Keputusan tidak memasukkan sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menunjukkan kerajaan negeri cuba menutup isu yang melanda negeri ini.
Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang Hng Khoon Leng berkata tindakan itu juga menggambarkan kerajaan negeri 'membunuh' proses demokrasi apabila mengelak daripada menjawab soalan wakil rakyat.
"Ini bukan kali pertama mereka membentuk kerajaan negeri. Penggal pertama, mereka mengambil soalan, penggal kedua mereka tidak mahu menerima soalan. Adakah ini kerana ada isu yang amat serius di Pulau Pinang yang mereka tidak mahu bincangkan?
"Ada banyak isu yang perlu dijawab kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi mereka memilih untuk tidak menerima soalan lisan atau bertulis. Mereka membunuh proses demokratik," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Persidangan hari pertama DUN semalam kecoh apabila Speaker DUN Law Choo Kiang tidak memberi laluan kepada sesi soal jawab sebaliknya meneruskan persidangan dengan sesi perbahasan ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata keputusan tidak memasukkan sesi soal jawab pada persidangan DUN kali ini dibuat atas nasihat penasihat undang-undang negeri.
Hng berkata sebagai ketua dalam sesebuah negeri, Guan Eng mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan itu dan mengembalikan sesi soal jawab pada persidangan DUN.
Sementara itu, Ketua Pemuda BN Pulau Pinang, Oh Tong Keong menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment