Geng Bas Sekolah

August 11, 2013

BANTUAN BR1M AKAN DINAIKKAN TAHUN HADAPAN


Kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan dan perkara itu akan diusulkan dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kenaikan itu sejajar dengan janji kerajaan meningkatkan bantuan tersebut kepada kadar maksimum sehingga RM1,200 dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

"Kita sedang mempertimbang meningkatkan kadar bantuan BR1M kepada rakyat dan dalam masa sama melihat kemungkinan meletakkan bantuan tersebut dalam dasar Jaringan Keselamatan Sosial atau Social Safety Net.

"Untuk tahun depan kita naikkan sedikit," katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya, di Sungai Rokam, di sini hari ini.

Dasar Jaringan Keselamatan Sosial atau Social Safety Net yang dilancarkan pada 1990 menyediakan bantuan kepada kanak-kanak, orang tua, golongan orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan bantuan anggota palsu.

Program-program itu merupakan tambahan kepada dasar-dasar sedia ada seperti pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang terdapat secara murah dan percuma.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, kerajaan sedang melihat kemungkinan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi memastikan pengagihan subsidi dinikmati golongan sasaran yang benar-benar layak.

Mengambil contoh subsidi petrol, beliau berkata, semua golongan menerima bantuan berkenaan namun melihat kepada perspektif sebenar, golongan berpendapatan rendah mendapat sedikit kebaikan berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.

"Sehubugan itu, kita lihat sudah sampai masanya sistem ini ditukar bagi membolehkan golongan sasaran mendapat manfaat yang disediakan.

"Walau bagaimanapun, apa-apa keputusan yang akan dibuat akan diumumkan semasa pembentangan bajet itu nanti," ujarnya. - PahangKu.com

No comments: