Geng Bas Sekolah

June 27, 2013

PERSEMPADANAN SEMULA ADALAH PERLU


KECOH pembangkang yang menggunakan asas parti mereka yang memperolehi kelebihan undi popular dalam pilihan raya umum (PRU) lepas sepatutnya membentuk kerajaan, masih belum reda walaupun kesemua 222 ahli Parlimen telah mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat beberapa hari lepas.

Walaupun dalil itu amat bertentangan dengan sistem politik British Wesminster amalan Malaysia yang antara lain memperuntukkan parti yang memperolehi jumlah kerusi majoriti sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi mandat membentuk kerajaan, hakikatnya kumpulan tersebut berpura-pura mengetepikan hakikat sebenar.

Setelah gagal mempengaruhi rakyat dengan strategi perhimpunan haram dan ugutan boikot upacara angkat sumpah Dewan Rakyat, kini pihak pembangkang sedang mengalih perhatian kepada isu yang juga agak panas iaitu persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Berdasarkan Perkara 113 (2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat dan kali terakhir proses ini berlaku adalah pada tahun 2003.

Sepatutnya proses ini telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2011 tetapi ditangguhkan memandangkan tidak mahu mengganggu PRU-13 yang pada ketika itu boleh dijalankan bila-bila masa.

Secara dasarnya semua pihak akur akan keperluan persempadanan semula ini kerana dalam jangka masa tertentu sesuatu kawasan akan mengalami perubahan termasuk penambahan jumlah penduduk, urbanisasi dan pembangunan pesat.

Tetapi masalahnya pihak pembangkang seperti lazim telah membuat tuduhan bahawa SPR akan berlaku tidak adil dalam melaksanakan proses persempadanan kawasan seperti mana mereka menuduh pilihan raya yang tidak adil kendalian SPR.

Seperti mana pembangkang menggunakan konsep kelebihan perolehan undi popular untuk menghasut rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah tidak sah, strategi yang serupa akan digunakan sebagai asas bantahan proses persempadanan semula.

Pembangkang mahukan persempadanan semula dilakukan mengikut asas jumlah pengundi satu kawasan iaitu setiap pengundi tidak kira di mana mereka menetap mempunyai pemberat yang sama.

Sekali pandang sememangnya asas ini kelihatan adil dan begitu saksama tetapi jika dilaksanakan akan mengakibatkan perwakilan yang tidak seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar, antara negeri maju dan mundur dan juga antara negeri besar dan kecil keluasannya.

Pembangkang sering menggunakan contoh Kepong dengan 68,000 pengundi hanya mempunyai seorang wakil Dewan Rakyat seperti mana jua kawasan Parlimen Igan Sarawak yang mempunyai 17,000 pengundi. Jika dilaksanakan kriteria jumlah pengundi sudah pasti Kepong perlu mempunyai lebih daripada seorang wakil rakyat dan konsep sebegini akan mengakibatkan kawasan luar bandar dimana kepadatan penduduk adalah jauh lebih rendah akan hilang kuasa bersuara dengan mendadak.

Serupa juga dengan Perlis sebuah negeri yang mempunyai 134,000 pengundi berdaftar diperuntukkan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara Selangor pula mempunyai 56 kerusi DUN dengan jumlah pengundi melebihi 2 juta orang.

Sekali lagi jika saranan undi sama rata pembangkang digunakan, maka negeri-negeri jumlah penduduk yang kecil akan menerima beban ketidaksaksamaan kuasa politik.

Begitu juga dengan Melaka yang mempunyai 6 wakil Dewan Rakyat sebagai mewakili lebih 430,000 pengundi berbanding dengan Sarawak dengan 31 wakil dengan 1 juta pengundi iaitu kelebihan pengundi dua kali ganda.

Jika dikira nisbah jumlah wakil kedua-dua negeri berbanding dengan jumlah pengundi sememangnya tidak seimbang, tetapi perlu ditegaskan faktor fizikal geografi sesebuah negeri perlu juga perlu diambil kira.

Pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat (AS) mempraktikkan konsep electoral college (selari dengan konsep kerusi Parlimen Malaysia) untuk berlaku adil kepada semua 50 negeri yang mempunyai tahap pembangunan begitu ketara berbeza di antara satu sama lain. Jika undi popular digunakan di AS, maka sudah pasti negeri maju yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai seperti California (23 juta pengundi) akan menguasai suasana perjalanan pilihan raya berbanding dengan negeri kecil seperti Wyoming yang hanya mempunyai 400,000 pengundi.

Kriteria yang diguna pakai oleh SPR ketika ini jika diambil jumlah pengundi sebagai salah satu kriteria persempadanan kawasan pilihan raya, ia boleh disifatkan sebagai adil dan saksama.

Bagi kawasan Parlimen di bandar besar umpamanya yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, angka 60,000 pengundi bagi satu kawasan dianggap mempunyai pemberat setara berbanding dengan kawasan di luar bandar mencukupi mempunyai bilangan di antara 15,000 hingga 30,000 pengundi sahaja.

Saranan pembangkang yang mahukan undi popular dijadikan asas pembentukan kerajaan atau pun kesamarataan undi untuk persempadanan kawasan pilihan raya hanya akan memberi manfaat berat sebelah untuk negeri yang mempunyai ramai pengundi seperti Selangor, Johor dan Perak. Negeri lain seperti Melaka, Perlis, WP Labuan dan Putrajaya umpamanya akan terhakis pengaruh politik mereka.

Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan negeri yang besar tetapi tidak sepadan dengan jumlah pengundi kemungkinan akan kehilangan sejumlah besar 56 kerusi Parlimen yang dimiliki pada ketika ini.

Keadaan politik sebegini rupa sudah pasti tidak sihat kerana sepatutnya semua pengundi rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka menetap mempunyai suara sama kuat pengaruhnya.

No comments: