Geng Bas Sekolah

March 9, 2015

RAMAI RAKYAT MALAYSIA JADI PENGKHIANAT NEGARA


Saban tahun, jutaan pelancong tempatan datang ke pekan kecil ini untuk membeli-belah barangan Thailand, malah menjadi destinasi wajib sekiranya berkunjung ke Perlis.

Terdapat hampir 800 peniaga terdapat di pekan itu, terdiri daripada dua kategori iaitu yang berniaga di Kompleks Arked seramai 500 orang manakala bakinya di bazar yang terdapat di sekelilingnya.

Namun jangan terkejut sekiranya anda berkunjung ke kedai-kedai di situ, rata-ratanya adalah peniaga Thailand yang bertutur bahasa Melayu dalam loghat Pattani.

Hampir tiada orang tempatan berniaga, kalau ada pun kira-kira 10 peratus sahaja, sedangkan kesemua lesen perniagaan hanya dikeluarkan kepada rakyat tempatan.

Seorang peniaga tempatan memberitahu, peniaga rakyat negara ini hanya berminat untuk mendapatkan lesen perniagaan sebelum menjual atau menyewanya kepada warga Thailand.

Katanya yang hampir 10 tahun berniaga di situ, setiap kedai disewa RM4,000 sebulan kepada warga asing dan dipajak sehingga mencecah lima tahun iaitu kira-kira RM240,000.

Tambahnya, hanya terdapat 12 orang peniaga tempatan di bahagian kiosk di tengah-tengah kompleks arked manakala bakinya di kedai sekitarnya.

“Keseluruhan kedai milik warga Thailand menjual jersi buatan negara jiran itu kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat tempatan,” kata peniaga itu yang menggesa agensi berkaitan membuat serbuan bagi menyelesaikan isu peniaga asing berkenaan.

Mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, warga asing yang berniaga di negara ini boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali kerana melanggar syarat pas atau permit.

Tambah peniaga itu, isu peniaga warga asing tersebut bukanlah perkara baharu tetapi sebaliknya berlarutan sejak sekian lama dan telah berakar umbi.

No comments: