Geng Bas Sekolah

June 16, 2015

PERANAN MEDIA SOSIAL


TEKNOLOGI pada hari ini terus berkembang. Perkembangannya amat pantas untuk diikuti. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja perisian atau gajet baharu. Kalau kita melihat dalam telefon bimbit kita sahaja beratus-ratus perisian atau mungkin beribu-ribu yang ditawarkan. Ada yang diberi secara percuma manakala ada berbayar.

Perkembangan teknologi ini merentasi berbagai budaya dan bangsa yang ada di dunia. Bangsa-bangsa di dunia ini dapat disatukan melalui teknologi media baharu ini. Berbagai-bagai maklumat dapat disalurkan merentasi benua sepantas kilat.

Perkembangan teknologi ini juga sebenarnya tanpa kita sedari telah membawa kesan besar kepada ideologi atau cara berfikir generasi muda. Generasi muda atau lebih dikenali sebagai generasi Y dan Z (lahir 1990-2010). Ideologi ini akhirnya akan mempengaruhi landskap politik sesebuah negara yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan atau dapat membangunkan sebuah peradaban yang baharu.

Ada berbagai-bagai definisi apabila kita bercakap mengenai ideologi. Rene Descartes menyatakan ideologi adalah inti dari semua fikiran manusia manakala Niccolo Machiavelli pula, berpandangan ideologi adalah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa.

Menurut Francis Bacon, ideologi adalah paduan atau gabungan pemikiran yang mendasar sesuatu konsep dan manakala Karl Marx pula berkata, ideologi adalah alat untuk mencapai kesetaraan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat. Inilah antara definisi ringkas mengenai ideologi.

Kalau kita melihat corak pada hari ini, peranan media massa turut berubah. Sebagai contoh, peranan surat khabar atau televisyen bukanlah sebagai penyalur maklumat nombor satu seperti satu ketika dahulu. Kini, media baharu telah memainkan peranan yang amat penting dalam persoalan ini. Masyarakat pada hari ini lebih percaya kepada media baharu berbanding dengan maklumat daripada surat khabar dan televisyen.

Televisyen hanya digunakan sebagai medium hiburan bagi menonton tayangan filem, rencana atau lain-lain dokumentari. Bagi generasi Y mereka bergantung sepenuhnya kepada media baharu dan bahan yang terdapat di media baharu inilah yang akan mencorakkan pemikiran mereka dan yang paling penting mereka adalah pemimpin di masa hadapan. Gaya kepemimpinan mereka kelak besar kemungkinan akan dipengaruhi oleh bahan-bahan yang terdapat dalam media baharu kerana bahan-bahan tersebut merupakan guru bagi mereka.

Berita mengenai skandal seseorang pemimpin, artis atau tokoh-tokoh tertentu akan cepat tersebar tanpa dapat dikawal melalui media baharu ini. Ledakan maklumat dapat kita peroleh daripada berbagai-bagai sumber. Karikatur mengenai wajah-wajah pemimpin telah dijadikan bahan lawak jenaka dan sedikit sebanyak telah hilang rasa hormat kepada pemimpin tertentu.

Inilah antara kesan atau pengaruh media baharu dalam perkembangan teknologi. Perkembangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah seluruh dunia. Kita ini sebenarnya sedang mengalami perubahan landskap politik negara kesan daripada media baharu ini. Cara berpolitik masa kini tidak lagi cara dengan cara berpolitik pada masa dahulu. Oleh itu, kebebasan media baharu ini haruslah dikawal oleh kerajaan berdasarkan justifikasi-justifikasi tertentu.

Kalau dilihat kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media ‘Reporters Without Borders’ (RSF), Malaysia berada pada tangga ke-145 daripada 179. Pada 2012 pula, kedudukan Malaysia adalah pada tangga ke-122. Tiap-tiap tahun RSF menghantar kaji selidik kepada pengamal-pengamal media di Malaysia tanpa mengira media sama ada media cetak atas talian ataupun daripada wartawan-wartawan yang berkhidmat di media penyiaran, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

Persoalan-persoalan kaji selidik untuk membuat indeks kebebasan media adalah berdasarkan kepada tiga perkara. Pertama, kebebasan media di negara ini adakah ia dikawal oleh kerajaan atau dimiliki oleh kerajaan. Kedua, adakah kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya dalam pemberian lesen penerbitan dan yang ketiga, adakah tindakan terhadap wartawan/’cybertrooper’ yang melaporkan tentang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan ataupun pemimpin kerajaan.

Gejala berita palsu atau fitnah sebenarnya membawa kesan besar dalam masyarakat kita. Ini akan mengakibatkan jurang pemisahan yang semakin besar, nilai-nilai muhibah akan semakin terhakis. Ini juga akan melibatkan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, satu mekanisme baharu yang lebih mantap perlu diwujudkan ke arah mengawal gejala fitnah dan sebaran berita palsu ini.

Sebarang berita palsu yang dimuat naik di laman Facebook atau WhatsApp seharusnya dapat dikenakan tindakan yang sepatutnya. Tindakan seperti ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap setiap patah perkataan yang dimuatnaik di laman Facebook misalnya. Begitu juga dengan sikap masyarakat ingin menjadi orang pertama untuk menghantar mesej yang mereka terima melalui WhatsApp sedangkan kesahihannya belum terbukti lagi.

Kini kemajuan teknologi elektronik sedang mengubah wajah sistem komunikasi di dunia ketiga. Konsep ini dikenali sebagai kebebasan media atau ‘freedom of information’ yang didukung oleh Barat. Konsep ini telah diperjuangkan oleh Hak-Hak Asasi Manusia (1948).

Pada prinsipnya konsep kebebasan informasi dan komunikasi menurut fahaman Barat tidak mengendahkan batas-batas negara dan perbezaan sistem-sistem budaya. Setiap orang siapa sahaja berhak atau bebas mempunyai, menyimpan, menerima dan menyampaikan informasi, pendapat dan idea-idea kepada siapa sahaja dan negara mana saja.

Prinsip ini sebenarnya memberikan implikasi yang besar iaitu semua nilai-nilai asing bebas memasuki nilai-nilai budaya nasional. Sebagai contoh buku ‘The Satanic Verses’ oleh Salman Rushdie adalah satu contoh konsep kebebasan informasi menurut fahaman Barat. Begitu juga dengan filem ‘Innocence of Muslim’ atau nama asalnya Desert Warriors yang bersifat anti-Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW terutama di Amerika, Perancis dan Jerman.

Al-Quran sebagai kitab dapat kita kategorikan sebagai salah satu jenis media cetak. Jadi sebagai media cetak ia memiliki fungsi-fungsi yang lebih kurang sama dengan fungsi-fungsi media cetak lain. Sebagai contoh fungsi mendidik, fungsi mengkritik, fungsi pengawasan sosial, fungsi hiburan (hiburan yang sihat dan dibenarkan), fungsi untuk menyalurkan aspirasi masyarakat dan lain-lain lagi.

Maka, sebagai kesimpulannya adakah media baharu dapat berfungsi sebagaimana yang dinyatakan di atas ini atau media baharu ini lebih banyak berfungsi ke arah keburukan daripada kebaikan? - SUMBER

No comments: