Geng Bas Sekolah

June 19, 2013

BERSIHKAN NEGARA DARIPADA PENIAGA ASING


Langkah Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji semula status lesen penjaja yang dimiliki warga asing di sekitar ibu negara amat perlu ketika kehadiran mereka jelas terlalu ramai. Lesen-lesen terbabit dipercayai diperoleh daripada pemilik peniaga tempatan, sedangkan pihak berkuasa tidak mengeluarkan lesen untuk mereka.

Jika kita melangkah ke Chow Kit dan Petaling Street misalnya, suasana ‘kawasan perniagaan asing’ cukup dirasai, dan tidak keterlaluan seolah-oleh kita berada di luar negara.

Oleh itu suasana tersebut perlu diubah. Ia demi memastikan perniagaan kategori itu dapat diisi oleh penduduk tempatan.

Ini bermakna pihak berkuasa perlu meneliti syarat pemilikan lesen supaya ia tidak disalahgunakan sehingga boleh bertukar tengan kepada orang asing. Kita percaya langkah menjual lesen perniagaan kepada orang asing adalah kaedah mudah untuk membuat untung singkat tetapi dalam jangka masa panjang ia menjejaskan banyak perkara termasuklah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Peranan persatuan penjaja dan peniaga kecil cukup penting dalam memastikan soal pemilikan lesen niaga tidak disalahgunakan. Malahan persatuan-persatuan itu perlu membantu pihak berkuasa membanteras penyalahgunaan lesen tersebut.

Apa yang berlaku di ibu negara itu, perlu menjadi iktibar di bandar-bandar lain di seluruh negara. Tindakan serupa perlu dilakukan walaupun masalah itu mungkin belum serius kerana ia mungkin sukar diatasi jika keadaan sudah berleluasa.

Biarlah lesen perniagaan kecil dan penjaja benar-benar diberikan kepada warga tempatan untuk mencari rezeki secara betul, bukannya untuk mengaut untung singkat.

No comments: