Geng Bas Sekolah

June 23, 2015

RANI KULUP BERI AMARAN PADA GUAN ENG


Sebanyak tujuh badan bukan kerajaan (NGO) menggesa siasatan segera dijalankan berhubung penyebaran sekeping gambar di laman sosial yang merujuk kenyataan berunsur hasutan didakwa melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Gesaan itu dibuat melalui laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Refomis, Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC) .

Gambar tersebut yang dimuat naik melalui laman Twitter Pretty_Preyana itu menunjukkan sekeping gambar Guan Eng yang turut tertera perkataan ‘Orang Melayu dan UMNO tiada tempat di Pulau Pinang ini tanah kami’.

Menurut Presi­den MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO, pihaknya ingin pihak berkuasa menyi­asat pemilik Twitter berkenaan serta Guan Eng kerana perkataan di dalam gambar tersebut jelas berbaur hasutan yang meniupkan api perkauman dan boleh menggugat ketenteraman awam.

“Kita mahu siasatan dibuat adakah Guan Eng terlibat dengan gambar tersebut. Jika benar dakwaan ini, polis harus mengambil tindakan kerana beliau cuba menghasut dan meniupkan api perkauman.

“Namun, jika Guan Eng tidak terlibat kami minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penyeba­ran gambar oleh pemilik laman Twitter itu kerana status yang dimuat naik pada 20 Jun lalu telah menjadi viral di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdul Rani, kenyataan tersebut sebenarnya akan menimbulkan pertelingkahan antara kaum di dalam negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM harus menjalankan siasatan segera terhadap dua individu terbabit kerana kami tidak mahu tercetusnya rusuhan kaum susulan kenyataan yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan tidak menghormati institusi kesultanan Melayu,” ujarnya.

No comments: