Sementara itu bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat ketika dihubungi menyokong keputusan anaknya itu.

"Sebagai ahli parti dia ada hak untuk bertanding apa-apa jawatan dan kalau dia nak tanding Timbalan Presiden itu bererti satu keberanian untuk mencari perubahan dalam parti.

"Kita harus ubah budaya, kalau orang ramai berkehendak perubahan, maka sesiapa yang jadi Presiden lepas ini mesti berani laksanakan perubahan itu," katanya.

Bagi Yb ini barulah betul. Selama ini hanya orang berpangkat besar saja yang bertanding. Jikalau begitu apa gunanya kita menjadi ahli sesuatu pertubuhan sekiranya kita tidak dapat bersuara atau bertanding sesuatu jawatan. UMNO seharusnya berubah mengikut peredaran zaman. Ini adalah zaman dimana golongan muda berani mengeluarkan pendapat dan menentang pucuk pimpinan sekiranya pucuk pimpinan tidak berguna.

No comments: