Geng Bas Sekolah

May 26, 2015

TAREKAT SYEIKH 1MDB DIPANTAU


Beberapa pendakwah ulama yang bebas keluar masuk bagi menjalankan kegiatan di negara ini didakwa melakukan pelbagai perbuatan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Satu sumber memberitahu, apa yang membimbangkan mereka ‘menyusup’ masuk secara lembut dengan menyertai program-program keagamaan seperti qasidah dan zikir. Selain itu, mereka juga dijemput menghadiri majlis-majlis peribadi yang membuka ruang bagi membolehkan sesuatu tarekat bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) disebarkan.

“Salah seorang ulama luar yang menjadi perhatian ialah Sheikh Muhammad Hisham Kabbani. Beliau merupakan anak murid Sheikh Nazim Al-Haqqani, pengasas Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2000. Sheikh Muhammad Hisham disahkan mengambil alih kepe­mimpinan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah daripada Sheikh Nazim,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia berhubung ancaman tarekat baharu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi mempunyai hubu­ngan rapat dengan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah.

Sumber itu berkata, Jawatan­kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengharamkan tarekat itu kerana ia bertenta­ngan dengan fahaman dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Antara perkara yang mereka lakukan ialah pemujaan melampau terhadap Rasulullah SAW dengan mendakwa baginda hadir di majlis sambutan maulid mereka. Sheikh Muhammad Hisham pula pernah melakukan ritual dan doa di kubur serta mencium kubur tersebut. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan tarekat ini mirip dengan ajaran Syiah,’’ katanya.

Seorang lagi pendakwah luar yang turut mendapat perhatian ialah Habib Umar Hafiz yang pernah diundang menghadiri program selawat perdana di Putrajaya, Mei lalu. Bagaimanapun beliau tidak hadir.

Habib Umar didakwa ulama ke­turunan Rasulullah SAW seperti mana tertera dalam bukunya berjudul, Biografi Habib Umar bin Hafiz - Singa Podium.

Satu sumber memberitahu, terdapat rakaman video yang menunjukkan Habib Umar melakukan aksi meragukan berkaitan Rasulullah SAW ketika menghadiri satu majlis di Yemen.

“Selain itu buku tersebut mewujudkan pemujaan melampau kepada Habib Umar seperti mana kete­rangan gambarnya yang antara lain ditulis, ‘Peribadi beliau merupakan hadiah terbesar bagi muslimin saat ini’ dan ‘..hati menjadi tenang bila sesiapa yang memandang wajah­nya’,” kata sumber tersebut.

Sumber itu seterusnya berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan bagi membanteras penularan tarekat tersebut kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.


“Ini memandangkan jika pengikut mereka semakin ramai dan kuat, ia akan menyebabkan wujud ketaksuban kepada pemimpin mereka. Penguatkuasaan hendaklah dilakukan segera melalui cara mencegah sebarang program yang dilihat mampu meluaskan pe­ngaruhnya,” katanya.

Tegas sumber itu lagi, adalah lebih baik jika pendakwah-pendakwah berkenaan tidak dibenarkan masuk ke negara ini kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Kita perlu tegas dalam soal tersebut kerana apa yang dinyatakan bukanlah berdasarkan tuduhan semata-mata tetapi berpandukan kepada bukti-bukti yang dimiliki,” katanya.

MUFTI PULAU PINANG

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor berkata, agama Islam telah lengkap dan sempurna sejak Nabi Muhammad masih hidup serta tidak memerlukan tokok tambah oleh sesiapapun yang mendakwa menerima ajaran baharu menerusi mimpi atau yaqazah.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dalam mesyuaratnya pada 29 dan 30 April lalu membuat keputusan bersetuju dengan hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim diharamkan dan tidak boleh diamalkan oleh umat Islam.

“Nak dalil kukuh macam mana lagi. Kalau dah berpegang dengan hadis-hadis palsu dan mengamalkan perkara khurafat yang tidak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah yang sahih maka itu bererti ajaran itu sesatlah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan segelintir masyarakat yang terus mempertikai keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang dibuat pada 3 April 2000 dengan mendakwa ia hanya pendapat sekumpulan ulama.

Menurut Wan Salim, keputusan tersebut dibuat berdasar kepada beberapa perkara yang dianggap bertentangan dengan akidah dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) antaranya tarekat berkenaan menerapkan fahaman-fahaman Wahdatul Wujud, Martabat Tujuh dan Nur Muhammad.

“Selain itu, ia turut berpegang dengan hadis-hadis maudhu (palsu atau rekaan) serta mengamalkan konsep yaqazah (boleh bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan jaga atau sedar) yang bertentangan dengan fahaman dan akidah ASWJ,” jelasnya. - SUMBER

No comments: