Cuit kali ini mahu bercerita mengenai soal munafik. Dalam bahasa lebih mudah munafik juga bererti cakap tak serupa bikin, berbohong atau juga double standard dan lain-lain yang seerti dengannya.
Jika dalam sesama manusia, orang yang jenis ini tidak boleh dipercayai sama sekali. Orang kata macam ular. Jika dalam organisasi, ia adalah organisasi putar belit dan lebih teruk daripada memakan riba. Jika ia adalah pertubuhan siasah atau politik, pertubuhan seperti ini kita harus dan wajib menghindarinya.
Badan siasah semacam ini menganggap ia sahaja yang betul. Orang lain tidak betul. Dialah yang paling alim, orang lain tak alim. Dalam 365 hari digunakan untuk memburukkan orang lain dan dalam 365 hari juga dia akan menjaja mengatakan dialah yang paling dekat dengan Allah Taala.
Maka, orang yang mengikuti jajaannya selama 365 hari itu akan menjadi jumud sejumud-jumudnya dengan pertubuhan siasah itu. Maka orang itu akan berkata orang lain semua buruk, jahat, jelek dan bodoh. Merekalah saja ahli syurga manakala orang lain yang tidak alim atau tidak sehaluan dengan mereka ialah kafir atau ahli neraka.
Al-kisah semasa sebuah badan siasah itu memerintah sebuah Darul Ehsan bernama Selangor selama 50 tahun, maka pelbagai celaan dilontarkan kepada negeri itu oleh puak yang mengakui alim tadi. Semuanya buruk, jahat, jelek dan bodoh. Negeri itu dicerca secerca-cercanya. Memang benar Darul Ehsan itu membina kilang arak di sebuah daerah dikenali sebagai Shah Alam dan sebuah lagi di daerah Petaling Jaya.
Hiburan-hiburan yang mahu diadakan di Darul Ehsan itu ditentang habis-habisan. Puak-puak yang mengaku alim itu akan mengadakan tunjuk perasaan melalui persatuan-persatuan mahasiswa Islam. Berteriaklah mereka secara bertakbir demi takbir (slogan Pas) secara bergema-gema.
Daerah Shah Alam dulu di bawah parti sahsiah yang dikatakan buruk, jahat, jelek dan bodoh itu telah memastikan bandar raya itu bebas daripada hiburan, tiada panggung wayang, tiada tulisan selain tulisan Melayu sahaja di papan-papan tanda kedai, nama-nama jalan ditulis dalam tulisan Arab berbunyi Melayu atau jawi, yang satu waktu dulu mahu dipadam oleh DAP di Bukit Bintang.
Warga Shah Alam tahu ia adalah wasiat Almarhum Sultan Selangor yang mahukan bandar raya itu hanyalah sebagai bandar tempat tinggal orang ramai dan bukannya sebuah bandar hiburan. Shah Alam ialah satu-satunya ibu negeri tersusun dan maju yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu.
Oleh itu kerajaan dulu tidak membenarkan nite club, tiada rumah-rumah urut, tiada hotel-hotel bajet yang banyak. Tiada juga panggung-panggung wayang.
Pusat-pusat hiburan di Darul Ehsan Selangor pula hanya dibenarkan setakat jam 12 tengah malam sahaja. Di sepanjang bulan Ramadan, penguatkuasaan jabatan agama Islam diperhebatkan. Pada masa itu Darul Ehsan diperintah oleh orang Islam yang dianggap tidak setaraf kealiman mereka dengan puak yang satu lagi itu.
Dipendekkan cerita kerana menganggap pemerintahan dulu sebagai buruk, jahat, jelek, bodoh maka jatuhlah pemerintahan Melayu tidak alim itu. Rakyat Darul Ehsan mengenyahkan kerajaan itu kerana menganggap parti siasah yang lebih alim layak memerintah. Maka dengan sendirinya, mereka berharap Darul Ehsan akan menjadi lebih Islamik.
Parti siasah itu yang dikenali sebagai Pas bergabung dengan DAP sebuah parti bukan Islam yang selama ini dikenali terlalu cauvanis atau anti-Islam dan anti-Melayu. Melayu yang dimaksudkan ialah Melayu spesies orang Pas itu juga. Tapi ia bukan spesies ketua mereka Nik Aziz Nik Mat kerana dia tidak mengaku Melayu. Dia hanya mahu dikenali sebagai orang Islam sahaja. (Orang Arab pun bangga dengan bangsa Arabnya.)
Selain DAP, Pas juga bergabung dengan PKR – sebuah parti yang tiada falsafah perjuangan. Ia ditubuhkan sekadar untuk mempertahankan maruah seorang pemimpin mereka yang sejak dulu asyik menghadapi perbicaraan mahkamah sahaja.
Pas dan juak-juaknya amat gembira dapat memerintah negeri Selangor, sebuah negeri yang kaya-raya dan sentosa hasil usaha kerajaan Melayu tidak alim itu dulu. Puak-puak Pas-DAP-PKR dibuai mimpi indah.
Tiga tahun memerintah kilang-kilang bir, yang satu ketika dulu dicerca secerca-cercanya tidak diusik sama sekali.
Cercaan mengenai kilang-kilang bir itu tidak disebut lagi. Tidak boleh diusik, kata alim-alim Pas. Kini ia adalah hasil mahsyul negeri dan kilang itu adalah untuk keperluan orang bukan Islam sahaja. Untuk pengetahuan semua, kilang-kilang bir itulah yang membekalkan air-air arak ke seluruh pelosok negara ini.
Nite-nite club yang kerajaan tidak alim dulu hanya mengehadkan sehingga ke jam 12 tengah malam sahaja – kini diperpanjangkan ke jam 3 pagi.
Lebih menggembirakan apabila Menteri Besar Darul Ehsan membuat kenyataan membenarkan pusat hiburan beroperasi seperti biasa di bulan Ramadan. Pas yang dulu amat sensitif mengenai perkara-perkara maksiat itu, kini tidak tahu sudah hilang ke mana?
Lebih hebat negeri Darul Aman yang diperintah sepenuhnya oleh alim-alim Pas juga mengambil keputusan yang sama, iaitu: Membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi seperti biasa di bulan Ramadan.
Bagi warga Shah Alam, jika dulu mereka terpaksa ke Klang atau Subang Jaya atau PJ atau KL untuk menonton wayang kerana patuh kepada Wasiat Almarhum Tuanku Sultan supaya tiada hiburan di situ, kini difahamkan, sebuah pusat membeli-belah dekat Shah Alam atau di Seksyen U-8 akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 cineplex (panggung-panggung kecil). Ia sedang rancak dibina.
Astagfirullah, mana pernah dulu dengar ada kedai arak pandu lalu (bir drive-thru), kini sudah ada di Sunway Mentari, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
Jika dulu penghuni Seksyen 7 Shah Alam hanya diberitahu bahawa bandar I-City hanya sebuah pusat untuk teknologi komunikasi dan maklumat, kini konsert hiburan MTV World Stage mempersembahkan penyanyi-penyanyi rock dunia. Jika ada rock sudah tentu ada arakkan?
Difahamkan hanya petisyen setuju atau bantah sahaja diedar kepada penduduk. Suara bantah MTV World Stage itu sudah hilang entah ke mana? Hasil petisyen itu tidak diketahui, kerana konsert itu terus berlangsung, minggu lalu.
Saya tidak taksub. Saya pun tidak bantah hiburan. Tapi mana perginya puak-puak yang suka sangat membuat demonstrasi membantah benda-benda mungkar seperti itu semasa kerajaan Melayu tidak alim dulu?
Jika dulu Shah Alam tidak banyak hotel-hotel bajet, sekarang boleh kira jumlahnya dalam tempoh tiga tahun ini. Jika dulu jarang-jarang kita dengar rumah-rumah urut di Shah Alam, kini mengapa bersepah-sepah?
Jika dulu Shah Alam hanya suka dihuni oleh orang Melayu saja dan nilai tanahnya terlalu murah kerana spekulator hartanah bukan Melayu mengatakan ‘‘itu tempat Melayu’' mengapa kini tiba-tiba naik mendadak? Mengapa kondo-kondo mewah rancak didirikan yang harganya sukar dibeli oleh orang Melayu? Saya mahu tanya siapa yang akan membelinya? Mengapa mahu dipecah komposisi orang Melayu Shah Alam? Apakah ini kerja Exco yang menjaga perbandarannya? Oh patutlah, dulu portfolio Exco itu dipegang oleh orang Melayu, kini ia dipegang oleh DAP.
Amat sedih sekali puak-puak alim yang menuduh pemerintah dulu tidak alim, taghut dan sebagainya, kini apabila berkuasa dan diberi amanah, hanya berdiam diri?
Mengapa berdiam diri apabila melihat terlalu banyak kemaksiatan dan ketidakbetulan yang berlaku di hadapan mata dalam pemerintahan ente-ente ini sekalian?
Saya tidak mahu cakap banyak. Sudah letih saya mencuit. Renung-renunglah hadis Rasulullah SAW di atas.- Utusan Malaysia
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment