Geng Bas Sekolah

Korang Kena baca ini

December 2, 2014

UMNO PERLU BANGKIT


JARANG sekali boleh terlihat papan tanda-papan tanda memaparkan Cawangan UMNO di Meru, Kapar atau Shah Alam. Ini berbeza pada era 80-an dan awal 90-an, yang hanya dengan papan tanda cawangan parti dicacakkan di sesuatu kawasan, orang ramai akan maklum agresifnya UMNO di situ.

Di seluruh Selangor ketika ini pun demikian juga halnya. Adakah pengaruh kuat siber mengekang hasrat untuk menampilkan diri, menunjuk muka kepada masyarakat setempat. Maknanya, tidak perlu tonjolkan diri termasuk memasang kain pemidang atau papan tanda UMNO.

Sabtu lalu apabila Timbalan Presi­den parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Badan Naziran Politik UMNO pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang ke-65, parti yang kini berusia 68 tahun menyedari kalau sesuatu tidak dilakukan dengan segera sekarang, UMNO ‘pasti akan diubah’.

Benar! penurunan undi sebanyak dua peratus akan mengakibatkan Barisan Nasional (BN) hanya berupaya memenangi 103 kawasan Parlimen sekali gus meletakkan parti dalam keadaan bahaya. Andai 103 (kawasan Parlimen), kurang dari 112, bermakna BN pastinya kalah. Dua peratus, bukannya banyak.

Justeru, rancangan UMNO penubuhan badan naziran politik parti ini diyakini mampu memantau perkembangan kerja kesemua 191 ketua bahagiannya serta segala peringkat dari bahagian hingga lebih 70,000 cawangannya.

Realitinya mana-mana parti pun, sama ada parti kerajaan mahupun daripada pakatan pembangkang, masalahnya tetap sama. Cabang, ranting, bahagian dan cawangan parti-parti tetap akan bergolak. Tinggal lagi, sebanyak mana dan kritikal di tahap mana.

Pada 2010, satu persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani yang dirasmikan oleh seorang menteri kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan ketua bahagiannya berucap pada majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula selepas bacaan doa dan nyanyian Negaraku, apabila seorang anggota jawatankuasa bahagian, bangun menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap ketua bahagian dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk anggota Wanita meminta ketua bahagian berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong ketua bahagian terbabit.

Kata perwakilan, ketua bahagian tidak layak mengetuai bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti termasuk tindakannya tidak disenangi banyak pihak dan agensi kerajaan.

Malah naib ketua bahagian dan ketua Puteri di situ yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta ketua bahagian berundur. Keadaan reda apabila seorang ahli MT terpaksa bercampur tangan apabila melihat keadaan tidak terkawal lalu meminta perwakilan memberi laluan kepada ketua bahagian berucap tetapi mereka tetap mempertahankan tindakan mereka. Beliau kemudian mencadangkan supaya menteri terbabit berucap merasmikan mesyuarat tersebut dan menyambung mesyuarat selepas perasmian dan dipersetujui perwakilan.

Ini adalah imbasan kemelut dihadapi dalam pemilihan beberapa peringkat bahagian UMNO. Namun jika dibandingkan dengan UMNO, pihak di sana iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP lebih teruk lagi. Ini sehinggakan ada yang melempar kerusi, bergaduh kerana mempertikaikan ketelusan pemilihan yang ketara tembelangnya.

Jadi, menerusi badan naziran parti itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memiliki ruang dan masa lebih banyak untuk turun padang bagi membantu jentera parti di setiap kawasan Parlimen. Apa `rupa bentuk dan jenis’ masalah ketua bahagian dengan Pemuda, Wanita dan Puterinya boleh diselesai dengan segera. Atau pun jika tidak ada program langsung dilaksanakan atau sekadar program `syok sendiri’, pucuk pimpinan boleh tegur.

Dalam mendepani cabaran politik semasa hari ini, rakyat mahu dengar dan meneliti penjelasan serta pengumuman yang mudah-mudah sahaja. Baik kenyataan itu dalam bentuk fakta, ilmiah atau terlalu banyak statistik yang berangkai, akhirnya ungkapan yang keluar dari mulut adalah mudah difahami, tidak meleret dan terus kepada maksud yang mahu disampaikan.

Dalam tiga tahun mendatang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 ini yang mandat memerintah kerajaan sedia ada berakhir 2018, mana-mana parti yang berupaya mencetuskan ‘persepsi’ akan ke hadapan. Politik persepsi adalah kaedah politik yang memungkinkan sesuatu pihak mengalahkan sesuatu pihak yang lain secara ‘prima facie’. Prime facie adalah istilah undang-undang yang bermaksud ‘pada pandang pertama’. Jadi, penilaian dibuat berdasarkan apa yang dipandang ‘at face value’ tanpa perlu banyak analisis.

Juga, tanpa perlu banyak tanya, tanpa perlu banyak soal jawab yang mungkin merungkai banyak fakta yang sepatutnya perlu diketahui.

Dengan sebilangan rakyat khususnya orang Melayu mudah termakan dan percaya dengan apa yang dipandang mata, seluruh 191 bahagian UMNO berdepan cabaran cukup hebat untuk membantu pucuk pimpinan parti.

Keadaan memang kritikal kalau tidak penambahbaikan segera dilakukan oleh UMNO di peringkat akar umbinya - bahagian dan cawangan. Tidak guna buat ribuan program, kalau keberhasilannya tidak nampak dan tersentuh di hati rakyat. Yang penting ada gelombang yang setakat ini belum ternampak lagi menerusi program-program parti.

Tidak perlu ratusan ceramah, tak perlu ribuan program - tetapi cukup sekadar lima enam program besar yang mencetuskan gelombang, kemudian barulah terhasil tsunami.

Beringatlah. Berdikit-dikit sudah pakatan pembangkang mengaut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak pilihan raya umum 2008 lagi. - SUMBER

1 comment:

Anonymous said...

Selagi najib memimpin, umno akan terus berkubur

Kalau perlu bangkit, secara ikhlas saya berani kata berikut:

1. Najib steps down, muhyiddin leads
2. Bring back ISA whatever its cost
3. Review TPPA,BRIM and all gimmicks and tricks najib had introduced
4. Paint the truth that sedition act was not retained because of najib but due to pressure by the masses including but not limited to tpm, tdm, chief justice, ex judged, current and ex IGP, ngos like perkasa,isma eyc etc
5. Pay more attention to malay n muslim voters who voted umno/bn in
6. Get tdm to advise new pm
7. Relieve all ball carriers including advisors of positions
8. Never allow flip flop zahidi, non corroborated hishamuddin, brainless nazri n goon tin kosong khairy to lead umno.
9. Get umno to be ruled based on its original purpose
10. Allow as many new young professionals as possible to be with umno

Wallahualam