Geng Bas Sekolah

March 20, 2015

TANGANI ANCAMAN IS


Sehingga kini dilaporkan kira-kira 60 rakyat Malaysia difahamkan terbabit dengan perjuangan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (IS), manakala 45 telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pusat Antarabangsa bagi Penyelidikan Radikal di King's College London menganggarkan lebih daripada 12,000 rakyat asing dari 74 negara pergi dan berjuang dengan pihak pemisah di Syria, yang mana antara 60 hingga 70 peratus adalah dari negara Asia Barat, 20 hingga 25 peratus dari Eropah, manakala selebihnya dari Asia Tenggara.

Kita ingin menegaskan, Malaysia adalah sebuah negara yang cintakan keamanan dan mengamalkan kesederhanaan. Maka, janganlah kepercayaan dan keistimewaan Malaysia yang dikagumi dunia sebagai negara yang mengamalkan cara hidup Islam dalam sebuah masyarakat majmuk ini dicemari dengan kelompok minoriti yang kononnya pergi berjuang atas nama jihad atau IS.

Dedah negara, Islam palitan negatif

Hakikatnya, mereka yang membawa nama Malaysia dalam perjuangan yang salah ini hanya mendedahkan negara dan Islam kepada palitan negatif, iaitu Malaysia melahirkan kelompok yang membantu pengganas selain memberi gambaran buruk terhadap Islam. Ia juga menjadi antara penyebab kenapa sesetengah umat Islam serta golongan bukan Islam memandang serong terhadap jihad dan Islam.

Antara faktor mendorong rakyat Malaysia menyertai kumpulan itu adalah disebabkan taksub dan kurangnya ilmu. Mereka juga dibakar semangat berkobar-kobar dengan laungan jihad serta anggapan tindakan IS sebagai berani kerana mencabar kuasa besar seperti Israel dan Amerika.

Ramai tokoh ulama dunia termasuk di Malaysia tidak mengizinkan umat Islam dari negara lain berjihad di bumi Syria terutama dalam keadaan huru-hara di sana. Ketua Rabitah Ulama Idlib di Syria, Sheikh Abdullah Musthafa Rahhal berpendapat, ramai generasi muda dari Malaysia dan Indonesia yang terbabit berjihad di Syria tidak mengikut cara jihad dalam Islam.

Manipulasi kumpulan IS

Sheikh Abdullah menyatakan, generasi muda juga tidak benar-benar faham bahasa Arab dan keadaan semasa di sana sehingga mendedahkan mereka kepada manipulasi kumpulan IS yang sebenarnya datang dari luar Syria atas sebab perjuangan yang kabur walaupun mendakwa atas nama jihad.

Beliau menyatakan, situasi di Syria walaupun datang dengan tujuan baik dan semangat berkobar-kobar, niat mungkin terpesong kerana dangkal dengan selok-belok di sana sehingga mendorong mereka terjebak dalam kancah peperangan yang tiada kaitan dengan jihad.

Selaras dengan nas syarak, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-106 berpandangan bahawa kecenderungan dan keghairahan umat Islam berjihad atas nama IS di bumi Syria berpunca daripada kekeliruan memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak.

Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan darah sesama umat Islam. Muzakarah menegaskan, tindakan umat Islam dari Malaysia itu adalah sia-sia dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid.

Memang tidak perlu diragukan lagi perjuangan jihad didakwa oleh IS ini benar-benar menyimpang daripada ajaran Islam sebenarnya. Antara perkara yang perlu kita semak bersama adakah Islam membenarkan umatnya menentang dan membunuh orang Islam, membunuh mereka yang tidak berdosa?

Adakah Islam membenarkan keganasan, penyembelihan, pembunuhan secara kejam termasuk memusnahkan rumah ibadah? Sahlah, mereka sengaja menggunakan nama Islam sebagai mengaburi umat Islam di seluruh dunia yang akan mempertahankan mereka atas nama Islam yang mereka tempelkan.

 Ulama tolak keganasan IS

Kebanyakan ulama Ahli Sunah Wal Jamaah telah mengingatkan umat Islam supaya tidak tergesa-gesa dan terpengaruh dengan kumpulan IS kerana sikap mereka yang mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka yang tidak berdosa.

Ulama juga menolak keganasan IS yang membunuh rakyat tidak berdosa, membunuh dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Bahkan ramai antara mereka yang telah melabelkan IS atau Da'esh sebagai Khawarij pada zaman moden.

Itulah sebabnya tiada mana-mana ulama sehingga hari ini yang memberi sokongan secara terbuka kepada gerakan itu. Justeru, ulama dari seluruh dunia menolak pengisytiharan 'Dawlah Islamiyah' dan pengisytiharan Khilafah oleh Abu Bakar al-Baghdadi yang mereka sifatkan sebagai tidak sah dan hanya mewakili kumpulan pengganas kecil sahaja.

Fahaman ekstremisme dalam kumpulan militan yang menggunakan alasan jihad untuk menghalalkan keganasan dilakukan kerana jahil agama dan menerima sumber maklumat yang salah. Rakyat Malaysia yang pergi ke sana dengan niat berjihad juga akan jadi sia-sia kerana tujuan IS bercanggah dengan Islam.

Oleh itu, satu kefahaman betul perlu diterapkan oleh semua pihak khasnya ulama, pendakwah dan asatizah terhadap penggunaan istilah jihad supaya tidak disalahertikan sebagai punca keganasan. Konsep jihad sangat luas dan terjemahan literalnya bererti kesungguhan.

Berdasarkan sejarah hidup Nabi Muhammad SAW, jihad bermula dengan suasana aman iaitu berdakwah dan berperang hanyalah jalan terakhir.

Dalam kebanyakan kes, dilihat terdapat persamaan mereka yang terjebak dalam isu keganasan ini adalah yang gemar memendam perasaan, menyendiri, kurangnya kasih sayang dan perhatian serta tidak menzahirkan perasaan terhadap orang luar ataupun ahli keluarga sendiri.

Risikonya, kita lihat orang yang seumpama ini tidak dapat menyemak adakah apa yang mereka percayai dan yakini itu betul. Apabila individu itu tidak dapat mengawal perasaan dan semangat yang berkobar-kobar menyebabkan mereka membuat tindakan melulu serta tidak mengendahkan pandangan orang lain.

Ibu bapa harus mempersiapkan diri dengan ilmu jika mahu bersaing dengan anak yang terdedah dengan 'kebanjiran maklumat'. Kawalan tertentu boleh dibuat, tetapi masalah sebenar adalah kejahilan, kekeliruan dan salah faham.

Satu Jawatankuasa Bertindak Penjelasan Konsep Jihad telah dibentuk oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdiri daripada enam agensi antaranya Bahagian Keselamatan dan Ketenteraan Awam Kementerian Dalam Negeri, Majlis keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Al-Hijrah Media Corporation dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) disamping kerjasama strategik dengan pihak Jabatan Agama Islam Negeri.

Pelan tindakan penjelasan jihad

Melalui pembentukan jawatankuasa ini, satu pelan tindakan yang jelas bagi menangani salah faham konsep jihad telah disediakan termasuk melaksanakan program secara kerjasama melalui National Blue Ocean Strategy (NBOS) supaya pelaksanaannya lebih tersusun dan menyeluruh.

Pelbagai program penerangan telah dilaksanakan oleh JAKIM dengan kerjasama agensi terbabit untuk menangani isu salah faham mengenai jihad dan ekstremisme seperti teks khutbah serta menyediakan tenaga penceramah terlatih.

Turut dilancarkan, kempen mahasiswa menolak keganasan bersama 300 pemimpin mahasiswa Islam dari institut pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia.

Selain itu, JAKIM juga akan mengumpulkan senarai ulama dan penceramah seluruh negara bagi menyelaraskan isu penjelasan jihad melalui program Konvensyen Pendakwah Negara kerana ulama dan pendakwah mempunyai pengaruh yang besar serta hampir dengan masyarakat.

No comments: