Geng Bas Sekolah

July 27, 2015

KENAIKAN TAMBANG LRT MONOREL DITENTANG RAKYAT


Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan Prasarana Malaysia Bhd untuk menaikkan tambang perkhidmatan LRT dan Monorel.

“Jika tambang dinaikkan, ia akan menambah beban golongan bekerja, yang kini sudah pun terbeban oleh kenaikan kos sara hidup,” kata Timbalan Setiausaha Agung MTUC, A. Balasubramaniam.

Menurut beliau, sekiranya tambang perkhidmatan itu dinaikkan, kempen MTUC untuk menggalakkan pekerja menggunakan tren ke tempat kerja juga akan terjejas. - BERNAMA

Sementara itu, Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) perlu memberi sepenuh perhatian kepada isu keselamatan dan keselesaan penumpang transit aliran ringan (LRT) kerana perkhidmatan itu merupakan pengangkutan awam terpenting ketika ini.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Prasarana juga seharusnya mengambil segala langkah perlu dan bekerja lebih keras untuk memastikan faktor keselamatan tidak diambil mudah dalam apa jua keadaan.

Katanya, dengan audit keselamatan secara berkala dan penyelenggaraan yang kerap, syarikat tersebut dapat memastikan perjalanan perkhidmatan LRT yang lebih selamat dan selesa untuk para penumpang.

“Saya sedar tren-tren ini mempunyai teknologi yang canggih untuk memastikan keselamatan tetapi pemantauan secara berterusan ha­rus dilakukan supaya kemalangan yang tidak diingini boleh dielakkan.

“Malah, komitmen yang diberikan oleh syarikat tersebut terhadap isu-isu keselamatan amat bertepatan untuk mencegah sebarang insiden yang boleh mengundang bahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden dua buah tren LRT di Stesen Setiawangsa dan Universiti (laluan Kelana Jaya) yang mengalami kerosakan brek sehingga mengeluarkan asap dan memaksa kesemua penumpang dipindahkan ke tren lain baru-baru ini.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat insiden kegagalan brek untuk menentukan sama ada terdapat unsur-unsur kecuaian atau perbuatan jenayah adalah langkah tepat.

“Siasatan perlu dijalankan secara profesional bagi menentukan punca sebenar kedua-dua insiden LRT tersebut dan hasil siasatan serta cadangan jawatankuasa dapat didedahkan kepada umum menurut prinsip akauntabiliti awam dan ketelusan.

“Memandangkan keselamatan jalan raya telah menjadi isu utama, kita tentu tidak mahu melihat pengangkutan awam lain juga berada di dalam keadaan sama yang boleh menimbulkan kebimbangan penumpang berhubung aspek kese­lamatan,” katanya.

No comments: