KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta berhenti memanipulasi saranan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang meminta pelajar universiti untuk mengamalkan masak sendiri dari makan di luar bagi mengurangkan beban Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Tegas Ahmad, ucapannya selama lebih dua jam 45 minit di Dewan Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada Sabtu itu dilihat menyentuh isu menyeluruh mengenai GST dan hal masak sendiri hanya tertakluk kepada mereka yang menyewa di luar sahaja.
"Saya berucap dua jam 45 minit, saya sebut macam-macam dan mereka hanya ambil satu ayat sahaja iaitu mengenai masak sendiri. "Saya tidak kata masak di kampus, saya kata masak sendiri, lebih setengah pelajar tinggal di rumah sewa dan saya sarankan mereka untuk masak sendiri.
"Saranan itu bukan untuk pelajar yang duduk di dalam kampus. Kita juga sudah nasihatkan pengusaha kafe di dalam kampus untuk menjual dengan harga berpatutan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad mengulas kritikan pelajar universiti yang berpendapat bahawa saranan Ahmad itu mustahil untuk dilaksanakan apabila undang-undang kampus universiti sendiri tidak membenarkan pelajar-pelajar untuk masak di dalam kampus.
Di laman Twitter, ada pelajar yang menyifatkan peralatan memasak dan alat pemanas air juga tidak dibenarkan dibawa ke dalam kampus.
Dalam pada itu kata Ahmad, contoh yang diberi ialah anaknya pernah belajar di UiTM dan masak adalah ketika menyewa di luar kampus. "Saya sudah jelaskan semuanya, kita galakkan untuk mereka masak kalau sewa di luar dan pengusaha cafe tidak patut naikkan harga kerana bahan mentah tidak dikenakan GST, semuanya sudah jelas," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan