April 8, 2015

BILA MELAYU MERAPU


Ini adalah pandangan Tan Sri Sanusi Junid mengenai ahli politik dan orang Melayu. Walau ada cerita yang sudah lama tetapi masih releven sehingga hari ini. Orang Melayu khususnya ahli UMNO walaupun sedar berlaku kepincangan didalam parti tetapi mereka mudah "dipujuk" . Bila diadakan pemilihan parti, orang orang ini bekerja keras termasuk menawarkan segala wang ringgit untuk memujuk ahli UMNO supaya terus menyokong mereka. Akibatnya UMNO bukan sahaja tidak pulih malah bertambah parah sakitnya.

Mula-mula rakyat disenandungkan dengan harapan 'lebih demokrasi' di dalam UMNO. Lebih ramai yang mengundi untuk tempat di dalam Majlis Tertinggi maka lebih hebatlah demokrasi itu.

Waktu kita mendewa-dewakan demokrasi kita terlupa bahawa ide demokrasi ini muncul dari negara Yunani (Greece) yang pada hari ini sudah menjadi negara termiskin, dan boleh dikatakan bankrup di Eropah

Pemilihan dalam UMNO yang lalu mendapat perhatian ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata.

Sedang kempen berjalan tiba-tiba terdengar kisah kehendak kerabat di raja yang mahukan si anu dan si itu wajib dimenangkan sedangkan jika dibiarkan pengundi memilih dengan bebas, sebagaimana yang semestinya di dalam amalan demokrasi, maka beliau, yang dikehendaki menang itu, dikatakan besar kemungkin akan kalah. Bermulalah proses transfomasi demokrasi yang cukup kreatif ala Melayu yang boleh dikatakan merapu.

Untuk memastikan yang mungkin kalah itu juga menang maka cara kita mengamalkan demokrasi mulai berubah dan menjadi lebih kreatif. Kononnya ahli perlu pilih yang ditunjuk dan tidak perlu perubahan kerana UMNO sudah cukup kukuh.

Maka timbullah ide untuk mengekalkan semua dalam jawatan yang sedia ada tanpa sebarang perubahan.
Rasa takut kepada amalan demokrasi biasa menular kerana ianya tidak menguntungkan kerabat, dinasti dan kawan.

Apakah benar berita angin yang terdengar di kalangan orang ramai bahawa selain keluarnya arahan panduan memilih, yang turut mengancam, dan huluran rezeki penawar sebagai pengikat hati, insan di atas, lebih atas dari yang di atas, yang sepatutnya non-politik juga turut terlibat dalam kempen pemilihan UMNO.

Lepas itu kita dengar pula kecaman ke atas isteri Perdana Menteri kerana menggunakan jet kerajaan untuk lawatan keluar negara. Bertengkarlah pemikir-pemikir Melayu sehinggalah Perdana Menteri sendiri terpaksa membela isterinya secara rasmi dalam ucapan penutup Perhimpunan Agong UMNO.

Kita dengar pula banyak kapal-terbang di KLIA untuk kegunaan VVVIP. Tengah rakyat berhujah mengenai sebab musabab perlunya banyak sangat kapal-terbang tiba-tiba Perdana Menteri Turkey pun membuat lawatan rasmi ke Malaysia dengan menggunakan kapal-terbang milik swasta Turkey dan tidak pakai jet khusus untuk Presiden.

Nampak untunglah kapal-terbang swasta Turkey bila VIP mereka menggunakannya untuk urusan kerajaan. Ada yang kesian pada syarikat penerbangan milik negara, MAS, yang terus menderitai kerugian. Mereka yang kesian pada MAS juga pakai kapal-terbang lain bila keluar negara. Saya pun pakai MAS kalau tiada yang lebih murah kerana saya kesian kepada diri sendiri.

Ramai dari mereka yang ditangkap di bawah ISA, waktu Operasi Lalang pada tahun 1981 kini menjadi Ahli Parlimen. Dan mereka rajin bercakap. Kata Goebels, Menteri penerangan Hitler, pembohongan yang diulang-ulang selalu akan dianggap sebagai kebenaran.

Malangnya Anggota Kabinet dan Ahli Parlimen BN tidak berhujjah balik menyokong ISA dengan meyakinkan. Lama kelamaan Kerajaan pun tunduk dan ikut kehendak 'merapu' pihak pembangkang dan terus memansuhkan ISA.

Memanglah dulu ada seorang Menteri yang tak begitu cerdik, walaupun pandai, yang menangkap seorang anggota parti pembangkang dengan menggunakan kuasa di bawah ISA. Bila ditanya pada Menteri itu kenapa anggota parti pembangkang itu ditangkap dan dipenjarakan jawabnya, 'Untuk menjaga keselamatan anggota parti pembangkang itu, kerana, kalau tidak ditangkap ramai orang yang hendak memukul beliau.' Tak tahu pula saya boleh ditangkap orang supaya dia selamat dan bukan kerana dia jahat. Inilah merapu namanya.

Saya pernah Tanya kepada Perdana Menteri kenapaa Menteri begini dikekalkan dalam jawatan, Perdana Menteri menjawab kerana Menteri itu berpengaruh dalam pertubuhan belia. Bila saya bertanaya pada Menteri berkenaan kenapa dia tidak berhenti dari memimpin belia sedangkan 4 tahun berturut-turut tidak diadakan Mesyuarat Agung dia menjawab kalau dia berhenti nanti jawatan Menterinya juga hilang.

Sepatutnya Menteri begini dihantar saja jadi Duta di Mongolia kalau tak sampai hati nak buang kerana banyak rahsia yang ada padanya. - SUMBER

1 comment:

  1. inilah yang berlaku jika dasar bangsa tiada meletakkan maruah baik. Mengagungkan agama tetapi tiada berpegang kepada keimanan sebenar! Mempunyai rupa seperti orang beragama, tetapi mendahulukan diri sendiri! Politik UMNO bukan seperti politik ibu bapa aku dahulu yang meletakkan maruah bangsa, iman, kepandaian, kejujuran, kerja keras,sebagai teras. Politik orang Melayu UMNO, PAS, PKR, adalah politik perut sendiri! Hancur binasa bangsa dibuatnya!

    ReplyDelete

Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan