Geng Bas Sekolah

May 14, 2015

PELAN PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN SOSIAL


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Sosial Malaysia yang bertujuan melonjak jumlah perusahaan sosial berjaya di negara ini.

Najib berkata, Malaysia pada masa ini hanya mempunyai sekitar 100 perusahaan sosial yang berjaya dan kerajaan mahu jumlah itu digandakan menjelang akhir tahun ini sebelum dilonjak kepada 1,000 buah dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, Pelan Pembangunan Keusahawanan Sosial Malaysia memberi tumpuan kepada usaha melahirkan perusahaan sosial kritikal yang boleh menjadi inspirasi dan model kepada perniagaan dan badan kebajikan seluruh negara.

“Pelan ini juga mahu mewujudkan ekosistem yang menyokong usaha sama antara sektor awam, swasta dan sosial.

“Perubahan sistemik diwujudkan supaya badan pengawal selia, sistem percukaian dan pihak pentadbiran dapat menyokong pembangunan mampan dan berterusan untuk sektor ini,’’ katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran pelan itu di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic) di sini hari ini.

Perusahaan sosial merujuk kepada entiti yang mengimbangkan aktiviti perniagaan dengan tanggungjawab menyumbang ke arah penyelesaian isu sosial dan alam sekitar secara jangka panjang.

Perusahaan sosial juga perlu bersifat inklusif dan telus dalam aktiviti yang dijalankan ketika memenuhi tanggungjawab terhadap pemegang saham.

Dalam pada itu, Najib berkata, banyak program sosial telah menemui kegagalan apabila sumber mereka kehabisan selepas tempoh tertentu.

“Perusahaan sosial dapat memperbaiki keadaan dengan mewujudkan program mampan yang dibiayai oleh perusahaan komersial, seperti melalui penawaran barang dan perkhidmatan yang dapat menjana perolehan,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, perniagaan inovasi dan keusahawanan sosial merupakan pemacu penting ke arah ekonomi mampan di dunia.

“Di Thailand sebagai contoh, terdapat lebih 120,000 perusahaan sosial yang disokong oleh Pejabat Perusahaan Sosial Thailand.

“Di United Kingdom pula, terdapat sekitar 70,000 perusahaan sosial yang menggaji lebih sejuta orang dan menyumbang lebih lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Najib lagi, beliau mahu melihat Kuala Lumpur menjadi hab aktiviti kesukarelawanan untuk golongan profesional antarabangsa.

No comments: